Wednesday, February 4, 2009

KRITIKAN TEKS

Novel-Novel Hamzah Hussin Suatu Aliran Realisme Sosialis


Pengenalan

Untuk mendekati novel-novel Hamzah Hussin suatu aliran Realisme Sosialis, penyelidik wajar membicarakan terlebih dahulu tentang aliran yang dipilih sebagai kerangka perbincangan. Aliran yang dipilih ialah Aliran Realisme Sosialis. Aliran Realisme Sosialis mengemukakan kenyataan yang dialami oleh masyarakat atau golongan menderita, iaitu buruh, petani dan nelayan. Tujuan penyuaraan atau penggambaran kenyataan ini untuk membangkitkan kesedaran menentang golongan kapitalis. Justeru, karya-karya yang membawa aliran realisme sosialis pada keseluruhannya cenderung berpihak kepada golongan yang menderita (Kamaruzzaman A. Kadir, 2001: 87)

Novel-novel Hamzah yang dikaji jelas menceritakan atau memaparkan kehidupan harian yang benar-benar berlaku, walau bagaimanapun fokus penceritaan yang diungkapkan oleh Hamzah bukan hanya kepada buruh, nelayan dan petani sahaja, tetapi golongan kelas bawahan yang bergantung harap kepada majikannya. Oleh itu, penyelidik mendapati bahawa penceritaan novel yang dihasilkan oleh Hamzah sebenarnya berdasarkan pengalaman hidup yang dialaminya sendiri atau dilaluinya, kemudian pengalaman tersebut cuba untuk dipaparkannya dalam bentuk karya untuk tatapan khalayak pembaca, hal ini seperti yang dinyatakannya::

…mengapa pengarang mengarang, dia mengarang bukan untuk manusia tetapi didesak oleh kecenderungan jiwanya
(Thani, 1981:104)

Justeru, penghasilan karya yang dilakukan oleh Hamzah, sama ada dalam bidang novel, cerpen mahupun puisi sesungguhnya memuatkan cerita berdasarkan pengalaman dan pemahamannya sendiri, di samping memuatkan penderitaan masyarakat. Jelasnya sesebuah karya yang dihasilkan oleh Hamzah itu adalah catatan pengalaman Hamzah pada zaman tersebut.

Perbincangan

Novel Rumah Itu Dunia Aku karya Hamzah Hussin mengisahkan anak gundik yang terpaksa mengharungi penderitaan lantaran latar belakang diri yang tidak menentu. Oleh sebab Lin merupakan anak gundik, layanan masyarakat terhadapnya adalah secara hina, murah dan tidak ada harga diri , dan hakikat itu adalah suatu perkara biasa dalam masyarakat hari ini; apatah lagi dirinya sebagai anak gundik. Justeru, apapun pendekatan yang digunakan oleh pengarang, misalnya bagaimana penyelesaian atau pengakhiran cerita yang dipilih, sama ada diakhiri secara baik ataupun sebaliknya adalah sesuatu yang biasa. Dalam novel Rumah Itu Dunia Aku, Hamzah telah menamatkan cerita secara tragik dengan meletakkan anak gundik, iaitu Lin mengakhiri kehidupannya dengan menderita setelah dicekik oleh Hasni yang tidak mempercayai kata-kata Lin, bahawa kekasihnya telah dirampas oleh Mahmud iaitu adiknya sendiri. Akibatnya, Lin sakit terlantar di hospital sebelum meninggal dunia.

Dalam novel ini, Hamzah membawa beberapa persoalan yang memperteguh novel sebagai sebuah novel kritik yang tajam terhadap persoalan moral dan akhlak masyarakat, yang akhirnya membinasa dan memporak-perandakan masyarakat itu sendiri. Misalnya, apabila watak Syed Ahmad berlaku curang terhadap isterinya Mak Pah mengeruhkan kehidupan rumah tangganya. Syed Ahmad yang mengadakan hubungan sulit dengan ibu Lin menyebabkan Lin dilahirkan sebagai anak luar nikah, dan perbuatan Syed Ahmad ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan merosakkan nilai masyarakat. Perbuatan tersebut amat bertentangan dengan nilai agama Islam. Malah Syed Ahmad sebagai seorang suami telah mengkhianati isterinya, dan perbuatannya itu telah mengakibatkan Lin lahir sebagai anak luar nikah yang hilang hak sebagai seorang anak yang sah dalam peraturan dan hukum agama.
Selain itu, novel Hamzah ini memperlihatkan sikap masyarakatnya yang tidak bermoral dan berakhlak, serta terpesong daripada ajaran agama Islam, Malah seolah-olah segelintir masyarakat dalam novel tersebut terpengaruh oleh budaya barat yang ganas dan mengamalkan pergaulan bebas. Misalnya perbuatan Mahmud yang merogol Lin merupakan perbuatan yang terkutuk dan bertentangan dengan ajaran agama Islam sendiri. Perbuatan tersebut tidak sahaja membawa kesan kepada emosi dan masa depan Lin, tetapi memperlihatkan runtuh dan rosaknya akhlak dan kemanusiaan masyarakat yang digambarkan oleh Mahmud. Perlakuan Mahmud yang menghabiskan harta keluarganya, membawa perempuan pelacur ke rumahnya, di samping tindakannya menjual rumah kediaman keluarganya memperlihatkan lemahnya pegangan agama, di samping goyahnya keimanan dirinya kepada Allah pencipta alam ini.

Oleh itu, penyelidik mendapati bahawa berdasarkan aliran Realisme Sosialis yang dipilih, novel Rumah Itu Dunia Aku ini jelas mengemukakan kenyataan yang dialami oleh masyarakat atau golongan menderita seperti Lin. Bagi penyelidik, tujuan pemaparan kisah ini adalah untuk membangkitkan kesedaran tentang perlunya menentang budaya yang dibawa oleh golongan kapitalis, seperti barat yang bergaul secara bebas. Malah pergaulan bebas tanpa adanya petunjuk daripada pendidikan keagamaan boleh membawa kehancuran kepada masyarakat.
Satu lagi novel yang dikaji oleh penyelidik berdasarkan kerangka aliran Realisme Sosialis ialah novel Pemburu Pulang ke Rumah hasil karya Hamzah Hussin. Novel Pemburu Pulang ke Rumah ini, seolah-olah meneruskan cerita Rumah Itu Dunia Aku. Hamzah cuba menceritakan kisah dalam kehidupan watak lain, terutama Hasni dan Sharifah Mahani sehingga boleh menyebabkan Hasni gila dan mencekik Lin dalam Rumah itu Dunia Aku. Dalam pembikinan novel Pemburu Pulang ke Rumah ini, penyelidik mendapati bahawa Hamzah masih mengaitkan novel tersebut dengan novel Rumah itu Dunia Aku, Hal ini disebabkan penggunaan nama watak yang sama, di samping plot yang berasaskan Rumah itu Dunia Aku masih digunakan, malah menonjolkan Pemburu Pulang ke Rumah sebagai cerita yang bersambung dari novel Rumah itu Dunia Aku. Hanya apabila pembaca mengetahui, memahami jalan cerita Rumah itu Dunia Aku, pembaca sudah tentu boleh memahami jalan cerita Pemburu Pulang ke Rumah Misalnya, kisah Mohsin yang berpisah dengan isterinya, Trimutri adalah untuk menuntut bela atas kematian Lin dan Hasni. Justeru, kebencian Mohsin terhadap Mahmud dan Syarifah Mahani dapat diterima sebagai kenyataan. Perbuatan Sharifah Mahani yang berlaku curang ketika menjadi kekasih Hasni, dan menggoda Mahmud, abang Hasni, di samping perbuatannya menjadi pelacur dengan alasan hendak mempermainkan lelaki yang telah mengecewakan cintanya, tidak dapat diterima oleh masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama. Cinta Sharifah Mahani ditolak oleh Mohsin apabila ibu bapa Sharifah Mahani menerima pinangan Hasni, namun ketidakjujuran Sharifah Mahani yang curang terhadap tunangnya Hasni, apabila menggoda abang Hasni, iaitu Mahmud adalah sesuatu perbuatan yang tidak bermoral dan berakhlak.

Oleh itu, penyelidik juga mendapati bahawa berdasarkan aliran Realisme Sosialis yang dipilih, novel Pemburu Pulang ke Rumah juga mengemukakan kenyataan yang dialami oleh masyarakat yang runtuh moral dan akhlaknya. Sudah tentu tujuan pemaparan kisah ini juga adalah untuk membangkitkan kesedaran tentang perlunya menentang budaya yang dibawa oleh golongan kapitalis, seperti barat yang bergaul secara bebas dan tidak menghiraukan persoalan agama. Justeru pendidikan keagamaan adalah perlu untuk kesejahteraan masyarakat.

Berbeza dengan novel Rumah Kosong, penyelidik mendapati bahawa novel ini berdiri dengan sendirinya, iaitu tidak memerlukan kesinambungan daripada novel Rumah itu Dunia Aku dan Pemburu Pulang ke Rumah. Novel Rumah Kosong memaparkan cerita tentang kehidupan Wan yang kesunyian di sebuah rumah besar selepas kematian ibu bapanya, berakhir dengan penyelesaian yang positif apabila menemui pasangan hidupnya. Walau bagaimanapun, kisah novel yang memperlihatkan pemikiran masyarakat yang mementingkan kelas, di samping dorongan nafsu boleh mengundang tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Misalnya Damin seorang tukang kebun yang berminat dengan majikannya, Wan seorang janda yang kesunyian, sanggup membunuh isterinya semata-mata inginkan Wan yang menjadi idaman hatinya. Walau bagaimanapun Wan menolak Damin seorang tukang kebun yang sudah mempunyai isteri.

Justeru, penyelidik juga mendapati novel Rumah Kosong ini memaparkan realiti masyarakat yang runtuh moral dan akhlaknya yang memerlukan kefahaman. Penyelidik beranggapan pemaparan kisah ini adalah untuk membangkitkan kesedaran tentang perlunya kefahaman tanggungjawab sesama insan, tanggungjawab kepada masyarakat, di samping pengetahuan tentang kelas manusia di sisi Allah. Oleh itu, bagi menjelaskan kefahaman tersebut, di samping pembudayaan akhlak yang sempurna, pendidikan keagamaan adalah perlu untuk kesejahteraan masyarakat.

Novel terakhir yang dikaji oleh penyelidik berdasarkan aliran Realisme Sosialis ialah Samseng oleh Hamzah Hussin. Novel ini mengisahkan kehidupan seorang samseng pada zaman penjajahan. Hamzah menampilkan watak Makmur yang berusaha untuk membuktikan kehandalannya sebagai samseng. Pergaduhannya dengan ibu, memberikannya peluang bergelumang dengan wanita arak. Malah Makmur sanggup berpaling tadah daripada teman apabila menjadi kempetai demi menjaga keselamatan dirinya. Hakikat Makmur yang sentiasa menjaga kebajikan dan keselamatan dirinya merupakan realiti sosial yang ada kebenarannya dalam kehidupan seorang samseng. Kekejaman yang dilakukannya juga dapat diterima sesuai dengan zaman penjajahan. Makmur juga menubuhkan geng baru selepas perang dengan menjadi ketua, akhirnya jalan hidup ini membawa maut pada dirinya.

Justeru, penyelidik menyimpulkan, novel Samseng oleh Hamzah Hussin ini juga mengemukakan kenyataan yang dialami oleh masyarakat yang rendah taraf pendidikannya. Tujuan pemaparan kisah ini adalah untuk membangkitkan kesedaran tentang kesan zaman penjajahan terhadap masyarakat, di samping perlunya taraf pendidikan dipertingkatkan sama ada pendidikan keilmuan dunia, mahupun pendidikan keagamaan untuk kesejahteraan masyarakat.

Rumusan

Kesimpulan daripada analisis terhadap empat buah novel Hamzah Hussin sebagai suatu aliran Realisme Sosialis amat jelas bahawa persoalan yang dibawa ialah pergolakan hidup manusia. Kisah riwayat hidup manusia yang digambarkan secara nyata dengan pemaparan aspek fizikal, mental, motif, sebab dan akibat, dorongan dan rangsangan. Semuanya memberi gambaran tentang realisme dan dimensi sosial masyarakat yang sesuai dengan aliran Realisme Sosial yang dibincangkan.

Pembinaan novel-novel Hamzah menggambarkan sikap dan falsafahnya terhadap gejala dalam kehidupan. Hamzah melihat manusia yang lemah dan sentiasa berserah kepada nafsu, emosi dan persekitaran. Beliau berpendapat bahawa mereka, baik wanita mahupun lelaki, tidak menggunakan pemikiran yang waras untuk bertindak dalam menghadapi krisis hidup. Mereka sentiasa memilih perbuatan yang tidak matang, seperti menikam, membunuh dan melacur dalam menghadapi krisis hidup, malah tidak langsung mengingati Allah yang Esa apabila berhadapan dengan konflik, Cuma Makmur dalam novel Samseng berkata:
Tidak disedarnya mulutnya mengeluarkan sepatah Bismillah, ganjil telinganya mendengar ayat nan murni itu…
Kini kuat mulutnya mengucap Bismillah…kuat dan kuat… akhirnya dia memekik ayat suci itu.

Hamzah menggambarkan kehidupan manusia yang tidak berpandukan agama Islam akan terjerumus ke dalam kehidupan yang tidak berfaedah. Tema yang diungkapkan dalam novel-novel yang dikaji, misalnya tentang kecurangan, moral dan akhlak, kasih yang tidak berbalas, dendam, tiada pegangan hidup, sistem kelas dalam masyarakat, dan penganiayaan merupakan persoalan yang dihadapi dalam kehidupan seharian yang nyata terutamanya wujud pada zaman penjajahan.
Lampiran 1Sinopsis Rumah Itu Dunia Aku

Novel ini mengisahkan kehidupan Lin seorang anak gundik. Dia tidak mengetahui latar belakang bangsanya mahupun ayahnya kerana tidak penah diterangkan oleh ibunya yang kini sudah meninggal dunia. Lin meneruskan kehidupan sebagai orang gaji di rumah hartawan, Syed Ahmad. Ketika ibunya masih hidup dan juga buat seketika selepas ibunya meninggal, Mak Pah, isteri Syed Ahmad melayannya seperti anaknya sendiri. Walaupun Mahmud pernah cuba memperkosa Lin, namun dia tidak pernah memberitahu Mak Pah. Lin pernah dijemput oleh Zainab untuk tinggal bersamanya dan suaminya, namun dia hanya sempat tinggal bersama mereka selama 15 hari sahaja. Zainab mula berasa cemburu apabila melihat pergaulan yang rapat dan mesra antara Yusuf, suaminya, dengan Lin. Lantas, dia memaksa Lin supaya pulang ke rumah Mak Pah yang seterusnya telah menuduhnya berlaku sumbang dengan suami Zainab. Layanan Mak Pah terhadap Lin juga berubah. Pada masa yang sama, Syed Ahmad jatuh sakit dan sebelum meninggal dunia beliau telah membuka rahsia bahawa beliau ialah ayah Lin walaupun telah ditegah oleh Mak Pah. Lin juga tidak diberikan bahagia harta pusaka yang ditinggalkan oleh Almarhum Syed Ahmad untuknya. Mohsin yang patah hati kerana cintanya tidak berbalas telah pergi ke Jawa untuk memulakan hidup baru. Sementara itu, Mahmud menghabiskan harta warisannya dengan pelacur. Rumah tangga Zainab pula mula pecah dengan berubahnya kelakuan Yusuf. Tidak lama kemudian, Zainab dan anak yang baru dilahirkan meninggal dunia. Yusuf pula dimasukkan ke hospital setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Mohsin mengirim berita dari Jawa mengatakan dia sudah berkahwin dengan Trimutri. Lin kecewa apabila mendapat tahu Hasni sebenarnya mencintai Sharifah Mahani dan bukan dirinya. Walau bagaimanapun perhubungan mereka sudah putus. Yusuf dihukum penjara lima tahun kerana cuai membawa kereta. Melihatkan keluarganya yang porak peranda Mak Pah jatuh sakit dan meninggal dunia. Sepeninggalan Mak Pah, Mahmud telah membelanjakan semua harta dan menjual rumah pusaka itu. Lin disuruh pindah dari rumah itu. Pada suatu malam, Mahmud mengaku telah merampas teman wanita Hasnim Sharifah Mahani. Setelah itu, dia merogol pula Lin. Apabila dia cuba memberitahu Hasni bahawa Hasni telah merampas tunangannya, Hasni naik marah dan mencekik Lin. Hasni telah membunuh dirinya. Lin dirawat di hospital selama lima hari dan sebelum dia meninggal dunia dia menceritakan riwayat hidupnya kepada doktor yang merawatnya. Doktor tersebut telah menceritakan kisah Lin kepada seorang wartawan yang telah menghasilkan novel ini.





Lampiran 2Sinopsis Pemburu Pulang ke Rumah

Novel ini membawa kisah kesedihan Mohsin apabila mendapat berita tentang kematian Lin akibat dibunuh oleh kekasihnya. Beliau mengaku Hasni sudah tidak mengenal belas kasihan kerana dipermainkan oleh Sharifah Mahani, lantas telah mencekik Lin. Mohsin cuba mencari Mahani dan Mahmud. Akibat tekanan daripada kenangan pahit ini, Mohsin tidak dapat menjalani hidup yang normal dengan isterinya. Didorong oleh perasaan dendam terhadap Mahmud dan Sharifah Mahani, Mohsin memohon untuk berpisah dari Trimutri. Mohsin diingatkan oleh Trimutri bahawa dendam ialah sikap yang bahaya. Walaupun beliau merelakan suaminya pergi meninggalkannya, tetapi dia tidak memberikan doa mahupun air matanya. Dia kesal dengan sikap suaminya. Mohsin ialah wartawan yang menghebohkan kisah pembunuhan Lin dan Hasni. Dalam imbas kembali, Mohsin mengingati persahabatannya dengan Hasni dan Sharifah Mahani. Dia dan Sharifah Mahani merupakan pasangan kekasih sehingga dengan tiba-tiba Hasni pula ditunangkan dengan Sharifah Mahani. Apabila Mohsin menerima hakikat bahawa perhubungan mereka harus ditamatkan, Sharifah Mahani merasa marah dan tertipu. Dalam kesedihan itu, Mohsin menulis sebuah cerita, “Berpisah Jalan” untuk ditujukan pada Sharifah Mahani. Dalam cerita itu, dinyatakan tentang suratan takdir, perbezaan kelas antara dirinya dengan Sharifah dan peranan ibu bapa dalam menemukan hidup anak-anak mereka. Cerita karangan Mohsin ini disiarkan dalam akhbar dan dibaca oleh Sharifah Mahani. Sebagai reaksi, Sharifah Mahani memberitahu Mohsin dalam sepucuk surat bahawa dia akan berjuang untuk meyakinkan ibu bapanya jikalau Mohsin sudi mengambilnya sebagai isteri, tetapi Mohsin sendiri yang tidak sudi berbuat demikian. Sebaliknya dia menyalahkan factor lain. Sharifah memohon agar mereka berpisah sebagai saudara kandung sahaja. Selepas perpisahan ini, Mahani mula rapat dengan Hasni. Mahani mengaku pada Mohsin bahawa dia kini berdendam pada lelaki dan cintanya pada Hasni sebenarnya tidak jujur. Mahani sekadar hanya mempermainkan Hasni. Dia telah memutuskan hubungan dengan Hasni sebaik sahaja mengenali Mahmud, abang Hasni. Kecurangan Mahani terhadap Hasni menyebabkan Hasni menerima cinta Lin. Sementara itu, perhubungannya dengan Mahmud menyebabkan Sharifah Mahani menjadi hamil dan Mahmud sendiri telah menghilangkan diri. Mohsin cuba mencari Mahmud yang telah menghabiskan harta peninggalan orang tuanya dan meninggalkan Sharifah Mahani. Trimutri, isteri Mohsin tidak dapat menerima perpisahan dengan suaminya lalu membunuh diri. Mohsin mendapat tahu bahawa Mahani kini menjalani hidup sebagai pelacur atas membalas dendam terhadap lelaki yang telah mempersia-siakannya. Mahmud juga telah mati, Mahani pula telah berkahwin dengan Salim seorang wartawan. Mahani merasa sedih kerana perbuatannya menganiaya Hasni yang telah membawa kematian Hasni dan Lin. Salim dan Mahani menyalahkan Mohsin sebagai tidak bertimbang rasa, mempunyai kelas dan kasta dan mereka terpaksa akur pada hukum manusia. Mahani dan Salim berpisah tetapi bertemu kembali. Salim mengaku telah membunuh Mahmud kerana cuba membunuh Mahani. Mohsin mati diserang penyakit jantung.
Sinopsis Rumah Kosong
Lampiran 3
Rumah Kosong mengisahkan kehidupan Wan (35tahun) bersama tukang kebunnya, Damin dan isterinya, Siti yang sedang mengandung lapan bulan. Damin dan Wan merupakan teman sepermainan pada waktu mereka kecil. Ibu bapa Wan telah mengahwinkan Damin dengan Siti. Wan sendiri pernah bertunang dengan Syed Hasan. Sejak ibu bapanya meninggal dunia, Wan hidup sendirian dengan bertemankan Damin dan Siti. Tidak ada saudara mara yang melawatinya. Kemudian dengan tidak disangka, Syed Dzulkifli seorang saudara daripada keluarganya memohon untuk tinggal di rumahnya sementara meneruskan pelajaran dalam ilmu seni lukis. Kehadiran Syed Dzulkifli menggembirakan Wan kerana dia berharap dapat teman untuk menghabiskan masa lapangnya. Namun, Dzulkifli sibuk mengerjakan sebuah lukisan pada setiap hari. Lukisan itu akan ditutupnya apabila Wan memasuki biliknya. Dzulkifli sempat melihat wajah Siti yang hodoh ketika dia mengerang dalam kesakitan untuk bersalin. Usahanya untuk membantu Siti tidak disenangi oleh Damin. Wan pula telah menyelongkar semua lukisan tersebut diisi dengan wajah wanita semata-mata. Sementara itu, Wan sempat menyelamatkan Siti yang sedang dalam kesakitan daripada dibunuh oleh suaminya dengan racun. Damin mengaku cuba membunuhnya untuk Wan. Wan mengaku tidak mencintai Damin. Dzulkifli pernah melihat Damin mencium isterinya yang sedang sakit dengan buas sehingga ia tidak dapat bernafas. Damin menyokong tindakannya dengan alasan bahawa cinta terletak pada perbuatan. Wan mengaku dirinya kesunyian dan tidak pasti sama ada kekosongan itu akan diisi oleh Dzulkifli atau dicerobohi oleh Damin. Siti, isteri Damin menyedari dirinya yang hodoh dan adalah menjadi kewajipannya untuk menunjukkan bakti kepada Damin. Pada kali kedua, Damin menyogok ubat yang dititiskan ke dalamnya beberapa titik racun. Siti berjaya dibunuhnya. Apabila polis menyiasat Wan, dia tidak menyatakan Damin yang meracuni Siti, walaupun dia pernah melihat Damin berbuat demikian pada satu masa dahulu. Sebaliknya dia menduga bahawa Siti mungkin telah membunuh diri kerana terlalu hodoh. Wan berdusta bahawa Siti pernah cuba membunuh diri beberapa kali. Dzulkifli menyedari bahawa Damin telah membunuh Siti untuk merebut kasih Wan yang jelita. Pada waktu malam, Damin telah melarikan diri daripada polis dan memasuki bilik Wan lalu mencium Wan. Jeritan Wan menimbulkan kemarahan Damin kerana perbuatannya membunuh isterinya Siti yang dilakukan semata-mata untuk Wan tidak mendapat balasan yang diharapkannya. Dzulkifli menyelamatkan Wan dan seterusnya dia berpeluang melafazkan cintanya pada Wan, lalu mengajak Wan balik bersamanya.





Lampiran 4Sinopsis Samseng

Novel Samseng ini merangkumi tiga jangka masa, iaitu sebelum perang, zaman Jepun dan sesudah perang. Samseng mengisahkan kehidupan Makmur, seorang samseng yang ketika itu berumur 19 tahun. Dia tidak menghiraukan ibunya yang miskin tetapi lebih berminat sebagai seorang samseng yang menunjukkan dirinya sebagai gangster. Di sekolah dia sentiasa memeras ugut budak-budak lain, dan setiap kali ditangkap dan dihukum dia akan membalas dendam. Kegagahannya menarik perhatian Bujang, ketua samseng Kampung Kapur dan mempelawanya memasuki kumpulannya. Ketekunan dalam menangani aktiviti berkumpulan ini telah menyebabkan dia dinaikkan pangkat menjadi orang nombor dua. Oleh sebab dia tidak mempunyai pekerjaan, dia meminta wang daripada ibunya. Apabila ibunya tidak memberikan wang, dia mencurinya sambil menepis dada ibunya. Dia mula bermalam dengan pelacur, berkenalan dengan minuman keras dan bergaul dengan perempuan joget.

Pada masa Jepun di Singapura, Makmur mula melakukan aktiviti rompakan dan membunuh. Dalam kejadian letupan bom, ibunya meninggal. Dia tinggal dengan Jorah. Sementara itu, bersama-sama kawan-kawannya, Makmur merempuh tempat simpanan senjata askar Jepun. Korah pula dalam usahanya untuk menjaga keselamatan dirinya, mula melayani askar Jepun. Makmur ditinggalkannya. Apabila Jepun menyiarkan akan menghukum sesiapa yang menyimpan senjata api, Makmur menanam semua senjatanya di dalam tanah. Makmur ditangkap oleh Jepun dan untuk menyelamatkan dirinya, dia sanggup menangkap kumpulan jahat yang lain. Oleh sebab dia ingin supaya orang lain menakuti dan menghormatinya, Makmur sanggup menangkap Bujang untuk Jepun. Dia telah diberikan hak untuk membawa senjata oleh Jepun. Bujang ditangkap dan dipukul sampai mati dan ramai teman Bujang dalam kumpulannya menghadapi nasib yang sama. Makmur menggunakan kuasanya sebagai kempetai untuk mendapatkan wang. Jorah pula menjadi perempuan simpanan ketua Jepun dan mengambil kesempatan ini untuk mengalahkan Makmur.

Apabila Jepun menyerah diri, Makmur berkesempatan untuk memperoleh banyak senjata api dan peluru. Dia menubuhkan kumpulan 208 dan mencari orang yang telah bekerjasama dengan Jepun. Jorah kembali menjadi perempuan simpanan Makmur. Pada waktu siang, dia bekerja sebagai pelacur. Oleh sebab pelacur sering diganggu oleh lelaki, Makmur mencadangkan agar mereka membayar wang keselamatan, tetapi Jorah tidak bersetuju. Pernah pada suatu masa, Jorah memukul Ahmad kerana tidak mahu menerangkan keanggotaannya. Selepas itu, Ahmad menjadi anggota kumpulan Din/20 untuk membalas dendam terhadap Makmur. Bersama Din, Ahmad dapat membalas dendam terhadap orang yang memukulnya.
Jorah pula menyeru kepada rakan sekerjanya agar jangan menurut rancangan Makmur membayar wang keselamatan. Bersama Din, Ahmad dapat membalas dendam terhadap orang yang memukulnya. Sementara itu, Jorah dan rakannya bersetuju untuk bekerjasama dengan kumpulan 17 bagi mendapatkan perlindungan kerana bayarannya tidak membebankan, tambahan pula kumpulan 17 lebih kuat. Walau bagaimanapun, dalam satu letupan yang dilakukan oleh kumpulan 208, Jorah dan ramai temannya meninggal dunia. Ini menimbulkan kemarahan Gulsingh, ketua kumpulan 17. Akhirnya Makmur dibunuh oleh geng 17. Semasa dia menemui mautnya terbayang wajah ibu, Jorah dan beberapa orang mangsanya.

BIBLIOGRAFI

A. M Thani. Esei Sastera Asas 50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
Hamzah. Pertumbohan Novel-Novel Melayu. Singapura: 1962.
Hamzah Hussien. “Sastera 1950 ( Jan-Feb-Mac)”. Hiburan. 1950: Bil. 151.
Hamzah Hussien. “Sastera 1950 ( Apr-Mei-Jun)”. Hiburan. 1950: Bil. 155.
Hamzah Hussien. “Membentuk Kesusasteraan Baru”. Hiburan. 1950: Bil. 176.
Hamzah Hussien. “Mempelajari Hamka”. Hiburan. 1951: Bil. 185.
Hamzah Hussien. “Pertimbangan Adil”. Hiburan. 1951: Bil. 194.
Hamzah Hussien. “Masyarakat dan Sasterawan”. Hiburan. 1951: Bil. 209.
Hamzah Hussien. “Melawat Paris dari Tempat Duduk”. Hiburan. 1954: Bil. 363.
Hamzah Hussien. “Dalam Memajukan Sastera”. Hiburan. 1950: Bil. 159.
Kamaruzzaman A. Kadir. Puisi Melayu. Serdang, Selangor: IDEAL UPM, 2001.
S. Othman Kelantan. Novel-Novel Hamzah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.
Sahlan Mohd. Saman. “Rumah itu Dunia Aku: Satu Tinjauan Struktural. Dlm Hamzah Hamdani (Penytg)”. Novel-novel Malaysia dalam Kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.