Sunday, January 17, 2010

KUALITI DALAM KEHIDUPAN BAHAGIAN 2

Ini tidak bermakna memakan beras Nasional itu tidak baik, cuma dari segi falsafahnya memakan beras wangi atau beras berkualiti merupakan satu pelaburan ke arah jaminan kesihatan yang baik. Justeru terpulang kepada kemampuan masing-masing untuk memilih yang mana satu beras menjadi pilihan hati.

Seumpama kita berbicara dalam kalangan orang-orang Semporna yang suka rumah-rumah yang besar mahupun kereta besar. Dari segi realitinya, siapa yang tidak mahu memiliki rumah besar ataupun kereta besar, tetapi istilahnya "ukurlah baju di badan sendiri", iaitu berdasarkan kemampuan masing-masing. Jika kita mampu, untuk membeli sebuah kereta yang besar, dan memiliki banglo yang besar dan cantik apa salahnya dalam konteks meningkatkan kualiti diri dalam hidup. Dua perkara yang menjadi keutamaan dalam kalangan orang-orang Semporna ini perlu difikir secara bijaksana dan tidak diremehkan secara semberono oleh sesiapa.

Perubahan yang ketara dalam kehidupan orang-orang Semporna ialah memiliki rumah-rumah besar. Dari sudut keselesaan tentulah rumah yang besar memberikan kepuasan kepada pemiliknya. Malah reka bentuknya agak menarik dengan menampilkan reka bentuk moden walaupun ada ciri-ciri tradisional pada rumah berkenaan menaikkan taraf hidup pemiliknya.