Thursday, January 14, 2010

BUDAYA MENDIDIK ANAK-ANAK

Pencapaian anak-anak dalam pendidikan dipengaruhi oleh banyak faktor. Kajian menunjukkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam pembentukan
dan perkembangan anak-anak, sejak dari dalam kandungan lagi. Dan kesannya dapat
dilihat hingga ke alam dewasa (Woolfolk, 1995).

Pembelajaran berkesan bergantung kepada perkembangan emosi yang sihat. Bagaimana orang dewasa melibatkan diri dalam proses afektif juga mempunyai impak ke atas keupayaan seorang kanak-kanak mengikuti pembelajarannya. Maslow 1976) berpendapat bahawa anak-anak memerlukan keadaan yang selamat dari sudut emosi sebelum pembelajaran dapat berlaku (Greenhalgh,1994).

Meningkatkan kualiti perhubungan dengan anak-anak juga meningkatkan kualiti anak-anak. Sekiranya anak-anak tidak dapat mengecapi hubungan yang sejahtera dengan orang-orang dewasa yang signifikan dalam hidupnya, mereka akan terkesan secara negatif, terutama dari sudut pembentukan konsep kendiri.

Terdapat tiga cara anak-anak mungkin akan terkesan oleh emosi yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap mereka. Pertama, apabila berlaku ketidakterimaan. Kedua ialah apabila ibu bapa terlalu melindungi, dan ketiga, apabila berlaku kekeliruan emosi akibat daripada ibu bapa menunjukkan emosi yang negatif dan positif secara silih berganti terhadap mereka (Barret & Trevilt, 1991).Walau bagaimana pun, cara bagaimana ibu bapa berinteraksi dengan anak-anak mereka bergantung kepada pegangan dan kepercayaan mereka tentang pengurusan dan pendidikan anak-anak. Keluarga yang sentiasa menghadapi keadaan prejudis dan tidak mempunyai sumber yang banyak akan mendidik anak mereka menjadi lebih cekal dan gigih sejak kecil berbanding dengan keluarga yang tidak menghadapi keadaan demikian.

Apabila anak-anak dididik dengan cara yang pelbagai dan berbeza, tentulah mereka akan memberi respon yang pelbagai dan berbeza-beza pula kepada sesuatu perkara dalam konteks persekolahan atau persekitaran yang lain (Trawick, 1997). Perkara ini amat penting difahami oleh para pendidik.Gaya keibubapaan yang digunakan oleh mana–mana ibu bapa tentu akan memberi kesan kepada motivasi pencapaian anak-anak mereka. Hal ini kerana motivasi pencapaian banyak bergantung kepada konsep kendiri dan estim kendiri pelajar berkenaan. Perkara-perkara ini banyak dibentuk oleh pengalaman-pengalaman positif dan negatif dengan mereka yang signifikan termasuk ibu bapa. (Woolfolk, 1995)