Monday, August 31, 2009

TUAH BADAN VS KECEMERLANGAN

Banyak orang bertanya kepada saya apa bezanya antara tugas seorang pensyarah dengan tugas seorang guru biasa. Secara jujurnya saya mengatakan kepada rakan-rakan yang bertanya kepada saya bahawa antara kedua-dua tugas tersebut tentulah ada perbezaan, walaupun pada asasnya mempunyai persamaan mengajar.

Sering juga ditanyakan kepada saya persoalan, apakah gred atau pangkat seorang guru akan berubah apabila menjawat jawatan tersebut, ikhlasnya saya mengatakan tiada.

Realitinya begitu, tetapi berdasarkan pengalaman saya berada di IPGM, laluan saya begitu cepat empat tahun daripada yang sebenar. Rakan-rakan senior saya di universiti hatta di sekolah lama dahulu masih berada di gred yang lama. Bukanlah bercakap besar, mahupun ingin berlagak sombong pada bulan Ramadan yang mulia ini, tetapi saya amat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh di IPGM, yang saya kira-kira berbaloi dengan pengorbanan saya selama ini.

Antara persoalan lain yang selalu ditanyakan kepada saya adalah; yang mana lebih susah antara pensyarah dengan guru, yang mana seronok, yang mana sibuk, yang mana senang mengajar, yang mana relax, yang mana banyak kursus, yang mana banyak claim, apa keistimewaan menjadi seorang pensyarah? Dan lain-lain keuntungan yang diperoleh oleh rakan-rakan yang bertanya jika mereka memilih opsyen yang sama seperti saya.

Atas kesedaran diri, saya berfikiran kita harus bermula dengan NAWAITU yang tulus dan ikhlas dalam menjalankan sesuatu tanggungjawab tanpa mengharapkan apa-apa keberuntungan yang diperoleh daripada apa yang kita lakukan. Sebagai insan, kita perlu senantiasa membuat penambahbaikan terhadap tugas dan diri; berusaha meningkatkan keilmuan, pengetahuan, maklumat, dan personaliti diri agar relevan dengan keperluan semasa. Hari ini bukanlah lagi berdasarkan TUAH BADAN, tetapi BUDAYA KECEMERLANGAN menjadi tunggak utama prestasi seseorang.

Wallahu alam.

30 Ogos 2009/1133pm.

Saturday, August 22, 2009

PENGACARAAN MAJLIS

Ada dua situasi yang berbeda dalam mengacarakan majlis, pertamanya pengacara bersedia dengan skrip pengacaraan yang telah disediakan berminggu-minggu lamanya, dan keduanya pengacara mengacarakan secara santai dan bersahaja.

Secara jujurnya, saya amat tertarik dengan situasi yang kedua lantaran tidak begitu tertekan dengan cara itu. Namun situasi yang kedua ini dikatakan tidak berapa sesuai untuk majlis-majlis rasmi. Berbanding dengan situasi yang pertama yang dianggap sebagai profesional walaupun melihat teks ataupun skrip lantaran kebarangkalian kesalahan dalam pengucapan yang agak kecil.

Situasi kedua sering berlaku perulangan dalam pemilihan frasa mahupun bait kata yang diucapkan, dikatakan tidaklah dianggap sebagai kesalahan lantaran sifatnya yang santai malah sifatnya pengacara berbicara untuk menarik audien. Dalam hal ini,pengalaman banyak membantu kita menyusun mahupun mengatur bait bicara, kata-kata untuk diumumkan kepada audien.

Benarlah orang kata "alah bisa tegal biasa" banyak membantu diri kita sebagai pengacara untuk mengolah dan mengurus sesuatu majlis. Sepanjang terlibat sebagai pengacara majlis ini, kita perlu bijak mengawal dan membahasakan diri untuk mencorakkan majlis agar hasrat kita tercapai, dan kepuasan diperoleh dalam bidang yang diceburi.

RAMADAN AL-MUBARAK



Sesekali merenung jauh-jauh Ramadhan al-Mubarak yang hadir kali ini begitu bermakna dalam hidup saya, bukan sahaja bulan mulia tetapi hadirnya saya bersyukur dengan kelahiran PUTERA saya yang kedua, dan anak yang keempat. Tarikh 21 Ogos 2009 terpahat dalam memoir keluarga saya yang penuh bermakna. Walaupun saya berjauhan lantaran tugas tetapi RINDUNYA saya pada anak-anak dan isteri TERSAYANG begitu menggamit.

Thursday, August 20, 2009

FIKIR-FIKIR UNTUK BERUBAH

TITIAN PERJALANAN DALAM KEHIDUPAN
Oleh: ARBAA TAMPUNG

Setiap insan ada peluang dan ruang untuk memajukan diri ke arah mana yang harus dituju. Justeru itu, dalam usaha menggilap potensi diri, membina kualiti diri dan seterusnya menjelmakan modal insan diri yang merangkumi nilai – nilai positif yang sesuai dengan hidup dalam konteks bermasyarakat, kita seharusnya berpegang kepada konsep tidak mudah dipengaruhi oleh pelbagai media dan persekitaran tetapi kita seharusnya dipengaruhi oleh pemikiran kita. Ke arah mana yang harus kita tuju? Objektif dan matlamat apa yang sewajarnya kita usahakan hari ini untuk hasilan pada hari – hari mendatang?

Pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi minda dan kerangka pemikiran kita sebagai hamba ALLAH, misalnya media arus perdana yang berbentuk media massa dan media elektronik tetapi untuk melengkapkan diri dengan pelbagai maklumat, proses penyaringan dan penapisan maklumat harus berlaku dan kita harus berpegang teguh kepada disiplin ilmu bahawa bukan semua maklumat adalah betul dan tepat. Kita seharusnya berfikir dengan penuh teliti, membuat pertimbangan yang wajar bahawa untuk berjaya dan cemerlang dalam proses kehidupan kita dipengaruhi oleh pemikiran kita. Susah dan senang, berjaya dan gagal dalam cita – cita yang diinginkan bergantung pada tahap pemikiran kita. Kecemerlangan bermula daripada pemikiran kita.

Dalam proses kehidupan, keperluan dan kehendak insan adalah berbeza. Ada insan yang inginkan kemantapan ekonomi, ada insan yang perlukan jawatan yang hebat dalam sektor awan dan swasta dan ada juga insan yang ingin memiliki keseimbangan hidup dalam pelbagai aspek. Maknanya kita berfikir ke arah mana harus hidup ini hendak dituju. Sesuatu kejayaan dan kecemerlangan hanya boleh diukur oleh insan tertentu.

Saya hidup di dunia yang sementara, yang dipinjamkan oleh ALLAH kepada saya untuk mengenal diri, muhasabah diri tentang apakah tujuan sebenar hidup saya?saya memilih jalan untuk menggunakan potensi yang ada, berusaha sedaya upaya untuk keseimbangan kerjaya dalam profesion keguruan, kebahagian dan kedamaian rumahtangga dan seterusnya pembinaan akhlak dan kecemerlangan anak – anak sama ada dalam aspek agama mahupun akademik. Sebagai hamba ALLAH, saya bukan sahaja penyampai pedagogi dalam konteks profesion saya tetapi saya juga mempunyai tugas dan peranan untuk memelihara dan mengukuhkan keluarga bahagia di samping mentarbiah anak – anak supaya menjadi anak yang soleh dan solehah yang paksinya mengenal ALLAH, mencintai ibu bapa dan menyangi masyarakat serta memberi sumbangan yang bermakna pada pembangunan Negara. Akhirnya bukan mudah untuk bercakap melakukan tugas tersebut ,tetapi sikap, usaha dan tanggungjawab adalah eleman penting yang saya jelmakan dalam tindakan saya. Di samping faham dan tahu ertikata mendidik, membimbing, dan penyampai disiplin ilmu, saya juga komited dengan tugas dan peranan sebagai penasihat, pencetus motivasi dalam kalangan anak, kaunselor dan role model dalam konteks keluarga bahagia.

BEVERLY HOTEL KOTA KINABALU



Dengan tajuk yang sama, sekali lagi ramuan penyelidikan dihidangkan kepada kami pensyarah IPGM Kampus Kent. Tetapi penyampai ramuan itu adalah berbeza dengan tahun lalu (2008) untuk membicarakan tajuk yang sama. Sebagai orang akademik tentulah kursus mahupun bengkel seperti ini amat bermakna lantaran dapat memperkukuh kefahaman diri tentang bidang penyelidikan.

Dalam hal ini, bengkel penulisan yang dianjurkan lebih kepada perkongsian ilmu untuk memperkasa pengetahuan diri. Justeru manfaat di sebalik perkongsian ini akan digarap dalam bentuk penulisan ilmiah bagi merungkai permasalahan demi menemukan jalan penyelesaian terhadap situasi pelajar.

Tuesday, August 18, 2009

BUDAYA KENDURI ARWAH

Lazimnya apabila hampir bulan Ramadhan, masyarakat Bajau Semporna akan melaksanakan kenduri arwah (mag'aruwah)untuk mendoakan kaum keluarga yang telah kembali ke rahmahtullah. Budaya kenduri arwah dalam kalangan masyarakat Bajau Semporna dengan niat dan nawaitu memberi makan kepada arwah-arwah yang telah pergi buat selama-lamanya.

SUKA DALAM DERITA


Pemuda yang bekerja di Car Wash selama lebih kurang 10 jam sehari ini hanya dibayar RM180 sebulan.

SERIBU WAJAH


Agak sedih juga dengan gelagat beberapa orang pekerja Car Wash di salah sebuah tempat di daerah Semporna, yang agak terkejut dengan capaian komputer riba saya menggunakan broadband untuk melayarai internet. Saya sempat merakam wajah-wajah mereka yang gembira untuk dimuatkan dalam blog ini.

ANAK-ANAK KESAYANGAN HAMBA


Muhammad Khalil Khusairi
Najla Khairani
Najwa Khairin

Thursday, August 6, 2009

TOKOH GURU DAERAH SEMPORNA TAHUN 2009

Tokoh guru pada tahun ini dilahirkan pada 26 Mei 1941 di Pulau Denawan, Semporna, Sabah. Anak bongsu daripada 3 orang adik-beradik ini memulakan zaman persekolahannya di Government School Denawan Semporna pada 1 September 1956 hingga tamat darjah 6 pada 13 Februari 1961. Kesungguhan dan cinta beliau dalam bidang pendidikan tidak terhenti begitu sahaja, pada tahun 1971 beliau telah mengikuti darjah pelajaran lanjutan hingga lulus Sijil Pelajaran Rendah. Pencapaian ini membolehkan beliau mendapatkan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan.

Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang perguruan apabila ditawarkan bertugas di Native Voluntier School Labuan Senang, Semporna pada 1 Januari 1962 dengan memegang jawatan sebagai Guru Besar. Untuk memantapkan pedagogi keguruan, beliau telah menyambung pengajian selama 6 bulan di Native Voluntary School Training Teacher Center ( NVSTTC ) Tanjung Aru, Jesselton sehingga memperoleh Sijil Lulus North Borneo Department Education setelah menamatkan kursus latihan pada 22 Jun 1963.

Setelah tamat pengajian perguruan, pada 1 Julai 1963 beliau ditempatkan di Native Voluntier School Bugaya, dan kemudian pada tahun 1965 dilantik sebagai Guru Penolong Kanan Government Primary School Bugaya.

Sepanjang kerjaya beliau dalam bidang pendidikan, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Guru Besar di beberapa buah sekolah di daerah Semporna, antaranya pada Disember 1965 hingga 1969 beliau ditempatkan di SRK Lihak-lihak sebagai guru besar, pada tahun 1970 selama 1 bulan di SRK Pegagau, kemudian pada Januari 1971 selama sebulan, beliau ditugaskan sebagai Guru Besar di SRK Sisipan, dan seterusnya beliau ditempatkan pula ke SRK Kabogan pada tahun yang sama sehingga tahun 1984.

Pencapaian dan khidmat beliau sepanjang perkhidmatan selama ini telah mendorong beliau dinaikkan pangkat ke gred C2 tingkatan khas di SRK Bandar Tawau dengan memegang jawatan sebagai Penolong Kanan pada Disember 1984.

Kemudian, pada Januari 1988 beliau bertugas semula ke daerah Semporna, iaitu di Pejabat Pelajaran Daerah Semporna sebagai Penyelia Sekolah. Setelah bertugas selama 8 tahun di Pejabat Pelajaran Daerah, beliau bersara wajib pada 20 Februari 1996 (Rujuk Tarikh ini)

Sepanjang perkhidmatan beliau, beliau telah memperoleh Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1993 dan menerima pingat kebesaran negeri, iaitu pada tahun 1992 beliau dikurnikan pingat Bintang Setia Kinabalu ( BSK ) oleh TYT Sabah Tun hj.Mohd Said Keruak.

Antara sumbangan kemasyarakatan yang beliau ceburi ialah ahli Kesatuan Guru-guru Kerajaan Sabah mulai tahun 1964 hingga sekarang, dan mantan Pengerusi PIBG SMK Agama TUN Sakaran dari tahun 1993 hingga 1996 .

Tokoh Guru yang dimaksudkan ialah Tuan Haji Sarail bin Asaali.

Monday, August 3, 2009