Ada dua situasi yang berbeda dalam mengacarakan majlis, pertamanya pengacara bersedia dengan skrip pengacaraan yang telah disediakan berminggu-minggu lamanya, dan keduanya pengacara mengacarakan secara santai dan bersahaja.
Secara jujurnya, saya amat tertarik dengan situasi yang kedua lantaran tidak begitu tertekan dengan cara itu. Namun situasi yang kedua ini dikatakan tidak berapa sesuai untuk majlis-majlis rasmi. Berbanding dengan situasi yang pertama yang dianggap sebagai profesional walaupun melihat teks ataupun skrip lantaran kebarangkalian kesalahan dalam pengucapan yang agak kecil.
Situasi kedua sering berlaku perulangan dalam pemilihan frasa mahupun bait kata yang diucapkan, dikatakan tidaklah dianggap sebagai kesalahan lantaran sifatnya yang santai malah sifatnya pengacara berbicara untuk menarik audien. Dalam hal ini,pengalaman banyak membantu kita menyusun mahupun mengatur bait bicara, kata-kata untuk diumumkan kepada audien.
Benarlah orang kata "alah bisa tegal biasa" banyak membantu diri kita sebagai pengacara untuk mengolah dan mengurus sesuatu majlis. Sepanjang terlibat sebagai pengacara majlis ini, kita perlu bijak mengawal dan membahasakan diri untuk mencorakkan majlis agar hasrat kita tercapai, dan kepuasan diperoleh dalam bidang yang diceburi.