Friday, January 29, 2010

"MENEMUI JALAN PULANG"

Saya amat tersentuh dengan kembalinya seorang kawan ke rahmatullah 25 Jan 2010 yang lalu, tanpa sebarang tanda hatta dalam kalangan rakan-rakan karibnya. Perginya rakan ke alam barzakh mengingatkan saya ketentuan "ajal maut itu di tangan Tuhan" yang maha Esa. Pemergiannya membawa seribu iktibar kepada saya akan "kematian itu adalah sesuatu yang pasti" yang tidak terjangkakan oleh makhluk Allah di muka bumi ini.


Kisahnya hampir sama dengan rakan di SMK Bandar Damai Perdana, Cheras Selangor yang saya pahatkan dalam puisi "MENEMUI JALAN PULANG"/

MENEMUI JALAN PULANG
(Dedikasi buat teman yang kembali ke rahmatullah)
Puan Hayati Ashak

Aku sempat bertanya
Sebelum teman
Menemui jalan pulang

Aku sempat berbicara
Mengajukan kemusykilan
Bertanya jawapan terang

Dengan tenang teman sedia
Menghulur sepatah jawapan
Biar resah pun walang

Apakah ini suatu yang nyata
Atau khayalan
Pada ramalanmu yang datang

Aku masih bertanya-tanya
Kisah seorang teman
Yang menemui jalan pulang

Tanpa tanda tanpa kata
Ke sana semalam masih segar aman
Melempar senyum walau kan pulang

Damai abadi hanya pada-Nya
Jalan pulang adalah ketentuan
Alam pasti yang tenang.


28. 09. 2005
Majalah SMK Bandar Damai Perdana,
Cheras, Selangor, 2005

Tuesday, January 19, 2010

"BANYAK BERJALAN LUAS PEMANDANGAN"

Peribahasa ada menyebutkan, "banyak berjalan luas pengalaman", "banyak berjalan juga luas pemandangan". Peribahasa ini memberi maksud perjalanan yang banyak akan memberi input yang banyak kepada diri seseorang. Lantaran itu, ada setengah-setengah orang yang gemar berjalan semata-mata untuk menimba sedapat mungkin pengalaman.

Dalam konteks sebagai seorang guru, mantan guru besar SK. Bugaya Semporna, Tuan Haji Abd. Mim Taib menyifatkan tempoh masa yang paling ideal bagi seseorang guru berada di satu-satu tempat atau sekolah adalah dalam tempoh 5 tahun. Pada beliau tempoh tersebut agak sesuai, iaitu tidak terlalu lama, dan tidak pula terlalu singkat. Tempoh 5 tahun memadai untuk mempraktikkan segala amalan pendidikan mahupun amalan pedagogi keguruan di sesebuah sekolah. 5 tahun yang berlalu, dan 5 tahun mendatang dapat dijadikan panduan oleh seorang guru untuk mencorakkan perancangan masa depannya.

Secara realitinya, pengalaman di sekolah lama dapat dibanding beza dengan sekolah baru untuk membentuk amalan keguruan yang baru pada guru berkenaan. Tentulah sekolah lama ada nilai-nilai baik dan murni yang dapat dicontohi, sementara amalan profesionalisme yang positif di sekolah baru dapat dipraktikkan dengan bijaksana. Pembudayaan gabungan amalan nilai-nilai baik yang diwarisi daripada sekolah berlainan akan mewujudkan pemerkasaan jadi diri sebagai seorang guru lantaran kecendekiaan guru berkenaan semakin terserlah.

KUALITI DALAM KEHIDUPAN BAHAGIAN 3

Dengan mengambil kira falsafah orang Bajau, iaitu "Untuk apakah kita bekerja kalau bukan untuk kesenangan diri", merujuk perbualan saya dengan seorang teman yang menyatakan orang Bajau menjadikan falsafah tersebut sebagai amalan dalam hidup . Ini bermakna segala kepayahan dan keperitan mencari wang ringgit di alam fana ini perlu dibayar dengan keperluan, selain keperluan dapur, keperluan-keperluan lain misalnya:

1. Tilam yang empuk untuk keselesaan.
2. Bantal berjenama yang baik.
3. Set sofa yang sederhana.
4. Meja makan.
5. Pakaian.
6. Dan lain-lain untuk diri.

Mengapa kita begitu lokek berbelanja untuk diri sendiri walhal diri kita telah berkorban untuk kita berjaya dalam hidup, justeru secara logiknya kita perlulah membayar balik segala kejayaan itu dengan sedikit keselesaan yang berlipat kali ganda untuk diri. Namun perlu diingat, falsafahnya orang Bajau ialah segala keperluan yang disediakan itu adalah untuk keselesaan diri dan bukannya menjadikan kita bangga diri.

Sunday, January 17, 2010

KUALITI DALAM KEHIDUPAN BAHAGIAN 2

Ini tidak bermakna memakan beras Nasional itu tidak baik, cuma dari segi falsafahnya memakan beras wangi atau beras berkualiti merupakan satu pelaburan ke arah jaminan kesihatan yang baik. Justeru terpulang kepada kemampuan masing-masing untuk memilih yang mana satu beras menjadi pilihan hati.

Seumpama kita berbicara dalam kalangan orang-orang Semporna yang suka rumah-rumah yang besar mahupun kereta besar. Dari segi realitinya, siapa yang tidak mahu memiliki rumah besar ataupun kereta besar, tetapi istilahnya "ukurlah baju di badan sendiri", iaitu berdasarkan kemampuan masing-masing. Jika kita mampu, untuk membeli sebuah kereta yang besar, dan memiliki banglo yang besar dan cantik apa salahnya dalam konteks meningkatkan kualiti diri dalam hidup. Dua perkara yang menjadi keutamaan dalam kalangan orang-orang Semporna ini perlu difikir secara bijaksana dan tidak diremehkan secara semberono oleh sesiapa.

Perubahan yang ketara dalam kehidupan orang-orang Semporna ialah memiliki rumah-rumah besar. Dari sudut keselesaan tentulah rumah yang besar memberikan kepuasan kepada pemiliknya. Malah reka bentuknya agak menarik dengan menampilkan reka bentuk moden walaupun ada ciri-ciri tradisional pada rumah berkenaan menaikkan taraf hidup pemiliknya.

Saturday, January 16, 2010

KUALITI DALAM KEHIDUPAN

Seorang teman bercerita kepada saya dengan panjang lebar tentang bagaimana kita harus mengurus diri dengan bijaksana. Dalam pertemuan itu, saya mengambil pendekatan untuk menjadi pendengar yang aktif untuk mengaplikasi kemahiran mendengar yang selalu saya kuliahkan kepada pelajar-pelajar di institut tempat saya bekerja.Namun saya begitu optimistik terhadap tajuk perbualan kami yang membicarakan tentang kehidupan apatah lagi melibatkan pengurusan diri dalam konteks bagaimana seharusnya kita merancang dan mengurus kewangan dengan bijaksana, pengurusan keluarga, dan perancangan masa depan.


Di sebalik perbualan itu, oleh sebab saya lebih banyak mendengar; kemahiran berfikir saya menerawang sehingga falsafah sebenar dalam kehidupan dapat saya rumuskan berhubung dengan kualiti diri yang harus kita jelmakan dalam kehidupan, dengan sedikit melihat keadaan masyarakat sekeliling khususnya masyarakat daerah Semporna yang berlumba-lumba meningkatkan kualiti diri dari aspek perekonomian. Falsafahnya amat mudah, untuk apa kita bekerja kalau bukan untuk kebahagiaan, kesempurnaan, mahupun kesenangan diri sendiri.

Lantaran barangkalinya, seperti yang teman saya bicarakan akan keasyikannya mencari beras Nasional yang berharga RM18.00 untuk kegunaan keluarga sehingga sanggup mencari-cari shoping kompleks di merata tempat semata-mata mencari beras murah tersebut sebagai pelan berjimat. Saya tidak menyangkal pendapat tersebut kerana pendapatnya agak benar jika dianalisis dari sudut ilmu ekonomi, tetapi ilmu falsafah yang diajarkan oleh ilmuan agama, moral dan etika dalam kehidupan yang menekankan kualiti, sekira-kiranya agak bertentangan dengan pendapat teman saya itu.

Pandangan ini berkaitan dengan pelaburan yang kita jana untuk diri sendiri,seumpama kita melabur, jika benih yang kita tanam itu baik, sudah barang pasti buah yang tumbuh ialah buah-buah yang segar, molek, terhindar daripada penyakit, mempunyai khasiat dan zat yang tinggi.Berbanding dengan tanam-tanaman yang berpenyakit kerana benihnya yang tidak baik. Dari sudut ilmu falsafahnya, jika kita makan beras yang mempunyai kualiti yang baik, kualiti diri akan meningkat, untuk kelangsungan kebahagiaan dalam kehidupan.

Fikir-fikirkanlah!

bersambung...

Thursday, January 14, 2010

BUDAYA MENDIDIK ANAK-ANAK

Pencapaian anak-anak dalam pendidikan dipengaruhi oleh banyak faktor. Kajian menunjukkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam pembentukan
dan perkembangan anak-anak, sejak dari dalam kandungan lagi. Dan kesannya dapat
dilihat hingga ke alam dewasa (Woolfolk, 1995).

Pembelajaran berkesan bergantung kepada perkembangan emosi yang sihat. Bagaimana orang dewasa melibatkan diri dalam proses afektif juga mempunyai impak ke atas keupayaan seorang kanak-kanak mengikuti pembelajarannya. Maslow 1976) berpendapat bahawa anak-anak memerlukan keadaan yang selamat dari sudut emosi sebelum pembelajaran dapat berlaku (Greenhalgh,1994).

Meningkatkan kualiti perhubungan dengan anak-anak juga meningkatkan kualiti anak-anak. Sekiranya anak-anak tidak dapat mengecapi hubungan yang sejahtera dengan orang-orang dewasa yang signifikan dalam hidupnya, mereka akan terkesan secara negatif, terutama dari sudut pembentukan konsep kendiri.

Terdapat tiga cara anak-anak mungkin akan terkesan oleh emosi yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap mereka. Pertama, apabila berlaku ketidakterimaan. Kedua ialah apabila ibu bapa terlalu melindungi, dan ketiga, apabila berlaku kekeliruan emosi akibat daripada ibu bapa menunjukkan emosi yang negatif dan positif secara silih berganti terhadap mereka (Barret & Trevilt, 1991).Walau bagaimana pun, cara bagaimana ibu bapa berinteraksi dengan anak-anak mereka bergantung kepada pegangan dan kepercayaan mereka tentang pengurusan dan pendidikan anak-anak. Keluarga yang sentiasa menghadapi keadaan prejudis dan tidak mempunyai sumber yang banyak akan mendidik anak mereka menjadi lebih cekal dan gigih sejak kecil berbanding dengan keluarga yang tidak menghadapi keadaan demikian.

Apabila anak-anak dididik dengan cara yang pelbagai dan berbeza, tentulah mereka akan memberi respon yang pelbagai dan berbeza-beza pula kepada sesuatu perkara dalam konteks persekolahan atau persekitaran yang lain (Trawick, 1997). Perkara ini amat penting difahami oleh para pendidik.Gaya keibubapaan yang digunakan oleh mana–mana ibu bapa tentu akan memberi kesan kepada motivasi pencapaian anak-anak mereka. Hal ini kerana motivasi pencapaian banyak bergantung kepada konsep kendiri dan estim kendiri pelajar berkenaan. Perkara-perkara ini banyak dibentuk oleh pengalaman-pengalaman positif dan negatif dengan mereka yang signifikan termasuk ibu bapa. (Woolfolk, 1995)

KOD BAHASA DALAM LAGU BAJAU

Bahasa adalah alat yang digunakan oleh manusia untuk berhubung dengan manusia yang lain. Manusia menggunakan bahasa untuk berkomunikasi, meluahkan perasaan, menyampaikan ilmu, memberi arahan, dan sebagainya. Bahasa juga mencerminkan pemikiran, sikap, kebudayaan dan peradaban sesuatu bangsa. Dalam hubungannya dengan pemikiran ini, bahasa sebagai sistem perlambangan dapat mewujudkan butiran pemikiran yang dikemukakan oleh seseorang, misalnya oleh seorang pengarang, penyair mahupun oleh seorang penyanyi biasa. Lambang (kod bahasa) adalah pewujudan konsep atau makna yang terungkap menerusi karya yang dihasilkan.

Dalam hal ini, Arbaie Sujud (2006 :152) menjelaskan bahawa hakikat bahasa sebagai sistem lambang berperanan sebagai medium komunikatif, dengan mengambil pendapat Herman J. Waluyo (1987) untuk menjelaskan kesatuan wacana dan makna, iaitu di dalam sajak akan terungkap pemikiran dan perasaan penyair yang disampaikan melalui penggunaan lambang-lambang bahasa yang diterapkan dalam kata-kata, frasa ataupun kalimat.

Dalam hal ini, Arbaie Sujud mengambil pendapat Rolland Barthes (1980) yang menyatakan seseorang penyair dalam usahanya mengungkapkan pemikiran akan menerapkan kod bahasa bagi membantu pembaca menanggapi makna. Justeru, aplikasi penerapan kod bahasa dalam mencari makna adalah perlu, sama ada penerapan kod simbolik, kod budaya, kod hermeneutik (penafsiran), kod proairetik (perbuatan), dan kod semantik sebagaimana yang dinyatakan oleh Arbaie (2006: 153). Untuk tujuan ini, pengkaji akan membincangkan penerapan kod bahasa tersebut terhadap beberapa buah lagu Bajau, iaitu lagu “Zaman Adding”, “ Ayu Pulau Bajau”, “Mag Taubat”, “Sin Judi Embal Ahap”, “Mag Lami-Lami”, “Undangan Panyanyi”, dan lagu “Aku Anak Miskin”.


Analisis Perbincangan

Dalam lagu “Leleng Zaman Adding” oleh Habibul didapati wujudnya penerapan kod bahasa. Antara kod bahasa yang dikesani ialah kod proairetik. Menurut Arbaie (2006: 159) kod proairetik merupakan rentetan gerakan pemikiran penyair yang membentuk garis linear. Dalam lirik lagu tersebut didapati kod proairetik:

Jaman bitinaan tinauna si baran oh rayang
Amatuntul na halam saga anak danakan oh rayang

Ni dangan maka dangan
Sikut maka lawakan oh rayang
Embal na mag pandang-pandangan
Masoal kasusahan oh rayang
Angkanan na oh si baran
Maghinang pamintangan si Habibul si tuan
Ni miskin sampai rayahan
Kalu-kalu embal du isab pag laatan

Aigih bang si miskinan
Bang ma tahun bitinaan oh rayang
Embal na halgaan ma anak danakan oh rayang

Angkanan na oh si baran
Maghinang pamintangan si Habibul si tuan
Ni miskin sampai rayahan
Kalu-kalu embal du isab pag laatan

Aigih bang si miskinan
Bang ma tahun bitinaan oh rayang
Embal na halgaan ma anak danakan oh rayang

Justeru, pemikiran yang digambarkan secara linear ini, tidak dapat difahami jika khalayak hanya meneliti rangkap pertama mahupun rangkap kedua lagu. Oleh itu, pertautan antara rangkap demi rangkap adalah penting untuk memperoleh kesatuan makna yang tepat. Dari segi kod proairetiknya, penyanyi mampu menjelaskan kebimbangan penyanyi terhadap sikap tidak ambil peduli kaum keluarga, sama ada keluarga yang berada nun jauh, mahupun keluarga dekat terhadap penderitaan yang dialami oleh sesetengah ahli keluarga (penyanyi). Hal ini dikaitkan dengan kod budaya masyarakat Bajau yang pada asalnya saling bantu-membantu antara satu sama lain, ‘mag pandang-pandangan’ apabila berlakunya musibah atau kejadian buruk terhadap kaum keluarga, seperti yang digambarkan pada rangkap kedua dan ketiga. Selain itu, penyanyi memberi peringatan kepada golongan kaya dan dan golongan miskin dengan penggunaan diksi yang tepat dan mendayu-dayu agar masyarakat menyedari penderitaan tersebut pada rangkap ketiga dan keempat. Justeru pada rangkap kelima dan keenam penyanyi memberi pesanan, nasihat, malah peringatan ini agar tidak akan menimbulkan prasangka yang boleh menyebabkan pertengkaran. Apatah lagi, kebimbangan penyanyi yang menyedari dirinya pada masa (zaman) ini, sudah tidak berharga lagi akibat kemiskinan. Dalam lagu ini, terdapat juga kod simbol, iaitu tanda yang mempunyai hubungan, yang bersifat arbitrari tetapi tidak mempunyai perkaitan dengan peristiwa sebenarnya seperti yang ditegaskan oleh Arbaie Sujud (2006: 153). Dalam hal ini, kod simbol yang digunakan oleh penyanyi ialah ‘jaman’ (zaman), dan ‘rayang’ (orang yang disayang, iaitu masyarakat). Simbol ‘jaman’ dalam lagu menunjukkan sifat maju masyarakat, sementara ‘rayang’ merupakan kata sapaan yang bererti sikap masyarakat yang saling menyayangi saudaranya.

Selanjutnya, dalam lagu “Ayu Pulau Bajau” kod semantik digunakan untuk memahami kerinduan penyanyi terhadap kekasihnya yang sudah lama pergi meninggalkan dirinya. Justeru penyanyi bertanya seperti yang digambarkan pada rangkap pertama:

Mag tahun na lasa ku agentom ka’a
Ai baha lasa kalawakan nan mata
Lasa halam na ka madunnia
Ai lagi mag tahun tahunan toggol na
Oi lasa lil lal lil lil lal
Lil lal la boy lil lal lil lil lal…

Malah kod hermeneutik (pentafsiran) diperlukan untuk mentafsir makna tentang apakah yang menyebabkan orang yang disayangi berada nun jauh di sana? Timbul pertanyaan pada diri penyanyi, apakah orang yang disayangi sudah lama meninggal dunia lantaran sudah bertahun-tahun hilang dari pandangan mata, sehingga diri penyanyi terasa pencarian itu sudah tiba ke penghujungnya, dan akhirnya penyanyi bertanya di manakah gerangan orang yang disayangi itu.

Lasa mag tahun-tahun naka
Mania na oi ma mata
Puas-puas na aku lasa miha ka’a
Lasa bangru maai na ka maingga
Oi dayang lil lal lil lal
Lil lal la oi li lal lil lil la…

Maitu lasa mareom dunnia
Sauga lasa peheuun na
Lasa bang pun kita
Lasa embal na mag anda’ mata
Embal duka isab hek ku tapilosa
Oi lasa lil lal lil lal..
Lil lal la oi li lal lil lil la…

Pada hemat penyanyi, orang yang disayangi itu tentu berada di alam nyata, walau bagaimanapun biarlah dirinya tidak menemui kekasihnya itu. Namun orang tersayang itu tidak akan dilupakan begitu sahaja, seperti kata Habibul.
Maitu lasa mareom dunnia
Sauga lasa peheuun na
Lasa bang pun kita
Lasa embal na mag anda’ mata
Embal duka isab hek ku tapilosa
Oi lasa lil lal lil lal..
Lil lal la oi li lal lil lil la…
Angka nan na oi pahali-hal
Habibul oi otok Masri
Alaat duna pag suli-suli
Masi Habibul mag panyanyi
Padi-padi si merah padi….

Kod simbol dalam lagu ini ialah Kata Nama Habibul dan Masri, iaitu simbol yang menunjukkan diri penyanyi (Habibul) dan pemain keyboard (Masri).

Meneliti lagu “Kaallummanku” oleh Habibul, didapati bahawa penyanyi mengaitkan makna dengan kata, iaitu kata yang dipilih dapat mengungkapkan makna yang lebih khusus seperti yang dikatakan oleh Croce, B (1972) bahawa kata dapat menggambarkan seribu makna. Oleh itu penggunaan kata, “Bai sadja Masri ania, ma aku danda mahi lalla’, embal ku jo mag ongka’, hal atuli aku maluma’, Padi-padi si merah padi” dalam rangkap pertama memberi pengertian tentang persepsi tugas seorang penyanyi, yang wajar dihentikan jika isteri mahupun kekasih mempunyai pekerjaan bagi menanggung kehidupan mereka. Hal ini diakibatkan, penyanyi tidak ingin menerima akibat, kesan kerja menyanyi yang dikatakan kelak dimasukkan ke dalam neraka apabila meninggal dunia.

Siraka aku massa nala
Mag ampun pen tabiak
Ni manga a’a maka pakaleh
Tinauna aku masi manalka
Padi-padi si merah padi…

Oleh itu, kod semantik diperjelas pada rangkap seterusnya tentang keinginannya untuk berehat, dan disampaikannya kepada adik Masri. Dia tidak ingin menyanyi kecuali apabila ada majlis keramaian. Justeru, kod budaya yang diperlihatkan ialah majlis keramaian, atau majlis yang melibatkan kaum keluarga dan masyarakat yang dianggap sebagai kerja murni dan merupakan satu tanggungjawab sosial.

Angkan na oi pahali-hali
Habibul oi otok Masri
Alaat duna pag suli-suli
Masi Habibul mag panyanyi
Tabiak min mag lami-lami

Na buat ehek na suli min si
Habibul panyanyi salta ni lalla Masri
Oi kamemon pakale
Padi-padi si merah padi…

Siraka aku Masri anallak
Mag ampun peen tabiak
Ning manga a’a pakaleh
Tinauna na aku masi manalka
Padi-padi si merah padi…

Kod simbol “Padi-padi si merah padi” digunakan untuk menggambarkan suasana ketenangan, sesuai dengan irama dan melodi lagu “Padi-padi si merah padi” yang dipetik dari sebuah filem lakonan Allahyarham P. Ramlee.

Agak berbeza dengan lagu “Mag Taubat” kod simbol yang dikemukakan ialah sembahyang dan ulamak yang membawa konotasi yang baik. Sembahyang sebagai rukun Islam dan amalan umat Islam dapat mendidik masyarakat agar beriman dengan Allah Pencipta sekalian alam. Begitu juga dengan golongan ulama yang dianggap golongan pewaris Nabi s.a.w. digunakan. Dalam menggunakan kod simbol tersebut, seolah-olah penyanyi menggambarkan sikap masyarakat, yang mengamalkan suruhan Allah tersebut. Kod budaya juga dapat dilihat menerusi sindiran sinis Habibul terhadap sikap masyarakat yang melakukan amal ibadat seperti sembahyang lima waktu, tetapi masih melakukan amalan kejahatan seperti yang diselar oleh Habibul:

Aina guna lasa mag sambahayang
Bang embal du lasa kabogbogan
Lasa tabiak man kasehekan
Kalaatan du pinaghinang

Heka na bai mag alim ulamak
Kahekaanna mag laka-laka
Mag ampun peen isab tabiak
Bang si baran itu I asak

Minsan na kita mag sambahayang
Bang lasa karupangan du ni hinang
Tabiak isab min kasehekan
Sayang sadja hukuman tuhan

Dari segi kod semantiknya, penyanyi menyatakan sikap berpura-pura masyarakat yang menjadi alim, tetapi amalan itu semata-mata untuk menunjuk kepada orang lain. Oleh itu, penyanyi mengajak kita supaya mengingati hukuman Allah sebagai benteng daripada melakukan kejahatan. Akhir sekali, penyanyi mengingatkan bahawa tiada maknanya kita bertaubat sekiranya kejahatan dan dosa juga yang dilakukan.

Lahaula lasa bai na hinang ta
Angai isab embalm bogbogan ta
Na bang ni beyak hukuman Allah
Aniksak ma baran ta

Suli-suli itu I min si baran
Pina sampai ni kamemon anak danakan
Salta na ni paminat kaginisan
Oi ni kasehekan…

Sayang sadja kita lasa mag taubat
Bang dusa du dusa embal apuas
Bang konok kita nu alaat
Yana baranta patannaan sasat

Suli itu pina saplag ni paminat
Oi..min kami pati lahat
Sai-sai lahik embal meyak mag taubat
Piun na lasa kita rua sadja takka

Seterusnya lagu “Sin Judi Embal Ahap” oleh Habibul membawakan kod semantik yang jelas, iaitu memaparkan bagaimana wang dapat memenuhi segala kehendak manusia. Pada hemat penyanyi sekiranya wang yang diperoleh dari sumber yang halal, bolehlah dibelanjakan membeli keperluan harian. Sebaliknya, penyanyi menyatakan sekiranya wang hasil judi digunakan, banyak musibah yang akan diterima oleh seseorang. Misalnya seseorang yang mengerjakan dan menunaikan ibadat haji dengan menggunakan wang hasil judi telah bertukar menjadi seekor khinzir.

A heka a’a bilahi
Bang sin ahap pag lagi-lagi
Hek banan kaum pamili
OK..bang pag lami-lami

Minsan itu rikayu panyanyi
Bang sin ahap pag lagi-lagi
Salta pamilli-milli
Tattap na eyaah bilahi

Sah bang konok sin judi
A’a embal bilahi
Ganta bang pamilli-milli
Hebaanan kaum pamili

Angkanan na konok si lalla panyanyi
Embal na yama sakali-kali
Ganta ni lagi-lagi
Maka sin embal OK..

Oi si lalla panyanyi
Ania sin paling-paling pagbilli STC (Sandakan Turf Club)
Embal hek na pag lagi
Lahaula sampai mag naik haji

Iya konok bang sin judi
Oi embal iya sekali-kali
Oi maka kale iya bai istori
Ania na konok bai mastal jadi
Na bok konok
Nia saga suli-suli
Hekana konok saga jadi bawi
Angkan mindilu na kok si lalla panyanyi
Embal na iya bialahi bang sin embal okey

Dalam lagu ini, kod simbol ‘Sin Judi’ , ‘STC’, di samping ‘Bawi (khinzir)’ menggambarkan budaya masyarakat yang melibatkan diri dengan perbuatan yang dilarang di sisi agama Islam. Oleh itu, simbol ini berkaitan dengan kod budaya masyarakat, di samping kod proairetiknya memperingatkan agar mereka berwaspada, malah senantiasa berbuat baik.

Sementara lagu “Mag Lami-lami” oleh Habibul, mengemukakan kod semantik yang menyatakan kesediaan penyanyi untuk menyanyi dalam majlis memeriahkan ahli keluarga. Kod budaya diperlihatkan apabila penyanyi berharap agar kaum perempuan sanggup bersama-samanya memeriahkan majlis tersebut dengan menyumbang tarian igal-igal. Penyanyi sebak dan berasa terhutang budi dengan kesediaan kaum perempuan untuk bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Mareom aku mag panyanyi
Ni kaum pamili
Akun mag lami-lami
Sangom-sangom hek hei…
Sumping ku sumping Sumping sulasi
Sumping kailu landu’ naganda’ ma lami-lami

Sampai na oi isab ma sangom iti
Lae-lae pakale-kale
Oi lahila ma lami-lami
Anganda’ na panari
Sumping ku sumping sumping jo wanni
Kailu ru sab ania taboa pag sagu hati

Embal aku ba pahali-hali
Angongkak oi mag panyanyi
Dayang ku sangom iti

Da’a peen ka dayang a tuli
Sumping ku sumping sumping wanni
Sumping landu kailu bang isab ka bilahi

Sangom iti mag panyanyi
Mareom aku mag lami-lami
Oh..aku lahila mag panyanyi
Ni ba anan kaum pamili
Sumping ku sumping sumping sulasi
Sumping landu’ kairu maka si Masrie

Habibul menggunakan kod simbol “Sumping ku sumping Sumping sulasi, Sumping kailu landu’ naganda’ ma lami-lami” yang membawa makna kuntuman bunga yang mekar dan harum dalam masyarakat, dan menjadi sebahagian daripada kod budaya masyarakat Bajau.

Selain itu, dalam lagu “Undangan Panyanyi” Habibul mengungkapkan kod budaya masyarakat Bajau, iaitu majlis perkahwinan, yang antara lain adanya acara undangan menyanyi. Dari segi kod semantiknya, Habibul berharap dia tidak dundang ketika dirinya berasa tidak tenteram menyumbang lagu. Penyanyi berasa bimbang dirinya tidak dapat membuat persembahan yang baik kepada kaum keluarga pada masa tersebut. Justeru, untuk tidak menghampakan permintaan keluarga, ada baik dirinya tidak dijemput untuk membuat persembahan pada majlis tersebut kerana keadaan emosinya yang terganggu. Malah Habibul menggunakan diksi yang mudah untuk menyatakan maknanya, sebagaimana yang dinyatakan oleh A. Wahab Ali (Arbaie, 2006: 157) yang menjelaskan bahawa seseorang penyair perlu mempermudah jalinan komunikasinya dengan khalayak bukan menyeliratkan pemahaman sehingga menghasilkan kekaburan.

Angundang da’a magundang
Bang panyanyi embal asannang
Mareom pagkawinan jari silap kalangan
Lahila saga anak danakan
Jari silap kalangan lahila saga anak danakan..

Panyanyi lahila angalang
Oi ma mag pakawinan
Embal alang-alang lahila mas tuan
Oi bang angongkak na mag pasandingan
Embal alang-alang bang ilu na pag pasandingan

Bang atai embal asannang
Panyanyi si baran
Ma pag kawinan lahaula anak danakan
Nia dui sab kok ilu maka susahan
Lahila bang panyanyi embal asannang
Ania du isab kok ha maka susahan

Atai panyanyi embal asannang
Gundang embal asannang
Oh saga anak danakan
Atau pangundang embal a tannang
A meyak du panyanyi mag kasusahan
Bang angundang embal a tannang
A meyak du panyanyi embal a tannang

Lagu terakhir yang dikaji ialah lagu “Aku Anak Miskin” oleh Habibul. Lagu yang memaparkan kod sematik, iaitu percintaan antara dua darjat (umpama langit dan bumi), iaitu antara anak orang miskin dengan orang kaya. Malah kedaifan diri tidak menghalang ketulusan cintanya kepada kekasih hati. Malah kenangan indah bersama kekasih hati itu sentiasa mekar dan mengganggu kehidupan hariannya. Justeru, penyanyi meminta kepastian kekasihnya itu jika masih mencintai dirinya.
Langit maka tanah embal a nantang
Kaa anak dayahan aku anak miskin
Pinandang maka hansul ni enda’ maka asek
Pakaian larak-larak pinag pakai

Halam alai halta pangang ganti’
Hal du lasaku maka a maka janji
Dayang entomun satoggolku alum lagi
Sapahanku ni tuhan hal du ka’a atai ku potek

Sagarin bang ta entomku
Waktu bang ka gapusku pagsiumku baihuknu
Pag sapu ku buun nu
pikilan embal anattap bang ka ta sibahat
pagkakan embal ahap hal du ka’a mareom liyag

sagarin bang taentomku
waktu bang ka siumku
pagsiumku baihuknu
pagsapuku buun nu
pikilan embal anattap bang ka ta sibahat
pagkakan embal ahap hal du ka’a mareom liyag

dayang subai aku hakaan nu
bang masih gik kalasahan nu
dayang hakainna itu aku
bohok ka ta onanku dayang lasanu
bohok ka ta onanku dayang lasaku…

Dalam lagu ini, penyanyi menggunakan kod simbol “Tuhan” sebagai tanda kepatuhan dan kesetiaan terhadap kekasih, sebagai satu ikatan janji. Malah kod budaya yang mementingkan darjat turut diperlihatkan dalam lagu ini. Walau bagaimanapun, berdasarkan kod semantik yang digunakan terutama dalam pemaparan kasih dan cintanya yang begitu mudah, terutama dalam pemilihan diksi bersesuaian dengan pendapat Rene Wellek (Arbaie, 2006: 157) yang menyatakan penggunaan bahasa denotatif adalah bahasa yang menuju kepada koresponden satu lawan satu antara tanda (kata itu) dengan (hal) yang dituju memudahkan pemahaman masyarakat Bajau dari segi semantiknya.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan terhadap lagu Bajau yang dikaji, didapati bahawa terdapatnya penerapan kod bahasa untuk mengungkapkan pemikiran penyanyi. Malah dalam penerapan kod bahasa tersebut, didapati wujudnya saling pertautan antara kod-kod bahasa yang akhirnya menjelmakan pemikiran penyair yang mempunyai tujuan dan fungsi sebagaimana yang diperteguhkan oleh Arbaie Sujud (2006: 165) dan ditegaskan oleh Raymond Chapman (1973) bahawa penerapan kod bahasa itu bukanlah suatu pengolahan spontan yang sewenang-wenangnya tetapi mempunyai tujuan dan fungsi tertentu.

Rujukan

A. Wahab Ali. Imej Manusia dalam Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.

Abdul Nasir Paisal. BBK 5401 Pendokumentasian Naskhah Melayu: Nyanyian Rakyat Bahasa Bajau. Unit Pendokumentasian Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, 2005

Arba’ie Sujud. Teknik Pengungkapan Sajak. Shah Alam Selangor: Maya Press, 2006.

Arbak Othman. Semiotik dalam Penelitian Puisi. Seri Kembangan: Citra Kurnia Enterprise.

Asmah Haji Omar. Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.

Friday, January 8, 2010

KEMANJADIAN PEMIMPIN

Sepuluh tahun yang lalu (1999), ketika saya menjadi Presiden Perwakilan Mahasiswa Sabah, UPM, saya masih ingat intipati perbualan saya dengan Y.B. Dr. Yusuf Yakub, Ahli Parlimen Sipitang (mantan) tentang pemimpin dan kepimpinan ketika kunjungan saya ke bangunan Bank Rakyat, Kuala Lumpur atas urusan persatuan.

Dalam pertemuan tersebut, saya agak tertarik dengan pandangan beliau tentang kemanjadian seseorang itu menjadi pemimpin di sesebuah tempat. Persoalan ini saya tulis setelah mendapati banyak dalam kalangan rakan-rakan (baanan ranakan) yang berjaya dalam akademik mahupun karier sudah mula berjinak-jinak untuk menceburkan diri dalam dunia politik di daerah Semporna dengan harapan suatu masa nanti merekalah yang akan mewarisi kepimpinan di peringkat daerah.

Sekadar perkongsian, dan sekali-kali tidak meremehkan hasrat rakan-rakan untuk menjadi pemimpin hatta menjadi Y.B. sekalipun tetapi intipati bual bicara antara kami berdua yang menyentuh kemanjadian pemimpin agak relevan dengan hasrat rakan-rakan untuk menjadi pemimpin suatu masa nanti. Oleh itu, saya tergerak mendokumentasikan bual bicara tersebut sebagai perkongsian pengalaman.

Dengan mengambil contoh kemanjadian beliau sama ada menjadi Y.B. pada masa itu, hatta ketika beliau sebagai pemimpin sewaktu berada di universiti adalah atas dukungan, dorongan dan sokongan orang-orang di sekelilingnya. Pada beliau, masyarakat akan melihat kewibawaan, kepemimpinan, di samping kebolehan untuk menjalankan amanah memimpin itu menjadi faktor masyarakat mengangkat malah menaikkan nama pemimpin berkenaan supaya berada di tampuk kekuasaan.

Hal ini agak berbeda dengan rakan beliau yang beria-ia sangat untuk menjadi pemimpin, sama ada semasa berada di universiti lagi malah sehingga di kampung halamannya sendiri tidak kesampaian walaupun mempunyai taraf pendidikan yang agak baik atas sebab tidak mendapat perkenan orang-orang di sekelilingnya. Dengan mengambil analogi demikian, Y.B. begitu optimis bahawa kemanjadian pemimpin adalah sesungguhnya dipengaruhi oleh personaliti, pengaruh, restu, dan seru ahli masyarakat yang diwakilinya.

Wallahu alam.

Friday, January 1, 2010

SEMBANG-SEMBANG DI KEDAI KOPI

Meriahnya kedai-kedai kopi di Semporna (dalam istilah sekarang disebut sebagai restoran} membawa konotasi yang pelbagai kepada tanggapan umum. Kedai-kedai kopi dikunjungi oleh bapak-bapak (istilah yang saya gunakan merujuk kepada panggilan "baanan kamattohaan") untuk bersembang tentang pelbagai isu; khususnya politik tanah air, keadaan kampung, kemaslahatan ummah, ilmu, dan lain-lain perkara.

Antara tanggapan tersebut tentulah dikaitkan dengan kemajuan sesuatu tempat setelah melalui proses urbanisasi. Selain daripada tafsiran tersebut, sembang-sembang di kedai kopi menunjukkan kelangsungan masyarakat dalam budaya baru yang disebut sebagai "Lepak" secara santai untuk membicarakan sesuatu isu, setelah dikupas, diulang bicara, dipertegas idea dan diperdebat hujah untuk memperoleh usul dalam kerangka pemikiran masing-masing sehinggakan penghakiman adalah dalam pentafsiran masing-masing.

Sesuatu yang amat luar biasa, keadaan kedai-kedai kopi di Semporna, sibuknya seperti meriahnya urus niaga restoran-restoran di bandaraya Kota Kinabalu yang amat membanggakan saya. Justeru, tidak hairanlah dalam dua tiga tahun kebelakangan ini, perniagaan restoran "tumbuh bak cendawan selepas hujan" di pekan kosmopolitan pelancong ini. Budaya mengunjungi kedai-kedai kopi di Semporna dianggap agak unik jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain, misalnya daerah Tenom yang saya kunjungi sekitar tahun-tahun 90-an. Sewaktu berkunjung ke pekan Antenom pada masa itu, saya melihat kedai-kedai kopinya agak lengang yang saya difahamkan masyarakatnya pergi ke kebun untuk bertanam cucuk.

FORMULA MEMBURU KEJAYAAN

Berdasarkan pengalaman, ada dua falsafah yang membantu saya dalam memburu kejayaan, pertamanya ialah kesungguhan, dan keduanya ialah cabaran.

Kesungguhan berkaitan dengan kegigihan, dan cabaran pula berhubung dengan permasalahan. Di samping keupayaan IQ dalam mendepani arus dan gelombang perjuangan, kedua-dua faktor ini saling berkoheran untuk menyumbang ke arah kejayaan.

Orang yang bijak sahaja tanpa ada kesungguhan tentulah akan tersadai di tengah jalan untuk mendambakan sesuatu yang diinginkan, tetapi orang yang ada kesungguhan dengan sedikit keupayaan minda (normal) pasti boleh dan berupaya memintas seribu gelombang dan cabaran di hadapan perjuangannya untuk memperoleh cita-cita. Banyak contoh dalam kalangan rakan yang bijak-bijak tetapi tidak komited untuk bersaing malah sepi dalam perjuangan sudah ketinggalan jauh di belakang, berbanding dengan rakan-rakan yang mempunyai pencapaian biasa sewaktu di bangku persekolahan tetapi menunjukkan kejayaan dalam karier berkat kesungguhan yang tidak berkesudahan.

Begitulah halnya apabila kita bijak memanipulasi cabaran untuk menggendong kejayaan dalam apa-apa jua matlamat perjuangan. Kejayaan hanya akan dicapai oleh seseorang setelah berjaya mengatasi segala cabaran dan permasalahan yang berada di hadapan mata kita. Saya masih teringat akan kata-kata Prof. Dato' Dr. Sheikh Omar Abd. Rahman, mantan Dekan di UPM suatu masa dulu yang menyatakan "Agak mustahil dalam sebuah kejayaan tanpa masalah", kerana bagi beliau kejayaan mengurus masalah itu sebenarnya adalah kunci kejayaan. Ini bermakna dalam sebuah kejayaan itu sebenarnya adalah daripada kronologi masalah atau cabaran yang telah berjaya ditempuh. Namun iltizam kita dalam perjuangan terus membara apabila menghayati iktibar dari falsafah "hanya orang tertentu dan diyakini boleh mengatasi ujian mahupun cabaran itu akan diuji" menjadi pendorong untuk terus maju.

Justeru, bagi pandangan setengah-setengah orang kebahagiaan diukur daripada sejauhmana kita dapat menempuh cabaran itu dan berjaya menghadapi onak ranjau perjalanan tersebut ke suatu destinasi yang sebenar. Fikir- fikirkanlah!

Wallahualam.