Thursday, February 12, 2009

SEPUTIH KASIH

SEPUTIH KASIH
Oleh : Abdul Nasir Paisal

AIN merenung jauh dalam-dalam pada dirinya, setelah sekian lama menjejaki pulau bahagia itu, pulau yang meninggalkan seribu kenangan, pulau yang mencedok erti dalam memoir dirinya, pulau yang nyaman-tenang, damai-bahagia, syurga-duniawi hamparan damai rindunya. Pada pulau bahagia yang tenang itu, masih diingatinya kelopak rindu dan kuntuman kasih bahagia yang berputik suatu waktu dahulu.

“Boleh saya duduk”, kata dan bicara yang ringkas keluar dari mulut Ain secara jujur, bertanya kepada pemuda, sekira-kiranya setampan pemuda impian yang terbaca dalam Sirah Para Nabi. Namun, dirinya terasa amat lantaran kata-katanya yang tidak bersambut daripada pemuda itu.

Sambil membelek-belek buku di khazanah kebanggaan itu, fikirannya agak kacau. Tak keruan dengan membelek-belek beberapa helaian buku, Ain bingkas untuk mententeramkan dirinya yang sedikit kemalu-maluan. Beralih ke suatu sudut yang diingat-ingatnya menyemai bibit kasih dan meruntum rasa bahagia pada dirinya.

Bertemulah Ain dengan kekasih hatinya yang dicari-cari. Impian dan igauan selama ini, dengan pemuda seperti yang dibayangkan bertubuh sasa, tegap dan berkarisma. Malah potongan badan yang memenuhi citarasanya itu berilmu, berpendidikan, penyayang di samping bertanggungjawab. Namun dirinya tidak berdaya untuk memulakan apatah lagi dirinya hanya seorang perempuan yang entah sesuai, malah berada di awang-awangan waktu.

“Maaf ya bang, nak pinjam buku ni, boleh!” Ain memulakan bicaranya mencungkil-cungkil manalah tau dapat berhubung dengan jejaka tersebut.

“Oh ya dik, ni dia bukunya!” Dengan lembut dan mesra, malah senyuman pemuda yang dilemparkan benar-benar mencuri hati kecilnya.

“Baik buku ni dik, adik baca dan fahamilah buku ni. Abang boleh bantu kalau adik sudi dan tak faham” Diri Ain teruja dengan kata-kata itu, malah sejuk-dingin terasa terhadap tingkah pemuda yang menarik perhatiannya itu.

“Terima kasihlah ya bang!” Sepatah kata Ain, malu, tetapi kata yang amat bermakna dalam membina erti sebuah kasih. Ain beredar lalu, tetapi agak puas, berlalu pergi dengan sebuah harapan akan ada titik-temu antara mereka. Walau antara mereka ada batas-batas dan garis pemisah.

Di kampung Ain bercerita dengan rakannya Ana. Ana gadis molek, cantik dan peramah, lembut bahasanya. Ana yang khatam belajar agama tertib dalam mengatur tutur-katanya, sopan malah baik hati, kawan dan sahabat baik untuk dirinya. Sekampung, saudara dan temannya berkongsi masalah kerana Ana lah yang boleh menyimpan segala rahsia hatinya. Apatah lagi kisah dirinya, tidaklah baik untuk diribut-ributkan untuk dikongsi dengan orang lain. Agaknya Ain nak perkara itu “Biarlah Rahsia”.

“Dia tu membimbing kita ke jalan benar, ”. Ana berkongsi pendapatnya dengan Ain.

“Aku kan, rasa terpegun dan teruja dengannya”. Jelas Ain dengan jujur.

“Kira-kira kan aku ni nak lebih kenal lagi dengannya. Dia tu kan beri petunjuk, mendidik, dan mengajar yang hak dan benar!” Ain memperteguh pendapatnya kepada Ana yang diketahuinya rakan yang boleh berkongsi masalah itu.

“Ain belajarlah dulu, nak lebih tahu dan untuk kenalnya tu perlu banyak bertanya dengan orang lain, yang lebih tahu. Baguslah dah belajar di situ, berdampinglah dengannya”. Bisik Ana dengan ikhlas kepada Ain.

“Tapi aku ni, pemalulah. Bab nak tanya-tanya orang ni payahlah!” Jawab Ain kepada Ana yang sedia mendengar penjelasan daripada sahabat setianya itu.

“Tak boleh macam tu Ain, kalau nak tahu kena tanya, orang kata malu bertanya sesat jalan”.

“Dah solatkah Ain?” Pertanyaan Ummi yang menyentakkan lamunan dan mengganggu bisikan rindunya. Lidah Ain terasa kelu. Mata Ain tergenang basahan air mata, meleleh berarak meninggalkan tuan. Tak tertahan lagi gelojak api cintanya itu, rindu redam tak tertahankan.

“Tak lagi Ummi.” Sapa Ain tak bermaya. Mahu hendaknya dikhabarkan gelojak diri, tetapi malu masih menguasai diri.

“Kasihku untuknya tak terperikan lagi. Hanya dikau yang kupuja. Kaulah penerang kekaburan, kekalutan dan pandangan ini”, bisik Ain dalam pelukan kerinduan yang hangat mengintai ruang kekosongan hatinya itu.

Walaupun antara mereka dipisahkan oleh hayat waktu, barangkali tak termungkinkan bertemu, harapan masih ditunggu-tunggukannya lantaran kasihnya yang dah mula terpaut, malah emosi yang kian panas membara itu tak elok untuk dinyahkan, disumbat dan dikuburkan dalam diam-diam.

Inilah yang bertimpa pada dirinya. Sejak sepetang mendengar tazkirah Maulana Jalaludin itu di Masjid Ikhwaniah, semakin mahunya untuk menjejaki kekasih hati itu melebar luas hatta apa juga aral yang bakal melintang akan digagahi.
Teringat-ingat oleh Ain baris nasyid yang menjadi pilihan hatinya.

“Nabi Muhammad Rasul Pilihan Utusan Tuhan…”

Di kampung Ain membelek kembali nostalgia semalaman yang mengimbau dan mengusik kenangan rindunya lewat usia belasan tahun, usia yang sepertinya semalaman baru berlalu, bertatih untuk pergi dengan restu Ain yang menyimpan memoir dalam koceknya erat-erat.

Air mata bergenangan kembali membasahi permaidani mukanya; tanpa sedar genangan sejuk seikhlas Siti Aisyah berkunjung tanpa diundang, bingkas kembali di kotak fikirnya, walaukan kenangan itu sepuluh tahun telah ditinggalkan lewat pemergiannya menyambung pengajian di tanah seberang sehangat semalam.

Di Pulau bahagia, kampung halamannya itulah Ain mula mengenal erti rasa; kasih dan cintanya. Telah mula tahu apa ertinya nilai sayang dan rindu. Diri Ain mula berasakan erti cinta yang indah dan menjadi impian gadis kampungan sepertinya yang menunggu lamaran atau bisik-bisikan orang untuk disunting malah dituai buahnya.
Walaupun Ain bersyukur kembali ke pulau bahagia itu sejak sekian lama, namun nostalgia sepuluh tahun yang bersarang kembali dalam dirinya adalah umpama hempasan ombak di pantai tidak bersimpati untuk memanggil-mangil pepasir di pantai mendekatkan dirinya ke lautan, yang mula terhakis malah kian menjauh dari kocakan air dan deruan ombak.

Hati Ain tidak seperti dulu lagi, hati Ain sepertinya terpinggir. Hati Ain bukanlah keras kerana berada di seberang kononnya di kota metropolitan, dewasa oleh kematangan, matang oleh bicara guru mahupun para ilmuan dan cendekiawan. Hati Ain umpamanya tergores oleh mata pisau yang tajam, pedih dan memilukan. Kesakitannya amat mendalam, bisanya terasa, pedihnya bak sembilu yang menusuk-nusuk seterunya.

Seputih kasihnya dulu kini kelam. Kelamnya bukan kerana lunturnya keikhlasan atau kerana punahnya kesetiaan; bukan juga kerana bibit asmara pernah disemai, atau hubungan kasih yang tak termetrai, malah kata janji tak terlafazkan; yang ironinya kasihnya tak berkesempatan mengetuk pintu hati jejaka idaman hati.

Sesalannya tinggi menggunung, rendahlah lagi Gunung Kinabalu jika terbandingkan harapannya yang tinggi, sesalannya tidak berguna lagi lantaran pucuk yang dicita-citanya bukannya ulam lagi yang mendatang. Harapannya kini hancur berderai untuk menimang cahaya mata jejaka idaman hati.

Mula timbul penyesalan dalam dirinya. “Bodohkah aku ini, walau kan semua tahu akulah pemegang kepujian kelas satu di menara gading!”. Suara-suara yang kedengaran di balik garis-garis penyesalan diri Ain.

“Mengapa harus aku rumuskan perjalanan kasih dan cintaku dengan kegagalan?” Desingan keluhan yang bertapak di jiwa Ain. “Apakah tiada jalan penyudah atas kegagalanku ini? Monolog yang berulang kembali bermain-main di mindanya.

Manakan mungkin Ain dapat menerima takdir seumpama itu, takdir yang terpampang di depan matanya; dimengertikannya sebagai permainan dan lukisan dunia dan seperti bukan rencana alam walaupun hakikatnya demikian lantaran lembut tuturnya Ana yang menjadi teman bicara, kawan berseloka, teman sepermainan meruntuhkan impiannya, mengambil seputih kasihnya dari jejaka impiannya sewaktu dahulu. Ana mengabadikan cintanya di sebalik kebahagian yang ingin dikecapinya. Sahlah dirinya umpama yang pipih melayang yang dikendung berciciran tak berkesudahan mengharapkan sesuatu yang tak pasti.


Apakah ada ketulusan di sebalik kesediaan Ana berkongsi kasih dengannya? Wajarkah dirinya berkongsi kasih hanya menunaikan mimpi indah suatu waktu dahulu? Bijaknya Ain terperangkap oleh emosi yang mengusik-usik kalbunya.

05.02.2009
1155pm