Friday, January 1, 2010

FORMULA MEMBURU KEJAYAAN

Berdasarkan pengalaman, ada dua falsafah yang membantu saya dalam memburu kejayaan, pertamanya ialah kesungguhan, dan keduanya ialah cabaran.

Kesungguhan berkaitan dengan kegigihan, dan cabaran pula berhubung dengan permasalahan. Di samping keupayaan IQ dalam mendepani arus dan gelombang perjuangan, kedua-dua faktor ini saling berkoheran untuk menyumbang ke arah kejayaan.

Orang yang bijak sahaja tanpa ada kesungguhan tentulah akan tersadai di tengah jalan untuk mendambakan sesuatu yang diinginkan, tetapi orang yang ada kesungguhan dengan sedikit keupayaan minda (normal) pasti boleh dan berupaya memintas seribu gelombang dan cabaran di hadapan perjuangannya untuk memperoleh cita-cita. Banyak contoh dalam kalangan rakan yang bijak-bijak tetapi tidak komited untuk bersaing malah sepi dalam perjuangan sudah ketinggalan jauh di belakang, berbanding dengan rakan-rakan yang mempunyai pencapaian biasa sewaktu di bangku persekolahan tetapi menunjukkan kejayaan dalam karier berkat kesungguhan yang tidak berkesudahan.

Begitulah halnya apabila kita bijak memanipulasi cabaran untuk menggendong kejayaan dalam apa-apa jua matlamat perjuangan. Kejayaan hanya akan dicapai oleh seseorang setelah berjaya mengatasi segala cabaran dan permasalahan yang berada di hadapan mata kita. Saya masih teringat akan kata-kata Prof. Dato' Dr. Sheikh Omar Abd. Rahman, mantan Dekan di UPM suatu masa dulu yang menyatakan "Agak mustahil dalam sebuah kejayaan tanpa masalah", kerana bagi beliau kejayaan mengurus masalah itu sebenarnya adalah kunci kejayaan. Ini bermakna dalam sebuah kejayaan itu sebenarnya adalah daripada kronologi masalah atau cabaran yang telah berjaya ditempuh. Namun iltizam kita dalam perjuangan terus membara apabila menghayati iktibar dari falsafah "hanya orang tertentu dan diyakini boleh mengatasi ujian mahupun cabaran itu akan diuji" menjadi pendorong untuk terus maju.

Justeru, bagi pandangan setengah-setengah orang kebahagiaan diukur daripada sejauhmana kita dapat menempuh cabaran itu dan berjaya menghadapi onak ranjau perjalanan tersebut ke suatu destinasi yang sebenar. Fikir- fikirkanlah!

Wallahualam.