Syukur ke hadrat Ilahi kerana anda sedikit sebanyak telah menjelaskan siapa diri saya yang sebenarnya. Anda semua juga telah mengetahui sedikit sebanyak tentang sikap dan perlakuan makhluk di muka bumi ini. Anda juga telah mengenal siapa sebenarnya orang yang anda suka dan sebaliknya. Tentulah masing-masing antara kita punya pilihan mengikut citarasa masing-masing. Tidak menjadi kesalahan untuk tidak memilih mahupun menyatakan sokongan kerana itu hak peribadi. Kita tidak dipaksa untuk menerima cara ataupun pendekatan yang digunakan oleh seseorang.
Namun, hakikat pembelajaran adalah melalui pelbagai resam dan pendekatan orang-orang tertentu untuk mendewasakan kita. Pengalaman ini mahal untuk mematangkan diri dalam proses menyesuaikan dengan kehendak dan aspirasi mendatang. Justeru, tanpa disedari kita sudah melalui proses pembelajaran sebenar, iaitu mengenal keperluan diri kita. Tentulah cara dan pendekatan yang bersesuaian dengan jiwa akan diambil sebagai sosiobudaya untuk kita bertindak seterusnya.
Hakikatnya, apabila kita banyak mengesan kelemahan orang lain, sebenarnya kita berada dalam kepompong bermasalah untuk menerima satu budaya baru yang perlu kita kenal. Wajarnya kita jangan asyik menyalahkan budaya dan pendekatan orang lain hanya kerana kita tidak bersetuju dengan pendekatannya oleh sebab kita tidak mengetahui rasional pendekatan itu digunakan. Kemungkinan keinginan dan hasrat pendekatan yang berlegar-legar dalam kotak fikir kita itu juga tidak sesuai dengan setengah-setengah orang lantaran pemikirannya yang berbeda dengan kita.
Kita tidak berhak mengadili kelemahan dan kekuatan dari prespektif pandangan mata kasar. Budaya bertindak yang semacam meminta kita bekerja dengan keras itulah sebenarnya satu proses pembelajaran yang mahal untuk menggali dan meneroka ilmu. Untuk memperoleh lautan ilmu yang luas tentulah melalui pengorbanan dan payah-getir untuk memastikan diri kita perkasa dengan sebarang bentuk dugaan. Adalah tidak adil, kita dilatih menjadi seorang yang berguna, dijulang dengan nama-nama panggilan sarjana, tetapi cetek akan ilmu, kurang pengetahuan untuk berdiskusi dalam bidang yang diceburi.
Banyakkanlah bersyukur, hentikanlah prasangka dan momokan yang boleh memenjara diri untuk melangkaui batas sempadan menerima satu budaya baru. Apa sahaja budaya yang dihidangkan di depan mata kita ada baik buruknya. Fikir-fikirkanlah!