Wednesday, November 24, 2010

ENJIN LAMA

Kadang kala serba salah juga untuk membuat pertimbangan dalam memberikan markah yang baik kepada pelajar semasa penyemakan KKBI mereka . Ada beberapa kelemahan dan perkara yang perlukan penambahbaikan tentang penghasilan KKBI tersebut:

1. Tidak menjawab kesemua soalan. Calon menjawab apa yang dia tahu, dan bukannya menjawab apa yang disoal.
2. Terlalu ringkas; dengan andaian asalkan buat sahaja, isi tidak dihuraikan dengan baik, malah tidak menyatakan sumber rujukan pada kenyataan ayat mahupun petikan yang diambil.
3. Menyalin bulat-bulat daripada sumber, dan tidak mengolah ayat berkenaan.
4. Tidak membuat rumusan sendiri terhadap isi yang diambil daripada pendapat tokoh, dan sumber (buku).
5. Menghantar pada saat-saat akhir, dan mengabaikan kolaborasi yang sepatutnya menjadi amalan calon.

Atas kesedaran yang demikian, saya mendapati calon tidak dapat tidak perlu merobah sikap jika ingin mengotakan impian untuk memegang segulung ijazah yang bukan sahaja hebat pada nama ijazahnya tetapi ampuh dan cendekia dari segi keilmuannya pada masa depan. Budaya asalkan siap perlu diubah dengan kesiapsiagaan sepanjang masa. Istilah enjin lama tidak seharusnya menguasai diri dalam kalangan mahasiswa lantaran gelaran yang dipikul itu tetap hebat sampai bila-bila.

Waullahu alam.

DERIA RASA BMM3105

Rasanya agak lama juga saya tidak menjenguk ke ruangan blog ini, lantaran kesibukan di samping komitmen yang bertumpang-tindih di sana-sini. Hanya apabila diberi peluang untuk mengajarkan subjek BMM3105 Pengajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer kepada mahasiswa PGSR, semacam tergerak pula untuk mencuba-cuba membuat penerokaan dan penambahbaikan terhadap blog ini untuk penghasilan yang lebih baik.

Justeru percubaan ini sedapat mungkin cuba mengaplikasikan pelbagai genre dalam pengajaran Bahasa Melayu, sama ada genre yang berfokus terhadap keterampilan berbahasa mahupun komponen Kesusasteraan Melayu yang terdapat dalam pengajaran Bahasa Melayu apatah lagi kedua-dua bidang berkenaan dalam landas yang sama, malah ditafsir sebagai linguistik terapan oleh kebanyakan penyelidik.

Oleh itu, diharapkan bahan-bahan yang dimuat-turun dalam blog ini dapat membantu para guru mengaplikasikan pengajaran Bahasa Melayu berbantukan komputer dengan baik ke arah pencapaian pelajar yang lebih gemilang pada masa hadapan.

Wallahualam.

Thursday, November 4, 2010

CHARGER YANG KANTOI

Peristiwa semalam memberi seribu pengajaran untuk saya membuat pertimbangan pada masa depan. Hampa apabila tidak dapat meneruskan kerja-kerja membuat MODUL lantaran charger komputer rosak setelah charger yang baru dibeli dengan harga RM60 mengalami nasib yang sama, dalam hati berfikir "untunglah barang yang dibeli masih dalam tempoh jaminan (waranty sebulan)penjual, dengan itu peluang untuk menukar dan menggantikan charger laptop dengan yang baru masih ada". Oleh sebab itu, pabila tibanya masa rehat 500 petang, bergegas terus ke Low Yart untuk mendapatkan charger yang baru.Dan tanpa banyak soal, penjual yang ditemui menggantikan charger tersebut dengan yang baru. Dalam tempoh yang sedikit, tanpa banyak buang masa saya balik semula ke Maytower Hotel KL untuk menyambung kerja-kerja yang terhenti pada paginya dengan harapan dapat menyiapkan MODUL itu secepat yang mungkin sebelum balik Sabah 4 November 2010.


Sayangnya, semangat yang membara dan berkobar-kobar itu tidak kesampaian lantaran charger yang baru berganti itu rosak semula. Pengalaman ini sangat berharga buat saya dalam memilih barangan, yang antara lain memberi pengajaran kepada saya agar membeli barangan yang mahal kerana pasti tahan dan berkualiti. Mungkin kerana bersimpati, penjual itu telah menawarkan harga RM120 sahaja daripada harga asal RM180kepada saya. Daripada peristiwa itu, saya mendapati:

1. Harga barangan menggambarkan kualiti barangan.
2. Perlu banyak bertanya, atau meninjau untuk mendapatkan harga yang berpatutan.
3. Berhati- hati dengan manipulasi peniaga yang begitu berleluasa.
4. Perlu bijak dalam proses tawar-menawar.

Sesungguhnya peristiwa ini banyak mengajar saya. Walau bagaimanapun saya bersyukur lantaran dapat menyumbang idea, pandangan, kebolehan, kepakaran dan pengetahuan di samping berkesempatan menyiapkan Modul untuk anak didik. Moga pengalaman ini menjadi ikhtibar kepada diri saya dan pembaca dalam memilih barangan pada masa depan.

Wallahualam.