Tuesday, September 29, 2009
INOVASI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PANTUN MELAYU
Aplikasi strategi berpusatkan pelajar dan bahan ini merupakan suatu inovasi dengan memperkenalkan teknik baru untuk mengajarkan pantun Melayu. Walaupun teknik tersebut terdapat dalam Kesusasteraan Melayu namun pengaplikasiannya dalam pantun Melayu sebelum ini tidak pernah dilakukan, justeru penggunaanya dalam pengajaran dan pembelajaran pantun Melayu dapatlah dikatakan sebagai suatu deviasi dan inovasi. Malah idea ini menerapkan penggabungjalinan pelbagai ilmu, khususnya ICT, seni budaya, muzik, di samping teras kebahasaan yang menjadi akar dan tunjang pembelajaran. Justeru aspek kebahasaan dipertegas menerusi pengucapan membaca pantun yang betul dengan menitikberatkan sebutan, nada, intonasi, jeda, dan gaya kepada kumpulan sasar. Dengan menggarap kandungan pengetahuan pantun Melayu yang komprehensif, satu set latihan membina pantun berinovasi digunakan untuk mengukur keberkesanan pengajaran dan pembelajaran, di samping soal selidik kepuasan pelanggan dijadikan instrumen menilai keafektifan pembelajaran. Kesepaduan inovasi dari sudut kandungan, kreativiti, pengaplikasian, kos, dan tempoh masa benar-benar meletakkan pantun Melayu di benak rasa khalayak.