Thursday, December 31, 2009

SK BUGAYA DALAM KENANGAN

Setelah berkhidmat selama 18 tahun sebagai seorang pendidik, teringin pula rasanya nak menoleh ke belakang untuk menjenguk kembali kisah-kisah lama di daerah Semporna dalam perkhidmatan yang rasanya manis untuk dikenang apatah lagi apabila sehari dua ni bertemu dengan anak-anak didik yang sudah berjaya dan turut serta dalam bidang pendidikan menjadi seorang guru.

Sebagai seorang guru, tentulah hadiah yang paling istimewa dan berharga bagi kita ialah apabila melihat anak-anak didik yang pernah kita ajar itu berjaya dan membuahkan hasil sebagaimana yang kita pesan suatu masa dahulu. Begitulah juga kisahnya pada saya 18 tahun dulu, barangkalinya Cikgu Hjh Erommanis, Cikgu Harijah, Tn. Hj. Masaudah, dan lain-lainnya berasa bangga apabila melihat anak didik mereka berjaya, apabila saya melapor diri di SK. Bugaya pada tarikh 1 Disember 1991 sebagai guru sandaran terlatih setelah tamat latihan di Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang.

Saya masih ingat pada masa itu, pada usia 21 tahun menjadi seorang pendidik agak tercabar juga dengan saiz badan anak-anak didik yang hampir sebaya dengan saya seperti adik Abdul Mispal, dan adik Husir Salip Besar dan kini sudah bergelar guru di Semporna.