Monday, February 9, 2009

BUDAYA ORANG KITA

Saya tertarik untuk membicarakan budaya bekerja orang kita; dalam perbincangan ini saya khususkan kepada guru-guru di daerah Semporna, lantaran kesedaran wujudnya perbedaan yang amat ketara dalam aspek menyumbang tenaga, pengupayaan dan kesediaan minda untuk memikirkan jatuh bangunnya anak-anak bangsa; dalam konteks perbincangan ini saya analogikan dengan budaya saudara kita di tanah besar Semenanjung berdasarkan sekelumit pengalaman ketika mengajar di sana, untuk barangkalinya mencari titik-temu ke arah peningkatan cara bekerja bagi merealisasikan hasrat meningkatkan pencapaian pendidikan di daerah Semporna.

Dengan jujurnya saya mengakui bahawa guru-guru kita juga mempunyai pengetahuan, pengalaman, malah kebolehan untuk mengajar dengan baik kepada anak-anak yang dididik jika kebolehan itu dimanfaatkan sepenuhnya. Saya fikir orang kita tidak kurang hebatnya dari aspek kognitif mahupun mentalnya dalam merencanakan, merancang, atau memikir cara; jika merujuk istilah moden saya fikir yang tepatnya ialah arkiteknya; berdasarkan kemampuan orang kita memperoleh sijil, diploma, bachelor mahupun masternya ketika belajar di maktab perguruan (istilah sekarang Institut perguruan), ataupun universiti.

Namun, jika diamat-amati semacam pengetahuan itu tidak selari dengan hasil atau produk yang dijana oleh orang kita. Kesedaran ini saya rujuk kepada prestasi keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM, mahupun STPMnya yang jauh ketinggalan berbanding dengan pencapaian saudara kita di tanah Seberang. Oleh sebab itu saya fikir semacam ada lompangnya di mana-mana sehingga menyebabkan kita jauh ketinggalan, malah dalam dunia persaingan ini kita kian tersisih dan terpinggir dalam arus perdana.

Salah satu aspek yang saya sedari ialah semangat kekitaan atau istilah “sense of belonging” untuk memajukan anak-anak didik itu. Apabila kita terasa atau terdetik dalam jiwa bahawa anak-anak yang kita didik itu adalah sepertinya anak kita; yang lahir dari dalam perut kita, atau istilah yang tepatnya ialah darah daging sendiri, sudah tentu semangat untuk mendidik itu kita tumpahkan seratus-peratus bagi memastikan anak kita itu; kalau dapat dijulang namanya; atau barangkali terpampang di kaca televisyen sebagai kebanggaan keluarga. Semangat kebersamaan ini seperti ada pada saudara kita di tanah seberang hatta berlainan bangsa sekalipun. Justeru, pengorbanan untuk membangun anak-anak didik itu bukanlah menjadi tanggungjawab formal di bilik-bilik darjah tetapi lahir dari hati nurani yang suci. Jika semangat ini dapat kita pupuk dalam jiwa guru-guru kita di daerah Semporna saya percaya istilah “palitungan” dalam bahasa Bajau itu dapat dielakkan.

Sejak akhir-akhir ini kedengaran berita begitu meluas malah menjadi pembicaraan yang dijaja merata tempat bahawa guru-guru di daerah Semporna tidak mengajar dengan baik; walaupun hanya segelintir dan tidak semuanya (maafkan saya; info yang saya peroleh dari rakan-rakan guru di Semporna) malah terlibat dengan politik, perniagaan, dan bermacam-macam lagi aktiviti yang dapat membawa pulangan yang cepat; istilahnya skim cepat kaya sehingga menjejaskan tugas hakiki. Persoalan ini semacam bertiup dengan kencang dan agaknya sudah lama tetapi yang peliknya isu ini begitu digemari menjadi bual bicara jika pun ada kesedaran untuk membetulkannya budaya yang sudah berakar itu semacam sukar untuk dibuang malah dibendung lantaran itu saudara kita yang datang dari seberang pun akan turutlah mengembik atau menguak. Jika keadaannya demikian, kita sukar membetulkan saudara kita itu kerana kita umpama ketam yang hendak mengajar anaknya berjalan dengan betul.

Saya percaya bahawa agama anutan kita Islam begitu tegas dalam soal amanah dan tanggungjawab sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada yang berhak menerimanya.” (An-Nisa: 58)
Ayat ini begitu jelas membicarakan soal tanggung jawab dan amanah yang perlu dilaksanakan oleh setiap muslim. Apabila ditanya kepada orang kita tentang amanah itu, saya percaya rata-rata daripada mereka yang bangga dengan gelaran educated ini mengakui faham akan konsep tersebut. Namun soal kefahaman ini, saya fikir letaknya bukanlah pada lidah, tetapi kefahaman tersebut perlulah diperlihatkan melalui pelaksanaannya. Indikatornya ialah pencapaian pengajaran. Apakah orang kita perlu ditunjukkan kaedah mengajar sepertinya kita belajar mengaji al-quran suatu waktu dahulu membatang huruf satu persatu. Jika demikian, indikatornya menunjukkan bahawa orang kita masih cetek ilmu. Oleh sebab itu saya fikir bijaknya orang kita perlu disandarkan bukanlah lagi pada amanah, tetapi soal ketauhidan yang kira-kiranya masih rapuh; penghayatan ketauhidan dan keimanan insaniah yang perlu dimantapkan supaya soal amanah dan budaya kerja dapat ditingkatkan demi masa depan anak-anak bangsa yang tercinta.
Wallahu alam.
09.02.2009