Hadirnya saya dalam satu majlis Kejohanan OlahragaTahunan (KOT) di sebuah sekolah pada hari ini (walaupun tanpa diundang) bukanlah semata-mata untuk mencari kesalahan majlis tersebut, tetapi sekadar memberi pendedahan kepada anak saya tentang suasana sebenar sukan di sekolah; yang saya beranggapan pendekatan demikian merupakan satu bentuk pendidikan secara tidak langsung kepada anak-anak tentang sesuatu untuk memperkembang sosiolisasi mereka.
Namun daripada pemerhatian saya, ada beberapa aspek yang perlu diberi perhatian dan penambahbaikan dalam penganjuran KOT yang nampak gah dan meriah apatah lagi yang dirasmikan oleh Yang Berhormat, dalam menerapkan unsur modenisasi dalam budaya orang kampung.
1. Persembahan KOT perlu melibatkan pelajar dan bukannya wakil PIBG.
2. Bentuk persembahan perlu bersesuaian dengan majlis; persembahan KOT sewajarnya berbentuk pergerakan psikomotor pelajar, seperti aerobek, aerodinamik dan seumpamanya.
3. Tarian Igal-igal oleh PIBG agak tidak relevan dengan majlis kerana persembahan bentuk ini untuk majlis-majlis rasmi yang lain atau majlis kesenian. Kita nak melatih pelajar dan bukannya PIBG.
4. Tumpuan harus diberi kepada acara kejohanan olahraga berbanding acara lintas hormat perbarisan kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian.
5. Aspek kawalan disiplin padang perlu dibaiki. Pelajar yang tidak terlibat dengan acara seharusnya tidak dibenarkan masuk padang.
6. Pegawai teknikal olahraga, seperti hakim balapan, dan refri padang perlu diberi penekanan yang serius, dan guru-guru yang terlatih perlu memainkan peranan yang penting.
7. Juruacara perlu berkeyakinan dan lancar mengendalikan majlis malah perlu berusaha untuk mengurangan kesalahan pengucapan seperti tersekat-sekat, atau tersasul dalam menyebut sesuatu.
8. Memastikan penerima hadiah terlebih dahulu berada di petak penerima hadiah sebelum memanggil VIP untuk menyampaikan hadiah.
9. Elakkan memanggil tetamu kehormat menyampaikan hadiah secara berulang-ulang, memadai untuk acara penting, utama, atau acara kemuncak seperti olahragawan, olahragawati atau kontinjen terbaik sahaja.
10. Memastikan atlet memakai kasut, dan mengetepikan andaian bahawa pelajar tidak biasa memakai kasut ketika berlari di balapan. Ambil sahaja kasut yang dibekalkan oleh kerajaan Negeri Sabah (kasut KOSAN) untuk keperluan atlet.
11. Memastikan atlet memakai t-shirt sukan yang seragam mengikut rumah sukan untuk mewujudkan budaya KOT, semangat rumah sukan dan kesungguhan jurulatih, malah bagi menyemai transformasi dalam diri pelajar dengan memancung budaya jumud yang agak kekampungan.
Mohon maaf dan renungkanlah!
13.09. 2009