Sepuluh tahun yang lalu (1999), ketika saya menjadi Presiden Perwakilan Mahasiswa Sabah, UPM, saya masih ingat intipati perbualan saya dengan Y.B. Dr. Yusuf Yakub, Ahli Parlimen Sipitang (mantan) tentang pemimpin dan kepimpinan ketika kunjungan saya ke bangunan Bank Rakyat, Kuala Lumpur atas urusan persatuan.
Dalam pertemuan tersebut, saya agak tertarik dengan pandangan beliau tentang kemanjadian seseorang itu menjadi pemimpin di sesebuah tempat. Persoalan ini saya tulis setelah mendapati banyak dalam kalangan rakan-rakan (baanan ranakan) yang berjaya dalam akademik mahupun karier sudah mula berjinak-jinak untuk menceburkan diri dalam dunia politik di daerah Semporna dengan harapan suatu masa nanti merekalah yang akan mewarisi kepimpinan di peringkat daerah.
Sekadar perkongsian, dan sekali-kali tidak meremehkan hasrat rakan-rakan untuk menjadi pemimpin hatta menjadi Y.B. sekalipun tetapi intipati bual bicara antara kami berdua yang menyentuh kemanjadian pemimpin agak relevan dengan hasrat rakan-rakan untuk menjadi pemimpin suatu masa nanti. Oleh itu, saya tergerak mendokumentasikan bual bicara tersebut sebagai perkongsian pengalaman.
Dengan mengambil contoh kemanjadian beliau sama ada menjadi Y.B. pada masa itu, hatta ketika beliau sebagai pemimpin sewaktu berada di universiti adalah atas dukungan, dorongan dan sokongan orang-orang di sekelilingnya. Pada beliau, masyarakat akan melihat kewibawaan, kepemimpinan, di samping kebolehan untuk menjalankan amanah memimpin itu menjadi faktor masyarakat mengangkat malah menaikkan nama pemimpin berkenaan supaya berada di tampuk kekuasaan.
Hal ini agak berbeda dengan rakan beliau yang beria-ia sangat untuk menjadi pemimpin, sama ada semasa berada di universiti lagi malah sehingga di kampung halamannya sendiri tidak kesampaian walaupun mempunyai taraf pendidikan yang agak baik atas sebab tidak mendapat perkenan orang-orang di sekelilingnya. Dengan mengambil analogi demikian, Y.B. begitu optimis bahawa kemanjadian pemimpin adalah sesungguhnya dipengaruhi oleh personaliti, pengaruh, restu, dan seru ahli masyarakat yang diwakilinya.
Wallahu alam.