Friday, January 1, 2010

SEMBANG-SEMBANG DI KEDAI KOPI

Meriahnya kedai-kedai kopi di Semporna (dalam istilah sekarang disebut sebagai restoran} membawa konotasi yang pelbagai kepada tanggapan umum. Kedai-kedai kopi dikunjungi oleh bapak-bapak (istilah yang saya gunakan merujuk kepada panggilan "baanan kamattohaan") untuk bersembang tentang pelbagai isu; khususnya politik tanah air, keadaan kampung, kemaslahatan ummah, ilmu, dan lain-lain perkara.

Antara tanggapan tersebut tentulah dikaitkan dengan kemajuan sesuatu tempat setelah melalui proses urbanisasi. Selain daripada tafsiran tersebut, sembang-sembang di kedai kopi menunjukkan kelangsungan masyarakat dalam budaya baru yang disebut sebagai "Lepak" secara santai untuk membicarakan sesuatu isu, setelah dikupas, diulang bicara, dipertegas idea dan diperdebat hujah untuk memperoleh usul dalam kerangka pemikiran masing-masing sehinggakan penghakiman adalah dalam pentafsiran masing-masing.

Sesuatu yang amat luar biasa, keadaan kedai-kedai kopi di Semporna, sibuknya seperti meriahnya urus niaga restoran-restoran di bandaraya Kota Kinabalu yang amat membanggakan saya. Justeru, tidak hairanlah dalam dua tiga tahun kebelakangan ini, perniagaan restoran "tumbuh bak cendawan selepas hujan" di pekan kosmopolitan pelancong ini. Budaya mengunjungi kedai-kedai kopi di Semporna dianggap agak unik jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain, misalnya daerah Tenom yang saya kunjungi sekitar tahun-tahun 90-an. Sewaktu berkunjung ke pekan Antenom pada masa itu, saya melihat kedai-kedai kopinya agak lengang yang saya difahamkan masyarakatnya pergi ke kebun untuk bertanam cucuk.