Saturday, January 16, 2010

KUALITI DALAM KEHIDUPAN

Seorang teman bercerita kepada saya dengan panjang lebar tentang bagaimana kita harus mengurus diri dengan bijaksana. Dalam pertemuan itu, saya mengambil pendekatan untuk menjadi pendengar yang aktif untuk mengaplikasi kemahiran mendengar yang selalu saya kuliahkan kepada pelajar-pelajar di institut tempat saya bekerja.Namun saya begitu optimistik terhadap tajuk perbualan kami yang membicarakan tentang kehidupan apatah lagi melibatkan pengurusan diri dalam konteks bagaimana seharusnya kita merancang dan mengurus kewangan dengan bijaksana, pengurusan keluarga, dan perancangan masa depan.


Di sebalik perbualan itu, oleh sebab saya lebih banyak mendengar; kemahiran berfikir saya menerawang sehingga falsafah sebenar dalam kehidupan dapat saya rumuskan berhubung dengan kualiti diri yang harus kita jelmakan dalam kehidupan, dengan sedikit melihat keadaan masyarakat sekeliling khususnya masyarakat daerah Semporna yang berlumba-lumba meningkatkan kualiti diri dari aspek perekonomian. Falsafahnya amat mudah, untuk apa kita bekerja kalau bukan untuk kebahagiaan, kesempurnaan, mahupun kesenangan diri sendiri.

Lantaran barangkalinya, seperti yang teman saya bicarakan akan keasyikannya mencari beras Nasional yang berharga RM18.00 untuk kegunaan keluarga sehingga sanggup mencari-cari shoping kompleks di merata tempat semata-mata mencari beras murah tersebut sebagai pelan berjimat. Saya tidak menyangkal pendapat tersebut kerana pendapatnya agak benar jika dianalisis dari sudut ilmu ekonomi, tetapi ilmu falsafah yang diajarkan oleh ilmuan agama, moral dan etika dalam kehidupan yang menekankan kualiti, sekira-kiranya agak bertentangan dengan pendapat teman saya itu.

Pandangan ini berkaitan dengan pelaburan yang kita jana untuk diri sendiri,seumpama kita melabur, jika benih yang kita tanam itu baik, sudah barang pasti buah yang tumbuh ialah buah-buah yang segar, molek, terhindar daripada penyakit, mempunyai khasiat dan zat yang tinggi.Berbanding dengan tanam-tanaman yang berpenyakit kerana benihnya yang tidak baik. Dari sudut ilmu falsafahnya, jika kita makan beras yang mempunyai kualiti yang baik, kualiti diri akan meningkat, untuk kelangsungan kebahagiaan dalam kehidupan.

Fikir-fikirkanlah!

bersambung...