Wednesday, February 4, 2009

KRITIKAN TEKS

CERPEN PENDEDAHAN OLEH ZAID AKHTAR
DILIHAT DARI SUDUT STRUKTURALISME

Pendahuluan
Kajian teks sesuatu karya sastera dengan menggunakan pendekatan strukturalisme bermakna melihat struktur, iaitu kaitan-kaitan atau hubungan-hubungan tetap antara kelompok-kelompok gejala atau unsur hasil penelitian dan pengamatan pengarang sebagaimana yang diperkatakan oleh Hashim Awang dalam “Strukturalisme dalam Ilmu Sastera dan Aplikasinya.”(Nik Safiah Karim, 1985: 194)
Justeru, menurut Hashim Awang, pendekatan yang timbul merupakan satu pergerakan intelektual, khususnya di Barat (Perancis) yang dikenali sebagai aliran strukturalisme, iaitu satu kaedah yang bertujuan membenarkan para pengkaji melakukan penelitian yang lebih mendalam. Justeru, enam gagasan dalam teori dikemukakan iaitu:
1. Gagasan keseluruhan (wholeness)
2. Gagasan regulasi diri (self-regulation)
3. Gagasan transformasi (transformation)
4. Gagasan kaitan (relationships)
5. Gagasan sinkronik (snapshot method)
6. Gagasan desentralisasi perkara (decentring the subject)
Analisis Kajian
i. Keseluruhan
Untuk menganalisis cerpen menggunakan pendekatan Strukturalisme ini, gagasan keseluruhan adalah antara prinsip yang akan digunakan. Dalam hal ini, Hashim Awang beranggapan bahawa strukturalisme menganggap sastera sebagai satu sistem atau struktur, iaitu keseluruhan yang memiliki konvensi dan tradisi sendiri, yang hanya dapat dijelaskan mengikut caranya yang tersendiri. Justeru analisis karya perlu melihat plot, watak, dan lambang, atau hal-hal yang luar biasa, metafora, metonimi, dongeng, mitos, perbandingan dan fungsi. (Nik Safiah Karim, 1985: 1999)
Dalam kajian ini, pengkaji akan menyorot plot cerpen Pendedahan untuk menggambarkan keseluruhan cerita, malah pengkaji mendapati cerpen Pendedahan mempunyai plot yang kronologi dan menggunakan teknik imbas kembali, justeru plotnya adalah seperti berikut:
i. Setelah berasa penat Tuah ingin berehat (tidur) tetapi tidak berjaya. Tuah hanya dapat memerhatikan diri isterinya yang tidur dengan nyenyak.
ii. Setelah penat berusaha melelapkan mata (tidur) Tuah duduk berlunjur kaki sambil bersandarkan bantal.
iii. Dalam termangu-mangu, nada dering telefon bimbit Tuah memecah kesunyian.Tuah bangkit perlahan dan mencapai telefon di atas meja solek isterinya.
iv. Tuah menerima panggilan daripada nombor yang agak asing sehingga menimbulkan perasaan tanda tanya pada diri Tuah.
v. Tuah menerima panggilan daripada seorang perempuan yang dikenalinya suatu masa dahulu.
vi. Perempuan yang menelefonnya ialah Teja kerana ingin membersihkan namanya daripada dikaitkan dengan Tuah.
vii. Tuah berdialog denga Teja untuk merungkai beberapa persoalan, iaitu menjawab segala tafsiran masyarakat terhadap Tuah dan Teja.
viii. Teja menjelaskan kedudukan sebenar dirinya, di samping kelemahan Tuah untuk makluman masyarakat.
ix. Tuah berhasrat membuat filem bagi mengaibkan Teja kerana berasa geram dengan tuduhan dan penjelasan Teja.

Dalam cerpen ini didapati watak yang terlibat ialah Tuah dan Teja sahaja. Isteri Tuah, Puteri Gunung Ledang bertindak sebagai watak sampingan. Pengarang juga menggunakan beberapa unsur perlambangan yang membawa makna dalam masyarakat. Antara lambang yang digunakan ialah:
a) Gelaran
Datuk atau Tan Sri yang digunakan oleh Tuah menunjukkan kebesaran dan pangkat dalam masyarakat.
b) Telefon bimbit
Telefon yang digunakan menunjukkan kemajuan, dan masa cerpen Pendedahan ditulis, iaitu pada tahun 2004
c) Media
Salah satu alat komunikasi yang digunakan pada masa ini, yang dapat menggambarkan kemajuan sesuatu bangsa dan negara.
d) Jampi
Ilmu guna-guna untuk mengubah pandangan seseorang, misalnya Teja yang telah tertarik dengan Tuah dengan bantuan jampi, malah dengan jampilah Teja dapat melupakan cintanya terhadap Tuah untuk beralih kepada sultan.
e) Patih Kerma Wijaya
Orang Majapahit yang suka memfitnah.
f) Feringgi
Menunjukkan penjajah yang datang ke Melaka
ii. Regulasi Diri
Hashim Awang memberi erti regulasi diri sebagai penyataan “arbitrary character of the sign” de Saussure, iaitu yang menjadi pendorong penting para strukturalis meneliti bukannya makna, tetapi kaedah (Nik Safiah Karim, 1985: 1999)
Cerpen Pendedahan lebih sesuai jika dikategorikan sebagai skrip drama; kerana cerpen ini diolah tidak seperti kelaziman penulisan cerpen sebaliknya cerita berjalan di atas dialog, antara Tan Sri Tuah dengan Teja perempuan yang dalam cerpen ini dikatakan diculik Tuah demi ketaatan dan ketaksuban kepada sultan. Sesuai dengan sifatnya seperti skrip drama, cerpen yang diistilah sebagai mapen (drama dan cerpen) begini, terlalu sedikit selingan penceritaan latar baik pada permulaan, pengakhiran mahupun penyambung antara satu dialog dengan dialog-dialog berikutnya. Oleh itu, Pendedahan merupakan sebuah mapen yang mudah difahami, tambahan lagi ditulis dengan cara amat sederhana.

iii. Transformasi
Prinsip ketiga, iaitu gagasan transformasi merupakan tingkah laku, amalan dan konvensi yang berubah menurut pandangan Hashim Awang. (Nik Safiah Karim, 1985: 201) Dalam cerpen yang dikaji, penulis menyelitkan beberapa sindiran sinis terhadap pemimpin yang dikatakannya sebagai bertopengkan Islam tetapi melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum Islam seperti meneguk arak dan menari ketika berada di luar negara. Kewujudan pemimpin yang banyak menghabiskan masa di padang golf berbanding menjenguk rakyat bawahan, turut disentuh.
Kegemaran kebanyakan pemimpin negara bercakap bahasa Inggeris biarpun sesuatu acara dihadiri sepenuhnya rakyat tempatan turut ditonjolkan, biarpun Tuah dikatakan boleh menguasai 20 bahasa dan pernah menobatkan Melayu tidak akan hilang di dunia namun malangnya Tuah dalam mapen Pendedahan ini diibaratkan menikam dan memperlekeh bahasa ibundanya sendiri.

iv. Kaitan
Prinsip yang kedua ini, merujuk kepada kaitan antara perkataan dengan bahasa, antara teks dengan genre, konvensi dengan keseluruhan sastera dan yang menolak pengertian dan penafsiran (Nik Safiah Karim, 1985: 200)
Berhubung dengan kaitan antara perkataan dengan bahasa, pengkaji mendapati pengarang telah mewujudkan kaitan yang berkesan antara perkataan dengan bahasa sehingga mewujudkan makna yang berkesan kepada pembaca, misalnya apabila pengarang cuba menggambarkan kesukaran untuk melelapkan mata seperti berikut:

Sudah jenuh dia menukar posisi - mengiring ke kanan, ke kiri, menelentang, meniarap - tetapi mata tidak juga mahu bertaup. Puas pandangannya menerawang ke setiap penjuru kamar beradunya, akhirnya dia duduk berlunjur kaki sambil bersandarkan bantal.

Sehubungan dengan kaitan teks dengan genre, pengkaji mendapati cerpen ini amat berguna, terutama apabila pengarang menggunakan ilmu bantu, iaitu ilmu sejarah dalam penghasilannya karyanya. Malah teknik yang digunakan amat berkesan, khususnya teknik penceritaan dialog, walaupun boleh dikatakan sebagai teknik skrip drama.
Dari aspek konvensi atau unsur dengan keseluruhan sastera, cerpen ini dapat dianggap berjaya mengasingkan dirinya dari konvensi sastera oleh sebab teknik dialog, malah unsur penafian berhubung fakta sejarah amat berbeza dengan cerpen-cerpen yang lain.
Justeru tema yang dibawa menolak pengertian dan penafsiran sebenar dokumen yang sedia ada, malah cuba mencari jawapan terhadap peribadi Tun Teja dan Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah yang dianggap berbeza dengan cerpen. Dalam hal ini pengarang cuba menerapkan kesucian kepada Tun Teja dan mengangkat Hang Jebat sebagai wira Melayu, dan bukannya Hang Tuah yang diagung-agungkan selama ini.
v. Analisis Sinkronik
Dalam analisis sinkronik, apa yang dipentingkan ialah kekinian, bukannya sejarah atau sesuatu yang sudah lepas (Nik Safiah Karim, 1985: 201). Sehubungan dengan itu, didapati dalam cerpen adanya unsur-unsur kekinian (semasa) bagi menggambarkan situasi dan masa berlakunya cereka. Misalnya, penggunaan telefon bimbit menggambarkan masa kini, iaitu masa cerpen itu ditulis oleh pengarang pada tahun 2004 .
Selain itu, pengarang telah mengulangi fakta sejarah menerusi beberapa penjelasan yang dilakukan oleh Teja, iaitu Tuahlah yang cuba menggoda, membawanya lari ke Melaka dan kemudiannya memberi sirih jampi pembenci supaya dirinya melupakan Tuah.
Malah dalam cerpen, Teja tidak berasa cemburu jika Tuah berasmaradana atau beristeri lima sekalipun, tetapi Teja menjelaskan bahawa dirinya mengikuti Tuah ke Melaka bukanlah dengan kerelaan hatinya kerana tidak sanggup mengkhianati tunang tercinta apalagi menconteng arang ke muka bapa sendiri. Malangnya Tuah yang berpakat dengan Dang Rakna, inang yang telah mengguna-gunanya sehingga dirinya tidak sedar dan akhirnya mengikuti Tuah.
Begitu juga penjelasan Teja tentang pegangan agama Tuah yang lemah apabila menceritakan hal Tuah di Majapahit, meneguk arak di hadapan majlis setelah dicabar pembesar di sana, Tuah menari-nari sambil memegang senjata, iaitu amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam. Tuah datang ke Pahang sebelum melarikan Teja dengan ghali ke Melaka semata-mata untuk memenangi semula hati sultan. Justeru Teja bertanya apakah hukumnya Tuah merampas tunangan orang lain.

vi. Desentralisasi Perkara
Salah satu prinsip yang digunakan dalam pendekatan strukturalisme ialah desentralisasi perkara, iaitu sifat yang paling radikal terhadap pengabaiannya bukan sahaja pada sejarah, tetapi juga pada pengarang dan pembaca. (Nik Safiah Karim, 1985: 201)
Perkara yang dapat dianggap radikal ialah pengabaian persepsi terhadap kebenaran Tuah sebagai wira Melayu pada zaman kesultanan Melaka, malah soal kesetiaan, soal kepatuhan dan taksub yang membabi buta dipersoalkan oleh pengarang. Malah Jebat yang sanggup mengorbankan dirinya demi menentang kezaliman wajar dianggap sebagai wira Melayu. Jebat yang terkorban kerana dituduh menderhaka walaupun membela Tuah tidak wajar dibunuh lantaran telah membantu Tuah, malah tuduhan bermukah dengan dayang istana adalah fitnah kerana Jebat sebenarnya telah menikahi Dang Baru secara diam-diam semasa Tuah dalam buangan.
Justeru menurut pengarang sifat taat setia Tuah tidak bertempat, malah Tuah dianggap sebagai seorang pemimpin yang gilakan kuasa dan nama, oleh sebab itu Tuah sanggup berbuat apa saja terhadap Jebat dan Teja, dan akibatnya mereka telah menjadi mangsa kegilaan Tuah.
Pengabaian fakta sejarah dapat dilihat apabila pengarang meminta Tuah membuat penafian dengan memanggil media dan mengatakan bahawa tidak ada bekas kekasih Tuah yang bernama Teja, malah memberitahu Tun Teja adalah mangsa keadaan, Teja tidak pernah tergila- gilakan Tuah, Teja tidak pernah curang terhadap Megat Panji Alam apalagi mabuk asmara tetapi telah dipukau dan dihadiahkan kepada Sultan Melaka. Tuah juga diminta menjelaskan bahawa Teja juga telah bersama Tun Fatimah berjuang menentang penjajah Feringgi.
Pengabaian dapat dilihat dalam cerpen, terutama terhadap bahasa Melayu yang digambarkan oleh Tuah apabila mengagung-agungkan bahasa asing. Misalnya, Tuah sekarang lebih banyak berbahasa asing berbanding bahasa Melayu. Dalam temu ramah dengan media tempatan pun Tuah sangat gemar dan bangga menggunakan bahasa penjajah. Bahasa Melayu yang menjadi identiti kebanggaan Kesultanan Melayu Melaka dahulu, iaitu yang menjadi lingua franca zaman itu, bahasa ilmu, bahasa perdagangan di Nusantara malah terkenal ke seluruh dunia telah mula diabaikan oleh Tuah.
Pengabaian terhadap rakyat dipaparkan oleh pengarang apabila dalam cerpen, wataknya Tan Sri Tuah lebih banyak menghabiskan masanya di padang golf, berbanding menjenguk rakyat bawahan hanya apabila ada pemilihan barulah nampak muka.
Justeru, sesuatu yang dianggap radikal apabila pengarang dalam cerpen Pendedahan tidak menganggap Tuah sebagai wira dan laksamana Melaka, kerana menurut kajiannya tidak terdapat bukti, khususnya dalam buku 1421: The Year China Discovered America tulisan Gavin Menzies yang dikajinya, tidak tercatat nama Tan Sri Tuah sebagai Laksamana Melaka. Malah pengarang mendakwa, Tan Sri Tuah sebagai penderhaka kerana menjalin hubungan sulit dengan Puteri Gunung Ledang yang sangat diingini sultan. Pengarang mendapati Tuah juga seorang pengecut dan pengkhianat kerana berpura-pura uzur tetapi sebenarnya lari dari peperangan menentang Feringgi. Oleh sebab mahu menjulang semula imej Tuah yang jatuh serta demi nama dan kedudukan, Tan Sri telah mereka Hikayat Hang Tuah.

Kesimpulan

Dalam cerpen Pendedahan oleh Zaid Akhtar didapati bahawa suatu urutan peristiwa manusia yang mengarah kepada satu-satu matlamat tertentu sebagaimana yang dikehendaki dalam analisis Strukturalisme. Peristiwa-peristiwa tersebut boleh dikategorikan kepada dua, iaitu pembaikan dan pemusnahan.
Tahap pembaikan merujuk kepada usaha membersihkan diri yang dilakukan oleh Tun Teja, iaitu pengarang telah cuba membetulkan fakta, misalnya Tun Teja terpaksa mengikuti Tuah disebabkan telah dijampi oleh Tuah, Tuahlah yang cuba menggoda, membawanya lari ke Melaka dan kemudiannya memberi sirih jampi pembenci supaya dirinya melupakan Tuah. Malah dalam cerpen, Teja tidak berasa cemburu jika Tuah berasmaradana atau beristeri lima sekalipun, tetapi Teja menjelaskan bahawa dirinya mengikuti Tuah ke Melaka bukanlah dengan kerelaan hatinya kerana tidak sanggup mengkhianati tunang tercinta apalagi menconteng arang ke muka bapa sendiri. Malangnya Tuah yang berpakat dengan Dang Rakna, inang yang telah mengguna-gunanya sehingga dirinya tidak sedar dan akhirnya mengikuti Tuah.
Sementara tahap pemusnahan dilakukan oleh pengarang apabila cuba menyatakan kelemahan-kelemahan Tuah, malah cuba mengangkat Jebat sebagai wira. Misalnya pengarang menceritakan pegangan agama Tuah yang lemah, soal kesetiaan, soal kepatuhan dan taksub yang membabi buta dipersoalkan oleh pengarang. Justeru menurut pengarang sifat taat setia Tuah tidak bertempat, malah Tuah dianggap sebagai seorang pemimpin yang gilakan kuasa dan nama, oleh sebab itu Tuah sanggup berbuat apa saja terhadap Jebat dan Teja, dan akibatnya mereka telah menjadi mangsa kegilaan Tuah. Salah satu yang dianggap pemusnahan kepada TuahJtidak menganggap Tuah sebagai wira dan laksamana Melaka, kerana menurut kajiannya tidak terdapat bukti, khususnya dalam buku 1421: The Year China Discovered America tulisan Gavin Menzies yang dikajinya, tidak tercatat nama Tan Sri Tuah sebagai Laksamana Melaka. Malah pengarang mendakwa, Tan Sri Tuah sebagai penderhaka kerana menjalin hubungan sulit dengan Puteri Gunung Ledang yang sangat diingini sultan. Pengarang mendapati Tuah juga seorang pengecut dan pengkhianat kerana berpura-pura uzur tetapi sebenarnya lari dari peperangan menentang Feringgi. Oleh sebab mahu menjulang semula imej Tuah yang jatuh serta demi nama dan kedudukan, Tan Sri telah mereka Hikayat Hang Tuah.
Rujukan


A. Teeuw. Sastera dan Ilmu Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995.

Nik Safiah Karim. Strukturalisme Satu Tinjauan Multidisiplin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.

Swingewood, Alain. “Theory”, dalam Laurenson & Swinghood, The Sociology of Literature. London: Paladin, 1972b: 169-275.

Umar Junus (Peny.). Teori Kesusasteraan Sezaman Raman Selden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.

Umar Junus. Sosiologi Sastera Persoalan dan Metode. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.

Zaid Akhtar.“Pendedahan”. Mingguan Malaysia, 13 Oktober 2004.