Peribahasa ada menyebutkan, "banyak berjalan luas pengalaman", "banyak berjalan juga luas pemandangan". Peribahasa ini memberi maksud perjalanan yang banyak akan memberi input yang banyak kepada diri seseorang. Lantaran itu, ada setengah-setengah orang yang gemar berjalan semata-mata untuk menimba sedapat mungkin pengalaman.
Dalam konteks sebagai seorang guru, mantan guru besar SK. Bugaya Semporna, Tuan Haji Abd. Mim Taib menyifatkan tempoh masa yang paling ideal bagi seseorang guru berada di satu-satu tempat atau sekolah adalah dalam tempoh 5 tahun. Pada beliau tempoh tersebut agak sesuai, iaitu tidak terlalu lama, dan tidak pula terlalu singkat. Tempoh 5 tahun memadai untuk mempraktikkan segala amalan pendidikan mahupun amalan pedagogi keguruan di sesebuah sekolah. 5 tahun yang berlalu, dan 5 tahun mendatang dapat dijadikan panduan oleh seorang guru untuk mencorakkan perancangan masa depannya.
Secara realitinya, pengalaman di sekolah lama dapat dibanding beza dengan sekolah baru untuk membentuk amalan keguruan yang baru pada guru berkenaan. Tentulah sekolah lama ada nilai-nilai baik dan murni yang dapat dicontohi, sementara amalan profesionalisme yang positif di sekolah baru dapat dipraktikkan dengan bijaksana. Pembudayaan gabungan amalan nilai-nilai baik yang diwarisi daripada sekolah berlainan akan mewujudkan pemerkasaan jadi diri sebagai seorang guru lantaran kecendekiaan guru berkenaan semakin terserlah.