Thursday, February 19, 2009

BUDAYA ANGGUK ORANG KITA

Sejak akhir-akhir ini, orang kita begitu gemar menghantar anak-anak mereka ke SJKC ekoran tersebarnya berita bahawa budaya mengajar orang Cina amat baik sekali. Orang kita menyedari kelemahan diri dan mengakui kehebatan orang lain lantaran sikap rajin mereka dan sikap malas diri. Silapnya orang kita membiarkan prejudis itu bersarang dalam diri tanpa berusaha merobah sikap mencontohi orang Cina yang rajin. Orang kita sedar bahawa orang Cina rajin menyediakan bahan bantu mengajar. Orang kita juga sedar bahawa orang Cina rajin menyediakan dan memeriksa kerja rumah anak-anak didik mereka. Orang kita juga sedar bahawa buku kerja dan gambar-gambar dalam buku kerja yang ori dan bukannya fotostatnya dapat membantu anak-anak dalam pelajaran. Silapnya sekali lagi orang kita tidak mahu membuat transformasi diri dengan hanya melihat bulan turun ke riba. Kita berharap ada perobahan sikap orang kita yang cerdik-cerdik ini, kerana kata orang bijaksana “Orang berilmu yang menyedari kelemahan diri tanpa berusaha merobahnya adalah tidak berilmu.”

700pm
19022009

Saturday, February 14, 2009

UNSUR MODENISASI DALAM BUDAYA ORANG KAMPUNG

Peranan Guru dalam Menerapkan Unsur Modenisasi

Hadirnya saya dalam satu majlis Kejohanan OlahragaTahunan (KOT) di sebuah sekolah pada hari ini (walaupun tanpa diundang) bukanlah semata-mata untuk mencari kesalahan majlis tersebut, tetapi sekadar memberi pendedahan kepada anak saya tentang suasana sebenar sukan di sekolah; yang saya beranggapan pendekatan demikian merupakan satu bentuk pendidikan secara tidak langsung kepada anak-anak tentang sesuatu untuk memperkembang sosiolisasi mereka.

Namun daripada pemerhatian saya, ada beberapa aspek yang perlu diberi perhatian dan penambahbaikan dalam penganjuran KOT yang nampak gah dan meriah apatah lagi yang dirasmikan oleh Yang Berhormat, dalam menerapkan unsur modenisasi dalam budaya orang kampung.

1. Persembahan KOT perlu melibatkan pelajar dan bukannya wakil PIBG.

2. Bentuk persembahan perlu bersesuaian dengan majlis; persembahan KOT sewajarnya berbentuk pergerakan psikomotor pelajar, seperti aerobek, aerodinamik dan seumpamanya.

3. Tarian Igal-igal oleh PIBG agak tidak relevan dengan majlis kerana persembahan bentuk ini untuk majlis-majlis rasmi yang lain atau majlis kesenian. Kita nak melatih pelajar dan bukannya PIBG.

4. Tumpuan harus diberi kepada acara kejohanan olahraga berbanding acara lintas hormat perbarisan kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian.

5. Aspek kawalan disiplin padang perlu dibaiki. Pelajar yang tidak terlibat dengan acara seharusnya tidak dibenarkan masuk padang.

6. Pegawai teknikal olahraga, seperti hakim balapan, dan refri padang perlu diberi penekanan yang serius, dan guru-guru yang terlatih perlu memainkan peranan yang penting.

7. Juruacara perlu berkeyakinan dan lancar mengendalikan majlis malah perlu berusaha untuk mengurangan kesalahan pengucapan seperti tersekat-sekat, atau tersasul dalam menyebut sesuatu.

8. Memastikan penerima hadiah terlebih dahulu berada di petak penerima hadiah sebelum memanggil VIP untuk menyampaikan hadiah.

9. Elakkan memanggil tetamu kehormat menyampaikan hadiah secara berulang-ulang, memadai untuk acara penting, utama, atau acara kemuncak seperti olahragawan, olahragawati atau kontinjen terbaik sahaja.

10. Memastikan atlet memakai kasut, dan mengetepikan andaian bahawa pelajar tidak biasa memakai kasut ketika berlari di balapan. Ambil sahaja kasut yang dibekalkan oleh kerajaan Negeri Sabah (kasut KOSAN) untuk keperluan atlet.

11. Memastikan atlet memakai t-shirt sukan yang seragam mengikut rumah sukan untuk mewujudkan budaya KOT, semangat rumah sukan dan kesungguhan jurulatih, malah bagi menyemai transformasi dalam diri pelajar dengan memancung budaya jumud yang agak kekampungan.

Mohon maaf dan renungkanlah!

13.09. 2009

Thursday, February 12, 2009

SIPADAN

Tak terbayangkanlah lagi wajahmu Sipadan
Yang menjadi rebutan pemerintah alam
Tak ternilaikan lagi hargamu Sipadan
Yang menjadi pembicaraan tuan hakim

Di The Hague Belanda namamu dijulang
Dijaja diperdagang sekalian cendekiawan
Diulas-sebut dihujah-debat berulang-ulang
Untuk menemui makna kebenaran

Sipadan namamu dikunyah di bibir
Dihancur lumat masih tak lekang
Namamu Sipadan indah terukir
Lambang kejayaan tanah hulubalang

Sipadan arus kolekmu jernih membiru
Jernih hatimu bak sejernih hati para nabi
Ikan kolekmu tulus setulus mahaguru
Isi lautmu jujur sejujur pewaris nabi

Di dadamulah bicara kekuasaan
Di dadamulah petah kekayaan
Di muaramulah nikmat ciptaan
Di muaramulah erti kesyukuran

Sipadan kaulah lambang kebesaran
Sujud syukur untuk mengenal
Sipadan kaulah mutiara kedamaian
Segala kesempurnaan terpapar kekal.


29.01.2009
1204am

SEPUTIH KASIH

SEPUTIH KASIH
Oleh : Abdul Nasir Paisal

AIN merenung jauh dalam-dalam pada dirinya, setelah sekian lama menjejaki pulau bahagia itu, pulau yang meninggalkan seribu kenangan, pulau yang mencedok erti dalam memoir dirinya, pulau yang nyaman-tenang, damai-bahagia, syurga-duniawi hamparan damai rindunya. Pada pulau bahagia yang tenang itu, masih diingatinya kelopak rindu dan kuntuman kasih bahagia yang berputik suatu waktu dahulu.

“Boleh saya duduk”, kata dan bicara yang ringkas keluar dari mulut Ain secara jujur, bertanya kepada pemuda, sekira-kiranya setampan pemuda impian yang terbaca dalam Sirah Para Nabi. Namun, dirinya terasa amat lantaran kata-katanya yang tidak bersambut daripada pemuda itu.

Sambil membelek-belek buku di khazanah kebanggaan itu, fikirannya agak kacau. Tak keruan dengan membelek-belek beberapa helaian buku, Ain bingkas untuk mententeramkan dirinya yang sedikit kemalu-maluan. Beralih ke suatu sudut yang diingat-ingatnya menyemai bibit kasih dan meruntum rasa bahagia pada dirinya.

Bertemulah Ain dengan kekasih hatinya yang dicari-cari. Impian dan igauan selama ini, dengan pemuda seperti yang dibayangkan bertubuh sasa, tegap dan berkarisma. Malah potongan badan yang memenuhi citarasanya itu berilmu, berpendidikan, penyayang di samping bertanggungjawab. Namun dirinya tidak berdaya untuk memulakan apatah lagi dirinya hanya seorang perempuan yang entah sesuai, malah berada di awang-awangan waktu.

“Maaf ya bang, nak pinjam buku ni, boleh!” Ain memulakan bicaranya mencungkil-cungkil manalah tau dapat berhubung dengan jejaka tersebut.

“Oh ya dik, ni dia bukunya!” Dengan lembut dan mesra, malah senyuman pemuda yang dilemparkan benar-benar mencuri hati kecilnya.

“Baik buku ni dik, adik baca dan fahamilah buku ni. Abang boleh bantu kalau adik sudi dan tak faham” Diri Ain teruja dengan kata-kata itu, malah sejuk-dingin terasa terhadap tingkah pemuda yang menarik perhatiannya itu.

“Terima kasihlah ya bang!” Sepatah kata Ain, malu, tetapi kata yang amat bermakna dalam membina erti sebuah kasih. Ain beredar lalu, tetapi agak puas, berlalu pergi dengan sebuah harapan akan ada titik-temu antara mereka. Walau antara mereka ada batas-batas dan garis pemisah.

Di kampung Ain bercerita dengan rakannya Ana. Ana gadis molek, cantik dan peramah, lembut bahasanya. Ana yang khatam belajar agama tertib dalam mengatur tutur-katanya, sopan malah baik hati, kawan dan sahabat baik untuk dirinya. Sekampung, saudara dan temannya berkongsi masalah kerana Ana lah yang boleh menyimpan segala rahsia hatinya. Apatah lagi kisah dirinya, tidaklah baik untuk diribut-ributkan untuk dikongsi dengan orang lain. Agaknya Ain nak perkara itu “Biarlah Rahsia”.

“Dia tu membimbing kita ke jalan benar, ”. Ana berkongsi pendapatnya dengan Ain.

“Aku kan, rasa terpegun dan teruja dengannya”. Jelas Ain dengan jujur.

“Kira-kira kan aku ni nak lebih kenal lagi dengannya. Dia tu kan beri petunjuk, mendidik, dan mengajar yang hak dan benar!” Ain memperteguh pendapatnya kepada Ana yang diketahuinya rakan yang boleh berkongsi masalah itu.

“Ain belajarlah dulu, nak lebih tahu dan untuk kenalnya tu perlu banyak bertanya dengan orang lain, yang lebih tahu. Baguslah dah belajar di situ, berdampinglah dengannya”. Bisik Ana dengan ikhlas kepada Ain.

“Tapi aku ni, pemalulah. Bab nak tanya-tanya orang ni payahlah!” Jawab Ain kepada Ana yang sedia mendengar penjelasan daripada sahabat setianya itu.

“Tak boleh macam tu Ain, kalau nak tahu kena tanya, orang kata malu bertanya sesat jalan”.

“Dah solatkah Ain?” Pertanyaan Ummi yang menyentakkan lamunan dan mengganggu bisikan rindunya. Lidah Ain terasa kelu. Mata Ain tergenang basahan air mata, meleleh berarak meninggalkan tuan. Tak tertahan lagi gelojak api cintanya itu, rindu redam tak tertahankan.

“Tak lagi Ummi.” Sapa Ain tak bermaya. Mahu hendaknya dikhabarkan gelojak diri, tetapi malu masih menguasai diri.

“Kasihku untuknya tak terperikan lagi. Hanya dikau yang kupuja. Kaulah penerang kekaburan, kekalutan dan pandangan ini”, bisik Ain dalam pelukan kerinduan yang hangat mengintai ruang kekosongan hatinya itu.

Walaupun antara mereka dipisahkan oleh hayat waktu, barangkali tak termungkinkan bertemu, harapan masih ditunggu-tunggukannya lantaran kasihnya yang dah mula terpaut, malah emosi yang kian panas membara itu tak elok untuk dinyahkan, disumbat dan dikuburkan dalam diam-diam.

Inilah yang bertimpa pada dirinya. Sejak sepetang mendengar tazkirah Maulana Jalaludin itu di Masjid Ikhwaniah, semakin mahunya untuk menjejaki kekasih hati itu melebar luas hatta apa juga aral yang bakal melintang akan digagahi.
Teringat-ingat oleh Ain baris nasyid yang menjadi pilihan hatinya.

“Nabi Muhammad Rasul Pilihan Utusan Tuhan…”

Di kampung Ain membelek kembali nostalgia semalaman yang mengimbau dan mengusik kenangan rindunya lewat usia belasan tahun, usia yang sepertinya semalaman baru berlalu, bertatih untuk pergi dengan restu Ain yang menyimpan memoir dalam koceknya erat-erat.

Air mata bergenangan kembali membasahi permaidani mukanya; tanpa sedar genangan sejuk seikhlas Siti Aisyah berkunjung tanpa diundang, bingkas kembali di kotak fikirnya, walaukan kenangan itu sepuluh tahun telah ditinggalkan lewat pemergiannya menyambung pengajian di tanah seberang sehangat semalam.

Di Pulau bahagia, kampung halamannya itulah Ain mula mengenal erti rasa; kasih dan cintanya. Telah mula tahu apa ertinya nilai sayang dan rindu. Diri Ain mula berasakan erti cinta yang indah dan menjadi impian gadis kampungan sepertinya yang menunggu lamaran atau bisik-bisikan orang untuk disunting malah dituai buahnya.
Walaupun Ain bersyukur kembali ke pulau bahagia itu sejak sekian lama, namun nostalgia sepuluh tahun yang bersarang kembali dalam dirinya adalah umpama hempasan ombak di pantai tidak bersimpati untuk memanggil-mangil pepasir di pantai mendekatkan dirinya ke lautan, yang mula terhakis malah kian menjauh dari kocakan air dan deruan ombak.

Hati Ain tidak seperti dulu lagi, hati Ain sepertinya terpinggir. Hati Ain bukanlah keras kerana berada di seberang kononnya di kota metropolitan, dewasa oleh kematangan, matang oleh bicara guru mahupun para ilmuan dan cendekiawan. Hati Ain umpamanya tergores oleh mata pisau yang tajam, pedih dan memilukan. Kesakitannya amat mendalam, bisanya terasa, pedihnya bak sembilu yang menusuk-nusuk seterunya.

Seputih kasihnya dulu kini kelam. Kelamnya bukan kerana lunturnya keikhlasan atau kerana punahnya kesetiaan; bukan juga kerana bibit asmara pernah disemai, atau hubungan kasih yang tak termetrai, malah kata janji tak terlafazkan; yang ironinya kasihnya tak berkesempatan mengetuk pintu hati jejaka idaman hati.

Sesalannya tinggi menggunung, rendahlah lagi Gunung Kinabalu jika terbandingkan harapannya yang tinggi, sesalannya tidak berguna lagi lantaran pucuk yang dicita-citanya bukannya ulam lagi yang mendatang. Harapannya kini hancur berderai untuk menimang cahaya mata jejaka idaman hati.

Mula timbul penyesalan dalam dirinya. “Bodohkah aku ini, walau kan semua tahu akulah pemegang kepujian kelas satu di menara gading!”. Suara-suara yang kedengaran di balik garis-garis penyesalan diri Ain.

“Mengapa harus aku rumuskan perjalanan kasih dan cintaku dengan kegagalan?” Desingan keluhan yang bertapak di jiwa Ain. “Apakah tiada jalan penyudah atas kegagalanku ini? Monolog yang berulang kembali bermain-main di mindanya.

Manakan mungkin Ain dapat menerima takdir seumpama itu, takdir yang terpampang di depan matanya; dimengertikannya sebagai permainan dan lukisan dunia dan seperti bukan rencana alam walaupun hakikatnya demikian lantaran lembut tuturnya Ana yang menjadi teman bicara, kawan berseloka, teman sepermainan meruntuhkan impiannya, mengambil seputih kasihnya dari jejaka impiannya sewaktu dahulu. Ana mengabadikan cintanya di sebalik kebahagian yang ingin dikecapinya. Sahlah dirinya umpama yang pipih melayang yang dikendung berciciran tak berkesudahan mengharapkan sesuatu yang tak pasti.


Apakah ada ketulusan di sebalik kesediaan Ana berkongsi kasih dengannya? Wajarkah dirinya berkongsi kasih hanya menunaikan mimpi indah suatu waktu dahulu? Bijaknya Ain terperangkap oleh emosi yang mengusik-usik kalbunya.

05.02.2009
1155pm

Wednesday, February 11, 2009

Orang Kita

Orang kita ada kecenderungan untuk bercita-cita menjadi pemimpin.
Orang kita ada keinginan untuk menjadi kaya-raya.
Orang kita ada kemahuan menjadi orang besar.
Orang kita jua mengimpikan rumah-rumah besar dan cantik.
Orang kita pandai berkata-kata.
Orang kita tidak mengaku kalah.
Orang kita berani menyergah tak berpada-pada.
Orang kita berani mempersoal peraturan yang ada.
Orang kita suka berbangga-bangga.
Orang kita masih mencari-cari diri yang sebenarnya.

Monday, February 9, 2009

PENGURUSAN TINGKAH LAKU

TAJUK 1

Pengenalan dan konsep

1.1 Definisi dan konsep


Bermula dari tahun 1920-an, kajian-kajian berkaitan tingkah laku menunjukkan faktor-faktor luaran atau persekitaran yang berlaku sebelum atau selepas sesuatu peristiwa akan merangsang sesorang individu mempamerkan sesuatu tingkah laku yang khusus.

Pada umumnya hasil kajian saintifik pengurusan tingkah laku mencadangkan bahawa;

“ Kebanyakan tingkah laku adalah dipelajari. Ini bermakna tingkah laku baru atau alternatif boleh dipelajari pada bila-bila masa.”

“ Tingkah laku yang negatif seperti agresif, suka merosakkan harta benda boleh diubah kepada tingkah laku baru yang lebih positf jika individu itu diberi intervensi yang dirancang dengan teliti, iaitu sesuai dan sistematik.”

“Pengurusan tingkah laku adalah program tingkah laku yang berbentuk saintifik yang dibuat secara analisis untuk menghasilkan perubahan tingkah laku sosial yang positif bagi seorang individu”

(Bear, Wolf and Risley, 1968)

“Tingkah laku adalah berbagai ragam dan berbagai laku.”

(Kamus Dewan, 1979)


Manakala modifikasi atau pengubahsuaian pula adalah satu pendekatan berstruktur dan bersistematik bagi meningkatkan tingkah laku diingini, mengurangkan tingkah laku yang buruk, dan mengekalkan tingkah laku sasaran. Pendekatan ini banyak mengamalkan peneguhan bagi mencapai matlamat pengubahsuaian tingkah laku diingini.


Konsep asas pengurusan tingkah laku meliputi perkara-perkara berikut;

perancangan yang rapi
tentukan individu atau kumpulan
teknik intervensi yang berkesan
penilaian secara objektif


Beberapa perkara perlu diambil kira dengan teliti tentang murid khas sebelum program pengurusan tingkah laku dilaksanakan, iaitu;

setiap murid adalah unik
tiada satu cara yang berkesan dalam semua keadaan bagi semua murid
proses intervensi akan dihadkan kecuali ianya berkaitan dengan keperluan dan kehendak murid (aspek kognitif, afektif, dan psikomotor murid saling berkait).


Model tingkah laku

Model tingkah laku berteraskan kepada tiga elemen penting iaitu;

· rangsangan (stimulus)
· Tindak balas (response)
· Kesan/akibat (consequences)

Rangsangan adalah sebarang bentuk keadaan persekitaran atau benda/objek yang boleh menyebabkan tindak balas perlakuan berlaku. Tindak balas merupakan tingkah laku yang terhasil daripada kewujudan rangsangan tertentu. Kesan/akibat adalah kejadian (event) yang terjadi ke atas murid selepas tindakan balas berlaku.


Rangsangan Tindak balas Akibat
Murid A menampar kepala murid B tanpa sebab
Guru mengarah murid
“Pandang cikgu”
Murid B membaling buku kepada murid A

Murid memandang guru
Guru menegur murid tersebut

Guru memujinya
Guru memberi gula-gula sebagai ganjaran


Model lain yang seakan-akan sama seperti di atas adalah Model A-B-C

Antrecedent -------- Behaviour ---------- Consequences

A ----- peristiwa sebelum

B ----- Tingkah laku yang ditunjukkan (response)

C ----- Akibat/kesan




TAJUK 2

LANGKAH-LANGKAH MENGENAL PASTI TINGKAH LAKU


Untuk memulakan program pengurusan tingkah laku, guru perlu menjalankan beberapa langkah untuk mengenal pasti tingkah laku bermasalah. Antara langkah yang perlu dilakukan adalah;

Mengesan tingkah laku-tingkah laku bermasalah
Memerhati dan merekod
- hasil tugasan (out-come of a given task)
- time sample recording
- interval (sela)
- peristiwa semasa (event)
- self-recording (merekod tingkah laku sendiri)

Mengenal pasti tingkah laku yang perlu diubah suai (berdasarkan keutamaan)
Mengkaji punca tingkah laku yang telah dikenal pasti
Merancang program intervensi yang sesuai




TAJUK 3

LANGKAH-LANGKAH PEMBENTUKAN PROGRAM PENGURUSAN TINGKAH LAKU


Program pengurusan tingkah laku merupakan dokumen bertulis yang telah dirancang, dibina, dilaksana , dan direkod bagi meningkatkan atau mengurangkan satu-satu tingkah laku bermasalah atau luar biasa.

Langkah-langkah yang disarankan dalam program pengurusan tingkah laku ini boleh diubah suai bergantung kepada kesesuaian individu atau kumpulan murid tersebut.

Langkah-langkah pembentukan program pengurusan tingkah laku;

memilih tingkah laku yang perlu diubah berdasarkan keutamaan
membuat pemerhatian dan merekodkan tingkah laku tersebut
menentukan tingkah laku sasaran yang hendak dicapai (target behaviour)
mengenal pasti masa pelaksanaan bagi tiap peringkat
memilih strategi dan kaedah yang perlu diguna pakai
menentukan ganjaran dan dendaan (reinforcer and punishment)
menjalankan program
melakukan penilaian secara berterusan atau secara berkala (periodical evaluation)
tindakan/intervensi susulan (berhenti apabila tingkah laku sasaran dicapai)
memastikan supaya tingkah laku negatif tidak berulang dan tingkah laku yang telah dipulih (positif) dikekalkan atau ditingkatkan

Sebelum sesuatu tingkah laku dapat diurus, beberapa perkara perlu diambil perhatian terlebih dahulu,iaitu;

Apakah jenis tingkah laku yang dapat diperhati?
Tingkah laku yang mana satu harus diberi keutamaan?
Bila tingkah laku itu berlaku?
Kekerapan tingkah itu berlaku.
Apakah punca/sebab tingkah laku itu berlaku?
Bagaimana hendak mengurus tingkah laklu tersebut?



TAJUK 4

STRATEGI DAN PROSEDUR PENGURUSAN TINGKAH LAKU


4.1 Pelupusan dan peningkatan tingkah laku

Strategi pengurusan tingkah laku yang dipilih hendaklah sesuai dengan mengambil kira faktor-faktor murid tersebut seperti fizikal, emosi, mental, tahap keterukan, dan juga faktor pengaruh persekitaran, dan jangka masa pelaksanaan yang tertentu.

Strategi pengurusan tingkah laku melibatkan teknik-teknik berikut;

ganjaran (reinforcers)
Terdapat 3 jenis ganjaran iaitu;
i. ganjaran primer – makanan, minuman dll
ii. ganjaran social- senyuman, pujian dll
iii. ganjaran sekunder – token, kupon, mainan, bintang dll

dendaan (punishment)
- tahanan kelas (lambat balik) , dendaan fizikal, ambil balik token/hak

pengasingan (isolation)
- mengasingkan peneguh daripada tingkah laku yang dipilih
- asingkan murid daripada aktiviti yang disukainya

pembentukan (shaping)
- pemberian pengukuhan kepada perlakuan-perlakuan yang dilakukan oleh
murid yang menjurus kepada pementukan perlakuan yang dikehendaki.

prompting
- digunakan untuk mendapatkan rangsangan tertentu yang dipilih sebagai
tanda atau klu kepada murid untuk melaksanakan tingkah laku yang
dikehendaki secara lisan, gerak badan (gesture) dan fizikal.

fading (pelunturan)
- mengurangkan tingkah laku atau ganjaran secara perlahan-lahan

modeling
- menggunakan watak-watak (murid,guru ) yang disukai dan dihormati
untuk diteladani oleh murid

kejelakan (satiation)
- membiarkan murid melakukan tingkah laku itu hingga dia jemu
melakukannya dan berhenti sendiri
- “Over Correction” adalah satu teknik kejelakan.
desensitization
- tindakan-tindakan secara beransur-ansur untuk menghilangkan rasa
gugup atau takut yang berlebihan ( takut bercakap di depan kelas,
fobia)

bimbingan dan kaunseling
- pendekatan-pendekatan kaunseling untuk membimbjng murid
menghadapi atau menangani masalah tingkah laku

terapi muzik/seni
- menggunakan muzik atau seni untuk mententeramkan emosi, anxiety,
dan melepaskan perasaan yang tertekan

penamatan/pelupusan (extinction)
- memberhentikan atau menyekat murid murid daripada terus melakukan
tingkah laku negatif secara beransur-ansur dengan menggantikan
dengan tingkah laku baru yang positif

pengasingan (time-out, suspension)
- menempatkan murid berasingan daripada kumpulan (penjuru bilik, bilik
khas)
- mengeluarkan murid daripada aktiviti kumpulan

kontrak perjanjian (contigency contracting)
- persetujuan di antara dua pihak atau lebih (guru dan murid) secara
lisan atau bertulis. Murid dipertanggungjawabkan terhadap perkara
atau aktiviti yang dipilih. Kontrak akan berjaya jika murid faham akan
tingkah laku yang hendak diubah dan murid faham akan kesan yang
akan berlaku.


4.2 Isu, polisi, dan etika dalam pengurusan program pendidkan khas


Dalam melaksanakan program pengrusan tingkah laku, terdapat
banyak isu yang mungkin timbul. Di antara isu yang

Sulit (confidential)
Semua maklumat dan rekod murid dan ibu bapa adalah sulit

“Zero reject” (education for all)
Semua murid behak endapat pendidikan yang sesuai secara prcuma

Penilaian tanpa diskriminasi (non-discriminatory evaluation)
Setiap murid perlu mendapat penilaian yang sesuai dengan latar belakang budaya dan bahasa sebelum diditempatkan dalam program pendidikan khas
Rancangan Pendidikan Individu (Individualized Educational Plan)
Setiap murid yang berkeperluan khas perlu ada rancangan pendidikan secara individu yang mencatatkan pencapaiain semasa, matlamat, perkhidmatan khusus, prosedur, dan hasil (out-come)
Persekitaran yang kurang terhad (least restricted environment)
Seboleh-bolehnya murid perlu diberikan pendidikan dalam kelas yang paling tidak terhad
Due process
Satu set prosedur untuk memastikan keadilan dalam membuat keputusan yang berkaitan pendidikan murid dan tanggungjawab dipikul bersama –sama oleh pihak profesional (pakar) dan ibu bapa
Penglibatan dan persetujuan ibu bapa
Ibu bapa bukan hanya terlibat dalam perancangan tetapi terlibat juga dalam membina program dan berhak mendapat rekod berkaitan pendidikan anaknya.


4.3 Penglibatan ibu bapa dalam program pengurusan tingkah laku

Peranan ibu bapa
- Ibu bapa boleh terlibat dalam pengesanan, pengujian (assessment), membina program,
mengajar, dan penilaian (evaluation)( e.g. keberkesanan program)
- harapan ibu bapa dan juga harapan profesional

Bentuk penglibatan
- mengenal pasti dan merujuk
- diberitahu dan mendapat kebenaran daripada ibu bapa untuk membina program
- temu duga sejarah hidup murid
- pengujian secara formal
- memerhati dan membuat carta/rekod
- melibatkan murid dalam pengujian (asssessment)

Perjumpaan dan perbincangan dengan ibu bapa (conferencing)
- persediaan untuk perjumpaan
- cara komunikasi
- melapor keputusan
- membentuk matlamat (goals) program
- kelulusan untk penempatan

Due process
Dalam due proses hak dan tanggungjawab ibu bapa diperjelaskan

Memantau pelaksanaan program
Merupakan proses yang berterusan

Kerjasama ibu bapa
Kerjasama ibu bapa dengan profesional dapat menjamin kejayaan
program

Pendidikan ibu bapa
- Pendidikan kepada ibu bapa tentang pendidkan khas, keperluan
anak
- Latihan cara berkomunikasi, terapi , kaunseling, perundangan
- membina rangkaian (net working) – kelab sokongan ibu bapa

Guru mengarah murid
“Pandang cikgu”
Murid B membaling buku kepada murid A

Murid memandang guru
Guru menegur murid tersebut

Guru memujinya
Guru memberi gula-gula sebagai ganjaran


Model lain yang seakan-akan sama seperti di atas adalah Model A-B-C

Antrecedent -------- Behaviour ---------- Consequences

A ----- peristiwa sebelum

B ----- Tingkah laku yang ditunjukkan (response)

C ----- Akibat/kesan

BUDAYA ORANG KITA

Saya tertarik untuk membicarakan budaya bekerja orang kita; dalam perbincangan ini saya khususkan kepada guru-guru di daerah Semporna, lantaran kesedaran wujudnya perbedaan yang amat ketara dalam aspek menyumbang tenaga, pengupayaan dan kesediaan minda untuk memikirkan jatuh bangunnya anak-anak bangsa; dalam konteks perbincangan ini saya analogikan dengan budaya saudara kita di tanah besar Semenanjung berdasarkan sekelumit pengalaman ketika mengajar di sana, untuk barangkalinya mencari titik-temu ke arah peningkatan cara bekerja bagi merealisasikan hasrat meningkatkan pencapaian pendidikan di daerah Semporna.

Dengan jujurnya saya mengakui bahawa guru-guru kita juga mempunyai pengetahuan, pengalaman, malah kebolehan untuk mengajar dengan baik kepada anak-anak yang dididik jika kebolehan itu dimanfaatkan sepenuhnya. Saya fikir orang kita tidak kurang hebatnya dari aspek kognitif mahupun mentalnya dalam merencanakan, merancang, atau memikir cara; jika merujuk istilah moden saya fikir yang tepatnya ialah arkiteknya; berdasarkan kemampuan orang kita memperoleh sijil, diploma, bachelor mahupun masternya ketika belajar di maktab perguruan (istilah sekarang Institut perguruan), ataupun universiti.

Namun, jika diamat-amati semacam pengetahuan itu tidak selari dengan hasil atau produk yang dijana oleh orang kita. Kesedaran ini saya rujuk kepada prestasi keputusan peperiksaan UPSR, PMR, SPM, mahupun STPMnya yang jauh ketinggalan berbanding dengan pencapaian saudara kita di tanah Seberang. Oleh sebab itu saya fikir semacam ada lompangnya di mana-mana sehingga menyebabkan kita jauh ketinggalan, malah dalam dunia persaingan ini kita kian tersisih dan terpinggir dalam arus perdana.

Salah satu aspek yang saya sedari ialah semangat kekitaan atau istilah “sense of belonging” untuk memajukan anak-anak didik itu. Apabila kita terasa atau terdetik dalam jiwa bahawa anak-anak yang kita didik itu adalah sepertinya anak kita; yang lahir dari dalam perut kita, atau istilah yang tepatnya ialah darah daging sendiri, sudah tentu semangat untuk mendidik itu kita tumpahkan seratus-peratus bagi memastikan anak kita itu; kalau dapat dijulang namanya; atau barangkali terpampang di kaca televisyen sebagai kebanggaan keluarga. Semangat kebersamaan ini seperti ada pada saudara kita di tanah seberang hatta berlainan bangsa sekalipun. Justeru, pengorbanan untuk membangun anak-anak didik itu bukanlah menjadi tanggungjawab formal di bilik-bilik darjah tetapi lahir dari hati nurani yang suci. Jika semangat ini dapat kita pupuk dalam jiwa guru-guru kita di daerah Semporna saya percaya istilah “palitungan” dalam bahasa Bajau itu dapat dielakkan.

Sejak akhir-akhir ini kedengaran berita begitu meluas malah menjadi pembicaraan yang dijaja merata tempat bahawa guru-guru di daerah Semporna tidak mengajar dengan baik; walaupun hanya segelintir dan tidak semuanya (maafkan saya; info yang saya peroleh dari rakan-rakan guru di Semporna) malah terlibat dengan politik, perniagaan, dan bermacam-macam lagi aktiviti yang dapat membawa pulangan yang cepat; istilahnya skim cepat kaya sehingga menjejaskan tugas hakiki. Persoalan ini semacam bertiup dengan kencang dan agaknya sudah lama tetapi yang peliknya isu ini begitu digemari menjadi bual bicara jika pun ada kesedaran untuk membetulkannya budaya yang sudah berakar itu semacam sukar untuk dibuang malah dibendung lantaran itu saudara kita yang datang dari seberang pun akan turutlah mengembik atau menguak. Jika keadaannya demikian, kita sukar membetulkan saudara kita itu kerana kita umpama ketam yang hendak mengajar anaknya berjalan dengan betul.

Saya percaya bahawa agama anutan kita Islam begitu tegas dalam soal amanah dan tanggungjawab sebagaimana firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada yang berhak menerimanya.” (An-Nisa: 58)
Ayat ini begitu jelas membicarakan soal tanggung jawab dan amanah yang perlu dilaksanakan oleh setiap muslim. Apabila ditanya kepada orang kita tentang amanah itu, saya percaya rata-rata daripada mereka yang bangga dengan gelaran educated ini mengakui faham akan konsep tersebut. Namun soal kefahaman ini, saya fikir letaknya bukanlah pada lidah, tetapi kefahaman tersebut perlulah diperlihatkan melalui pelaksanaannya. Indikatornya ialah pencapaian pengajaran. Apakah orang kita perlu ditunjukkan kaedah mengajar sepertinya kita belajar mengaji al-quran suatu waktu dahulu membatang huruf satu persatu. Jika demikian, indikatornya menunjukkan bahawa orang kita masih cetek ilmu. Oleh sebab itu saya fikir bijaknya orang kita perlu disandarkan bukanlah lagi pada amanah, tetapi soal ketauhidan yang kira-kiranya masih rapuh; penghayatan ketauhidan dan keimanan insaniah yang perlu dimantapkan supaya soal amanah dan budaya kerja dapat ditingkatkan demi masa depan anak-anak bangsa yang tercinta.
Wallahu alam.
09.02.2009

Thursday, February 5, 2009

PENDIDIKAN DI DAERAH SEMPORNA

Menilai Kembali Sistem Pendidikan Kita

Tentulah kita berasa hairan setelah sekian lama kita bertungkus lumus mengorbankan tenaga dan waktu, daya fikir; hatta bekerja siang-malam tetapi hasil dan pulangannya masih tidak seberapa, malah kita hanya mampu meletakkan diri pada kedudukan yang terakhir, iaitu tergolong dalam kelompok yang agak parah di negeri Sabah. Yang kelihatan pada pencapaian itu adalah gambaran pada sistem yang diguna pakai oleh PPDS sehingga mengundang situasi serupa itu dan memberi mesej yang jelas agar perobahan dan penambahbaikan perlu disegerakan. Kewajarannya agar segala kecacatan dapat dibaiki dengan segera dan persoalan yang menghantui dan menjadi buah mulut masyarakat dapat diselesaikan.

Untuk menilai kembali sistem itu, saya fikir kita harus bertitik tolak dari pendidikan seawal mungkin yang diterima oleh anak-anak. Permulaan ini harus dimantapkan jika kita menginginkan pencapaian yang baik. Ibu bapa sebagai role model perlu menunjukkan sikap keibu-bapaan yang realistik dengan keperluan kini.

Wednesday, February 4, 2009

REFLEKSI

Syukur ke hadrat Ilahi kerana anda sedikit sebanyak telah menjelaskan siapa diri saya yang sebenarnya. Anda semua juga telah mengetahui sedikit sebanyak tentang sikap dan perlakuan makhluk di muka bumi ini. Anda juga telah mengenal siapa sebenarnya orang yang anda suka dan sebaliknya. Tentulah masing-masing antara kita punya pilihan mengikut citarasa masing-masing. Tidak menjadi kesalahan untuk tidak memilih mahupun menyatakan sokongan kerana itu hak peribadi. Kita tidak dipaksa untuk menerima cara ataupun pendekatan yang digunakan oleh seseorang.

Namun, hakikat pembelajaran adalah melalui pelbagai resam dan pendekatan orang-orang tertentu untuk mendewasakan kita. Pengalaman ini mahal untuk mematangkan diri dalam proses menyesuaikan dengan kehendak dan aspirasi mendatang. Justeru, tanpa disedari kita sudah melalui proses pembelajaran sebenar, iaitu mengenal keperluan diri kita. Tentulah cara dan pendekatan yang bersesuaian dengan jiwa akan diambil sebagai sosiobudaya untuk kita bertindak seterusnya.

Hakikatnya, apabila kita banyak mengesan kelemahan orang lain, sebenarnya kita berada dalam kepompong bermasalah untuk menerima satu budaya baru yang perlu kita kenal. Wajarnya kita jangan asyik menyalahkan budaya dan pendekatan orang lain hanya kerana kita tidak bersetuju dengan pendekatannya oleh sebab kita tidak mengetahui rasional pendekatan itu digunakan. Kemungkinan keinginan dan hasrat pendekatan yang berlegar-legar dalam kotak fikir kita itu juga tidak sesuai dengan setengah-setengah orang lantaran pemikirannya yang berbeda dengan kita.

Kita tidak berhak mengadili kelemahan dan kekuatan dari prespektif pandangan mata kasar. Budaya bertindak yang semacam meminta kita bekerja dengan keras itulah sebenarnya satu proses pembelajaran yang mahal untuk menggali dan meneroka ilmu. Untuk memperoleh lautan ilmu yang luas tentulah melalui pengorbanan dan payah-getir untuk memastikan diri kita perkasa dengan sebarang bentuk dugaan. Adalah tidak adil, kita dilatih menjadi seorang yang berguna, dijulang dengan nama-nama panggilan sarjana, tetapi cetek akan ilmu, kurang pengetahuan untuk berdiskusi dalam bidang yang diceburi.

Banyakkanlah bersyukur, hentikanlah prasangka dan momokan yang boleh memenjara diri untuk melangkaui batas sempadan menerima satu budaya baru. Apa sahaja budaya yang dihidangkan di depan mata kita ada baik buruknya. Fikir-fikirkanlah!

KRITIKAN TEKS

Novel-Novel Hamzah Hussin Suatu Aliran Realisme Sosialis


Pengenalan

Untuk mendekati novel-novel Hamzah Hussin suatu aliran Realisme Sosialis, penyelidik wajar membicarakan terlebih dahulu tentang aliran yang dipilih sebagai kerangka perbincangan. Aliran yang dipilih ialah Aliran Realisme Sosialis. Aliran Realisme Sosialis mengemukakan kenyataan yang dialami oleh masyarakat atau golongan menderita, iaitu buruh, petani dan nelayan. Tujuan penyuaraan atau penggambaran kenyataan ini untuk membangkitkan kesedaran menentang golongan kapitalis. Justeru, karya-karya yang membawa aliran realisme sosialis pada keseluruhannya cenderung berpihak kepada golongan yang menderita (Kamaruzzaman A. Kadir, 2001: 87)

Novel-novel Hamzah yang dikaji jelas menceritakan atau memaparkan kehidupan harian yang benar-benar berlaku, walau bagaimanapun fokus penceritaan yang diungkapkan oleh Hamzah bukan hanya kepada buruh, nelayan dan petani sahaja, tetapi golongan kelas bawahan yang bergantung harap kepada majikannya. Oleh itu, penyelidik mendapati bahawa penceritaan novel yang dihasilkan oleh Hamzah sebenarnya berdasarkan pengalaman hidup yang dialaminya sendiri atau dilaluinya, kemudian pengalaman tersebut cuba untuk dipaparkannya dalam bentuk karya untuk tatapan khalayak pembaca, hal ini seperti yang dinyatakannya::

…mengapa pengarang mengarang, dia mengarang bukan untuk manusia tetapi didesak oleh kecenderungan jiwanya
(Thani, 1981:104)

Justeru, penghasilan karya yang dilakukan oleh Hamzah, sama ada dalam bidang novel, cerpen mahupun puisi sesungguhnya memuatkan cerita berdasarkan pengalaman dan pemahamannya sendiri, di samping memuatkan penderitaan masyarakat. Jelasnya sesebuah karya yang dihasilkan oleh Hamzah itu adalah catatan pengalaman Hamzah pada zaman tersebut.

Perbincangan

Novel Rumah Itu Dunia Aku karya Hamzah Hussin mengisahkan anak gundik yang terpaksa mengharungi penderitaan lantaran latar belakang diri yang tidak menentu. Oleh sebab Lin merupakan anak gundik, layanan masyarakat terhadapnya adalah secara hina, murah dan tidak ada harga diri , dan hakikat itu adalah suatu perkara biasa dalam masyarakat hari ini; apatah lagi dirinya sebagai anak gundik. Justeru, apapun pendekatan yang digunakan oleh pengarang, misalnya bagaimana penyelesaian atau pengakhiran cerita yang dipilih, sama ada diakhiri secara baik ataupun sebaliknya adalah sesuatu yang biasa. Dalam novel Rumah Itu Dunia Aku, Hamzah telah menamatkan cerita secara tragik dengan meletakkan anak gundik, iaitu Lin mengakhiri kehidupannya dengan menderita setelah dicekik oleh Hasni yang tidak mempercayai kata-kata Lin, bahawa kekasihnya telah dirampas oleh Mahmud iaitu adiknya sendiri. Akibatnya, Lin sakit terlantar di hospital sebelum meninggal dunia.

Dalam novel ini, Hamzah membawa beberapa persoalan yang memperteguh novel sebagai sebuah novel kritik yang tajam terhadap persoalan moral dan akhlak masyarakat, yang akhirnya membinasa dan memporak-perandakan masyarakat itu sendiri. Misalnya, apabila watak Syed Ahmad berlaku curang terhadap isterinya Mak Pah mengeruhkan kehidupan rumah tangganya. Syed Ahmad yang mengadakan hubungan sulit dengan ibu Lin menyebabkan Lin dilahirkan sebagai anak luar nikah, dan perbuatan Syed Ahmad ini adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan merosakkan nilai masyarakat. Perbuatan tersebut amat bertentangan dengan nilai agama Islam. Malah Syed Ahmad sebagai seorang suami telah mengkhianati isterinya, dan perbuatannya itu telah mengakibatkan Lin lahir sebagai anak luar nikah yang hilang hak sebagai seorang anak yang sah dalam peraturan dan hukum agama.
Selain itu, novel Hamzah ini memperlihatkan sikap masyarakatnya yang tidak bermoral dan berakhlak, serta terpesong daripada ajaran agama Islam, Malah seolah-olah segelintir masyarakat dalam novel tersebut terpengaruh oleh budaya barat yang ganas dan mengamalkan pergaulan bebas. Misalnya perbuatan Mahmud yang merogol Lin merupakan perbuatan yang terkutuk dan bertentangan dengan ajaran agama Islam sendiri. Perbuatan tersebut tidak sahaja membawa kesan kepada emosi dan masa depan Lin, tetapi memperlihatkan runtuh dan rosaknya akhlak dan kemanusiaan masyarakat yang digambarkan oleh Mahmud. Perlakuan Mahmud yang menghabiskan harta keluarganya, membawa perempuan pelacur ke rumahnya, di samping tindakannya menjual rumah kediaman keluarganya memperlihatkan lemahnya pegangan agama, di samping goyahnya keimanan dirinya kepada Allah pencipta alam ini.

Oleh itu, penyelidik mendapati bahawa berdasarkan aliran Realisme Sosialis yang dipilih, novel Rumah Itu Dunia Aku ini jelas mengemukakan kenyataan yang dialami oleh masyarakat atau golongan menderita seperti Lin. Bagi penyelidik, tujuan pemaparan kisah ini adalah untuk membangkitkan kesedaran tentang perlunya menentang budaya yang dibawa oleh golongan kapitalis, seperti barat yang bergaul secara bebas. Malah pergaulan bebas tanpa adanya petunjuk daripada pendidikan keagamaan boleh membawa kehancuran kepada masyarakat.
Satu lagi novel yang dikaji oleh penyelidik berdasarkan kerangka aliran Realisme Sosialis ialah novel Pemburu Pulang ke Rumah hasil karya Hamzah Hussin. Novel Pemburu Pulang ke Rumah ini, seolah-olah meneruskan cerita Rumah Itu Dunia Aku. Hamzah cuba menceritakan kisah dalam kehidupan watak lain, terutama Hasni dan Sharifah Mahani sehingga boleh menyebabkan Hasni gila dan mencekik Lin dalam Rumah itu Dunia Aku. Dalam pembikinan novel Pemburu Pulang ke Rumah ini, penyelidik mendapati bahawa Hamzah masih mengaitkan novel tersebut dengan novel Rumah itu Dunia Aku, Hal ini disebabkan penggunaan nama watak yang sama, di samping plot yang berasaskan Rumah itu Dunia Aku masih digunakan, malah menonjolkan Pemburu Pulang ke Rumah sebagai cerita yang bersambung dari novel Rumah itu Dunia Aku. Hanya apabila pembaca mengetahui, memahami jalan cerita Rumah itu Dunia Aku, pembaca sudah tentu boleh memahami jalan cerita Pemburu Pulang ke Rumah Misalnya, kisah Mohsin yang berpisah dengan isterinya, Trimutri adalah untuk menuntut bela atas kematian Lin dan Hasni. Justeru, kebencian Mohsin terhadap Mahmud dan Syarifah Mahani dapat diterima sebagai kenyataan. Perbuatan Sharifah Mahani yang berlaku curang ketika menjadi kekasih Hasni, dan menggoda Mahmud, abang Hasni, di samping perbuatannya menjadi pelacur dengan alasan hendak mempermainkan lelaki yang telah mengecewakan cintanya, tidak dapat diterima oleh masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama. Cinta Sharifah Mahani ditolak oleh Mohsin apabila ibu bapa Sharifah Mahani menerima pinangan Hasni, namun ketidakjujuran Sharifah Mahani yang curang terhadap tunangnya Hasni, apabila menggoda abang Hasni, iaitu Mahmud adalah sesuatu perbuatan yang tidak bermoral dan berakhlak.

Oleh itu, penyelidik juga mendapati bahawa berdasarkan aliran Realisme Sosialis yang dipilih, novel Pemburu Pulang ke Rumah juga mengemukakan kenyataan yang dialami oleh masyarakat yang runtuh moral dan akhlaknya. Sudah tentu tujuan pemaparan kisah ini juga adalah untuk membangkitkan kesedaran tentang perlunya menentang budaya yang dibawa oleh golongan kapitalis, seperti barat yang bergaul secara bebas dan tidak menghiraukan persoalan agama. Justeru pendidikan keagamaan adalah perlu untuk kesejahteraan masyarakat.

Berbeza dengan novel Rumah Kosong, penyelidik mendapati bahawa novel ini berdiri dengan sendirinya, iaitu tidak memerlukan kesinambungan daripada novel Rumah itu Dunia Aku dan Pemburu Pulang ke Rumah. Novel Rumah Kosong memaparkan cerita tentang kehidupan Wan yang kesunyian di sebuah rumah besar selepas kematian ibu bapanya, berakhir dengan penyelesaian yang positif apabila menemui pasangan hidupnya. Walau bagaimanapun, kisah novel yang memperlihatkan pemikiran masyarakat yang mementingkan kelas, di samping dorongan nafsu boleh mengundang tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Misalnya Damin seorang tukang kebun yang berminat dengan majikannya, Wan seorang janda yang kesunyian, sanggup membunuh isterinya semata-mata inginkan Wan yang menjadi idaman hatinya. Walau bagaimanapun Wan menolak Damin seorang tukang kebun yang sudah mempunyai isteri.

Justeru, penyelidik juga mendapati novel Rumah Kosong ini memaparkan realiti masyarakat yang runtuh moral dan akhlaknya yang memerlukan kefahaman. Penyelidik beranggapan pemaparan kisah ini adalah untuk membangkitkan kesedaran tentang perlunya kefahaman tanggungjawab sesama insan, tanggungjawab kepada masyarakat, di samping pengetahuan tentang kelas manusia di sisi Allah. Oleh itu, bagi menjelaskan kefahaman tersebut, di samping pembudayaan akhlak yang sempurna, pendidikan keagamaan adalah perlu untuk kesejahteraan masyarakat.

Novel terakhir yang dikaji oleh penyelidik berdasarkan aliran Realisme Sosialis ialah Samseng oleh Hamzah Hussin. Novel ini mengisahkan kehidupan seorang samseng pada zaman penjajahan. Hamzah menampilkan watak Makmur yang berusaha untuk membuktikan kehandalannya sebagai samseng. Pergaduhannya dengan ibu, memberikannya peluang bergelumang dengan wanita arak. Malah Makmur sanggup berpaling tadah daripada teman apabila menjadi kempetai demi menjaga keselamatan dirinya. Hakikat Makmur yang sentiasa menjaga kebajikan dan keselamatan dirinya merupakan realiti sosial yang ada kebenarannya dalam kehidupan seorang samseng. Kekejaman yang dilakukannya juga dapat diterima sesuai dengan zaman penjajahan. Makmur juga menubuhkan geng baru selepas perang dengan menjadi ketua, akhirnya jalan hidup ini membawa maut pada dirinya.

Justeru, penyelidik menyimpulkan, novel Samseng oleh Hamzah Hussin ini juga mengemukakan kenyataan yang dialami oleh masyarakat yang rendah taraf pendidikannya. Tujuan pemaparan kisah ini adalah untuk membangkitkan kesedaran tentang kesan zaman penjajahan terhadap masyarakat, di samping perlunya taraf pendidikan dipertingkatkan sama ada pendidikan keilmuan dunia, mahupun pendidikan keagamaan untuk kesejahteraan masyarakat.

Rumusan

Kesimpulan daripada analisis terhadap empat buah novel Hamzah Hussin sebagai suatu aliran Realisme Sosialis amat jelas bahawa persoalan yang dibawa ialah pergolakan hidup manusia. Kisah riwayat hidup manusia yang digambarkan secara nyata dengan pemaparan aspek fizikal, mental, motif, sebab dan akibat, dorongan dan rangsangan. Semuanya memberi gambaran tentang realisme dan dimensi sosial masyarakat yang sesuai dengan aliran Realisme Sosial yang dibincangkan.

Pembinaan novel-novel Hamzah menggambarkan sikap dan falsafahnya terhadap gejala dalam kehidupan. Hamzah melihat manusia yang lemah dan sentiasa berserah kepada nafsu, emosi dan persekitaran. Beliau berpendapat bahawa mereka, baik wanita mahupun lelaki, tidak menggunakan pemikiran yang waras untuk bertindak dalam menghadapi krisis hidup. Mereka sentiasa memilih perbuatan yang tidak matang, seperti menikam, membunuh dan melacur dalam menghadapi krisis hidup, malah tidak langsung mengingati Allah yang Esa apabila berhadapan dengan konflik, Cuma Makmur dalam novel Samseng berkata:
Tidak disedarnya mulutnya mengeluarkan sepatah Bismillah, ganjil telinganya mendengar ayat nan murni itu…
Kini kuat mulutnya mengucap Bismillah…kuat dan kuat… akhirnya dia memekik ayat suci itu.

Hamzah menggambarkan kehidupan manusia yang tidak berpandukan agama Islam akan terjerumus ke dalam kehidupan yang tidak berfaedah. Tema yang diungkapkan dalam novel-novel yang dikaji, misalnya tentang kecurangan, moral dan akhlak, kasih yang tidak berbalas, dendam, tiada pegangan hidup, sistem kelas dalam masyarakat, dan penganiayaan merupakan persoalan yang dihadapi dalam kehidupan seharian yang nyata terutamanya wujud pada zaman penjajahan.
Lampiran 1Sinopsis Rumah Itu Dunia Aku

Novel ini mengisahkan kehidupan Lin seorang anak gundik. Dia tidak mengetahui latar belakang bangsanya mahupun ayahnya kerana tidak penah diterangkan oleh ibunya yang kini sudah meninggal dunia. Lin meneruskan kehidupan sebagai orang gaji di rumah hartawan, Syed Ahmad. Ketika ibunya masih hidup dan juga buat seketika selepas ibunya meninggal, Mak Pah, isteri Syed Ahmad melayannya seperti anaknya sendiri. Walaupun Mahmud pernah cuba memperkosa Lin, namun dia tidak pernah memberitahu Mak Pah. Lin pernah dijemput oleh Zainab untuk tinggal bersamanya dan suaminya, namun dia hanya sempat tinggal bersama mereka selama 15 hari sahaja. Zainab mula berasa cemburu apabila melihat pergaulan yang rapat dan mesra antara Yusuf, suaminya, dengan Lin. Lantas, dia memaksa Lin supaya pulang ke rumah Mak Pah yang seterusnya telah menuduhnya berlaku sumbang dengan suami Zainab. Layanan Mak Pah terhadap Lin juga berubah. Pada masa yang sama, Syed Ahmad jatuh sakit dan sebelum meninggal dunia beliau telah membuka rahsia bahawa beliau ialah ayah Lin walaupun telah ditegah oleh Mak Pah. Lin juga tidak diberikan bahagia harta pusaka yang ditinggalkan oleh Almarhum Syed Ahmad untuknya. Mohsin yang patah hati kerana cintanya tidak berbalas telah pergi ke Jawa untuk memulakan hidup baru. Sementara itu, Mahmud menghabiskan harta warisannya dengan pelacur. Rumah tangga Zainab pula mula pecah dengan berubahnya kelakuan Yusuf. Tidak lama kemudian, Zainab dan anak yang baru dilahirkan meninggal dunia. Yusuf pula dimasukkan ke hospital setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Mohsin mengirim berita dari Jawa mengatakan dia sudah berkahwin dengan Trimutri. Lin kecewa apabila mendapat tahu Hasni sebenarnya mencintai Sharifah Mahani dan bukan dirinya. Walau bagaimanapun perhubungan mereka sudah putus. Yusuf dihukum penjara lima tahun kerana cuai membawa kereta. Melihatkan keluarganya yang porak peranda Mak Pah jatuh sakit dan meninggal dunia. Sepeninggalan Mak Pah, Mahmud telah membelanjakan semua harta dan menjual rumah pusaka itu. Lin disuruh pindah dari rumah itu. Pada suatu malam, Mahmud mengaku telah merampas teman wanita Hasnim Sharifah Mahani. Setelah itu, dia merogol pula Lin. Apabila dia cuba memberitahu Hasni bahawa Hasni telah merampas tunangannya, Hasni naik marah dan mencekik Lin. Hasni telah membunuh dirinya. Lin dirawat di hospital selama lima hari dan sebelum dia meninggal dunia dia menceritakan riwayat hidupnya kepada doktor yang merawatnya. Doktor tersebut telah menceritakan kisah Lin kepada seorang wartawan yang telah menghasilkan novel ini.





Lampiran 2Sinopsis Pemburu Pulang ke Rumah

Novel ini membawa kisah kesedihan Mohsin apabila mendapat berita tentang kematian Lin akibat dibunuh oleh kekasihnya. Beliau mengaku Hasni sudah tidak mengenal belas kasihan kerana dipermainkan oleh Sharifah Mahani, lantas telah mencekik Lin. Mohsin cuba mencari Mahani dan Mahmud. Akibat tekanan daripada kenangan pahit ini, Mohsin tidak dapat menjalani hidup yang normal dengan isterinya. Didorong oleh perasaan dendam terhadap Mahmud dan Sharifah Mahani, Mohsin memohon untuk berpisah dari Trimutri. Mohsin diingatkan oleh Trimutri bahawa dendam ialah sikap yang bahaya. Walaupun beliau merelakan suaminya pergi meninggalkannya, tetapi dia tidak memberikan doa mahupun air matanya. Dia kesal dengan sikap suaminya. Mohsin ialah wartawan yang menghebohkan kisah pembunuhan Lin dan Hasni. Dalam imbas kembali, Mohsin mengingati persahabatannya dengan Hasni dan Sharifah Mahani. Dia dan Sharifah Mahani merupakan pasangan kekasih sehingga dengan tiba-tiba Hasni pula ditunangkan dengan Sharifah Mahani. Apabila Mohsin menerima hakikat bahawa perhubungan mereka harus ditamatkan, Sharifah Mahani merasa marah dan tertipu. Dalam kesedihan itu, Mohsin menulis sebuah cerita, “Berpisah Jalan” untuk ditujukan pada Sharifah Mahani. Dalam cerita itu, dinyatakan tentang suratan takdir, perbezaan kelas antara dirinya dengan Sharifah dan peranan ibu bapa dalam menemukan hidup anak-anak mereka. Cerita karangan Mohsin ini disiarkan dalam akhbar dan dibaca oleh Sharifah Mahani. Sebagai reaksi, Sharifah Mahani memberitahu Mohsin dalam sepucuk surat bahawa dia akan berjuang untuk meyakinkan ibu bapanya jikalau Mohsin sudi mengambilnya sebagai isteri, tetapi Mohsin sendiri yang tidak sudi berbuat demikian. Sebaliknya dia menyalahkan factor lain. Sharifah memohon agar mereka berpisah sebagai saudara kandung sahaja. Selepas perpisahan ini, Mahani mula rapat dengan Hasni. Mahani mengaku pada Mohsin bahawa dia kini berdendam pada lelaki dan cintanya pada Hasni sebenarnya tidak jujur. Mahani sekadar hanya mempermainkan Hasni. Dia telah memutuskan hubungan dengan Hasni sebaik sahaja mengenali Mahmud, abang Hasni. Kecurangan Mahani terhadap Hasni menyebabkan Hasni menerima cinta Lin. Sementara itu, perhubungannya dengan Mahmud menyebabkan Sharifah Mahani menjadi hamil dan Mahmud sendiri telah menghilangkan diri. Mohsin cuba mencari Mahmud yang telah menghabiskan harta peninggalan orang tuanya dan meninggalkan Sharifah Mahani. Trimutri, isteri Mohsin tidak dapat menerima perpisahan dengan suaminya lalu membunuh diri. Mohsin mendapat tahu bahawa Mahani kini menjalani hidup sebagai pelacur atas membalas dendam terhadap lelaki yang telah mempersia-siakannya. Mahmud juga telah mati, Mahani pula telah berkahwin dengan Salim seorang wartawan. Mahani merasa sedih kerana perbuatannya menganiaya Hasni yang telah membawa kematian Hasni dan Lin. Salim dan Mahani menyalahkan Mohsin sebagai tidak bertimbang rasa, mempunyai kelas dan kasta dan mereka terpaksa akur pada hukum manusia. Mahani dan Salim berpisah tetapi bertemu kembali. Salim mengaku telah membunuh Mahmud kerana cuba membunuh Mahani. Mohsin mati diserang penyakit jantung.
Sinopsis Rumah Kosong
Lampiran 3
Rumah Kosong mengisahkan kehidupan Wan (35tahun) bersama tukang kebunnya, Damin dan isterinya, Siti yang sedang mengandung lapan bulan. Damin dan Wan merupakan teman sepermainan pada waktu mereka kecil. Ibu bapa Wan telah mengahwinkan Damin dengan Siti. Wan sendiri pernah bertunang dengan Syed Hasan. Sejak ibu bapanya meninggal dunia, Wan hidup sendirian dengan bertemankan Damin dan Siti. Tidak ada saudara mara yang melawatinya. Kemudian dengan tidak disangka, Syed Dzulkifli seorang saudara daripada keluarganya memohon untuk tinggal di rumahnya sementara meneruskan pelajaran dalam ilmu seni lukis. Kehadiran Syed Dzulkifli menggembirakan Wan kerana dia berharap dapat teman untuk menghabiskan masa lapangnya. Namun, Dzulkifli sibuk mengerjakan sebuah lukisan pada setiap hari. Lukisan itu akan ditutupnya apabila Wan memasuki biliknya. Dzulkifli sempat melihat wajah Siti yang hodoh ketika dia mengerang dalam kesakitan untuk bersalin. Usahanya untuk membantu Siti tidak disenangi oleh Damin. Wan pula telah menyelongkar semua lukisan tersebut diisi dengan wajah wanita semata-mata. Sementara itu, Wan sempat menyelamatkan Siti yang sedang dalam kesakitan daripada dibunuh oleh suaminya dengan racun. Damin mengaku cuba membunuhnya untuk Wan. Wan mengaku tidak mencintai Damin. Dzulkifli pernah melihat Damin mencium isterinya yang sedang sakit dengan buas sehingga ia tidak dapat bernafas. Damin menyokong tindakannya dengan alasan bahawa cinta terletak pada perbuatan. Wan mengaku dirinya kesunyian dan tidak pasti sama ada kekosongan itu akan diisi oleh Dzulkifli atau dicerobohi oleh Damin. Siti, isteri Damin menyedari dirinya yang hodoh dan adalah menjadi kewajipannya untuk menunjukkan bakti kepada Damin. Pada kali kedua, Damin menyogok ubat yang dititiskan ke dalamnya beberapa titik racun. Siti berjaya dibunuhnya. Apabila polis menyiasat Wan, dia tidak menyatakan Damin yang meracuni Siti, walaupun dia pernah melihat Damin berbuat demikian pada satu masa dahulu. Sebaliknya dia menduga bahawa Siti mungkin telah membunuh diri kerana terlalu hodoh. Wan berdusta bahawa Siti pernah cuba membunuh diri beberapa kali. Dzulkifli menyedari bahawa Damin telah membunuh Siti untuk merebut kasih Wan yang jelita. Pada waktu malam, Damin telah melarikan diri daripada polis dan memasuki bilik Wan lalu mencium Wan. Jeritan Wan menimbulkan kemarahan Damin kerana perbuatannya membunuh isterinya Siti yang dilakukan semata-mata untuk Wan tidak mendapat balasan yang diharapkannya. Dzulkifli menyelamatkan Wan dan seterusnya dia berpeluang melafazkan cintanya pada Wan, lalu mengajak Wan balik bersamanya.





Lampiran 4Sinopsis Samseng

Novel Samseng ini merangkumi tiga jangka masa, iaitu sebelum perang, zaman Jepun dan sesudah perang. Samseng mengisahkan kehidupan Makmur, seorang samseng yang ketika itu berumur 19 tahun. Dia tidak menghiraukan ibunya yang miskin tetapi lebih berminat sebagai seorang samseng yang menunjukkan dirinya sebagai gangster. Di sekolah dia sentiasa memeras ugut budak-budak lain, dan setiap kali ditangkap dan dihukum dia akan membalas dendam. Kegagahannya menarik perhatian Bujang, ketua samseng Kampung Kapur dan mempelawanya memasuki kumpulannya. Ketekunan dalam menangani aktiviti berkumpulan ini telah menyebabkan dia dinaikkan pangkat menjadi orang nombor dua. Oleh sebab dia tidak mempunyai pekerjaan, dia meminta wang daripada ibunya. Apabila ibunya tidak memberikan wang, dia mencurinya sambil menepis dada ibunya. Dia mula bermalam dengan pelacur, berkenalan dengan minuman keras dan bergaul dengan perempuan joget.

Pada masa Jepun di Singapura, Makmur mula melakukan aktiviti rompakan dan membunuh. Dalam kejadian letupan bom, ibunya meninggal. Dia tinggal dengan Jorah. Sementara itu, bersama-sama kawan-kawannya, Makmur merempuh tempat simpanan senjata askar Jepun. Korah pula dalam usahanya untuk menjaga keselamatan dirinya, mula melayani askar Jepun. Makmur ditinggalkannya. Apabila Jepun menyiarkan akan menghukum sesiapa yang menyimpan senjata api, Makmur menanam semua senjatanya di dalam tanah. Makmur ditangkap oleh Jepun dan untuk menyelamatkan dirinya, dia sanggup menangkap kumpulan jahat yang lain. Oleh sebab dia ingin supaya orang lain menakuti dan menghormatinya, Makmur sanggup menangkap Bujang untuk Jepun. Dia telah diberikan hak untuk membawa senjata oleh Jepun. Bujang ditangkap dan dipukul sampai mati dan ramai teman Bujang dalam kumpulannya menghadapi nasib yang sama. Makmur menggunakan kuasanya sebagai kempetai untuk mendapatkan wang. Jorah pula menjadi perempuan simpanan ketua Jepun dan mengambil kesempatan ini untuk mengalahkan Makmur.

Apabila Jepun menyerah diri, Makmur berkesempatan untuk memperoleh banyak senjata api dan peluru. Dia menubuhkan kumpulan 208 dan mencari orang yang telah bekerjasama dengan Jepun. Jorah kembali menjadi perempuan simpanan Makmur. Pada waktu siang, dia bekerja sebagai pelacur. Oleh sebab pelacur sering diganggu oleh lelaki, Makmur mencadangkan agar mereka membayar wang keselamatan, tetapi Jorah tidak bersetuju. Pernah pada suatu masa, Jorah memukul Ahmad kerana tidak mahu menerangkan keanggotaannya. Selepas itu, Ahmad menjadi anggota kumpulan Din/20 untuk membalas dendam terhadap Makmur. Bersama Din, Ahmad dapat membalas dendam terhadap orang yang memukulnya.
Jorah pula menyeru kepada rakan sekerjanya agar jangan menurut rancangan Makmur membayar wang keselamatan. Bersama Din, Ahmad dapat membalas dendam terhadap orang yang memukulnya. Sementara itu, Jorah dan rakannya bersetuju untuk bekerjasama dengan kumpulan 17 bagi mendapatkan perlindungan kerana bayarannya tidak membebankan, tambahan pula kumpulan 17 lebih kuat. Walau bagaimanapun, dalam satu letupan yang dilakukan oleh kumpulan 208, Jorah dan ramai temannya meninggal dunia. Ini menimbulkan kemarahan Gulsingh, ketua kumpulan 17. Akhirnya Makmur dibunuh oleh geng 17. Semasa dia menemui mautnya terbayang wajah ibu, Jorah dan beberapa orang mangsanya.

BIBLIOGRAFI

A. M Thani. Esei Sastera Asas 50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
Hamzah. Pertumbohan Novel-Novel Melayu. Singapura: 1962.
Hamzah Hussien. “Sastera 1950 ( Jan-Feb-Mac)”. Hiburan. 1950: Bil. 151.
Hamzah Hussien. “Sastera 1950 ( Apr-Mei-Jun)”. Hiburan. 1950: Bil. 155.
Hamzah Hussien. “Membentuk Kesusasteraan Baru”. Hiburan. 1950: Bil. 176.
Hamzah Hussien. “Mempelajari Hamka”. Hiburan. 1951: Bil. 185.
Hamzah Hussien. “Pertimbangan Adil”. Hiburan. 1951: Bil. 194.
Hamzah Hussien. “Masyarakat dan Sasterawan”. Hiburan. 1951: Bil. 209.
Hamzah Hussien. “Melawat Paris dari Tempat Duduk”. Hiburan. 1954: Bil. 363.
Hamzah Hussien. “Dalam Memajukan Sastera”. Hiburan. 1950: Bil. 159.
Kamaruzzaman A. Kadir. Puisi Melayu. Serdang, Selangor: IDEAL UPM, 2001.
S. Othman Kelantan. Novel-Novel Hamzah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.
Sahlan Mohd. Saman. “Rumah itu Dunia Aku: Satu Tinjauan Struktural. Dlm Hamzah Hamdani (Penytg)”. Novel-novel Malaysia dalam Kritikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982.

KRITIKAN TEKS

CERPEN PENDEDAHAN OLEH ZAID AKHTAR
DILIHAT DARI SUDUT STRUKTURALISME

Pendahuluan
Kajian teks sesuatu karya sastera dengan menggunakan pendekatan strukturalisme bermakna melihat struktur, iaitu kaitan-kaitan atau hubungan-hubungan tetap antara kelompok-kelompok gejala atau unsur hasil penelitian dan pengamatan pengarang sebagaimana yang diperkatakan oleh Hashim Awang dalam “Strukturalisme dalam Ilmu Sastera dan Aplikasinya.”(Nik Safiah Karim, 1985: 194)
Justeru, menurut Hashim Awang, pendekatan yang timbul merupakan satu pergerakan intelektual, khususnya di Barat (Perancis) yang dikenali sebagai aliran strukturalisme, iaitu satu kaedah yang bertujuan membenarkan para pengkaji melakukan penelitian yang lebih mendalam. Justeru, enam gagasan dalam teori dikemukakan iaitu:
1. Gagasan keseluruhan (wholeness)
2. Gagasan regulasi diri (self-regulation)
3. Gagasan transformasi (transformation)
4. Gagasan kaitan (relationships)
5. Gagasan sinkronik (snapshot method)
6. Gagasan desentralisasi perkara (decentring the subject)
Analisis Kajian
i. Keseluruhan
Untuk menganalisis cerpen menggunakan pendekatan Strukturalisme ini, gagasan keseluruhan adalah antara prinsip yang akan digunakan. Dalam hal ini, Hashim Awang beranggapan bahawa strukturalisme menganggap sastera sebagai satu sistem atau struktur, iaitu keseluruhan yang memiliki konvensi dan tradisi sendiri, yang hanya dapat dijelaskan mengikut caranya yang tersendiri. Justeru analisis karya perlu melihat plot, watak, dan lambang, atau hal-hal yang luar biasa, metafora, metonimi, dongeng, mitos, perbandingan dan fungsi. (Nik Safiah Karim, 1985: 1999)
Dalam kajian ini, pengkaji akan menyorot plot cerpen Pendedahan untuk menggambarkan keseluruhan cerita, malah pengkaji mendapati cerpen Pendedahan mempunyai plot yang kronologi dan menggunakan teknik imbas kembali, justeru plotnya adalah seperti berikut:
i. Setelah berasa penat Tuah ingin berehat (tidur) tetapi tidak berjaya. Tuah hanya dapat memerhatikan diri isterinya yang tidur dengan nyenyak.
ii. Setelah penat berusaha melelapkan mata (tidur) Tuah duduk berlunjur kaki sambil bersandarkan bantal.
iii. Dalam termangu-mangu, nada dering telefon bimbit Tuah memecah kesunyian.Tuah bangkit perlahan dan mencapai telefon di atas meja solek isterinya.
iv. Tuah menerima panggilan daripada nombor yang agak asing sehingga menimbulkan perasaan tanda tanya pada diri Tuah.
v. Tuah menerima panggilan daripada seorang perempuan yang dikenalinya suatu masa dahulu.
vi. Perempuan yang menelefonnya ialah Teja kerana ingin membersihkan namanya daripada dikaitkan dengan Tuah.
vii. Tuah berdialog denga Teja untuk merungkai beberapa persoalan, iaitu menjawab segala tafsiran masyarakat terhadap Tuah dan Teja.
viii. Teja menjelaskan kedudukan sebenar dirinya, di samping kelemahan Tuah untuk makluman masyarakat.
ix. Tuah berhasrat membuat filem bagi mengaibkan Teja kerana berasa geram dengan tuduhan dan penjelasan Teja.

Dalam cerpen ini didapati watak yang terlibat ialah Tuah dan Teja sahaja. Isteri Tuah, Puteri Gunung Ledang bertindak sebagai watak sampingan. Pengarang juga menggunakan beberapa unsur perlambangan yang membawa makna dalam masyarakat. Antara lambang yang digunakan ialah:
a) Gelaran
Datuk atau Tan Sri yang digunakan oleh Tuah menunjukkan kebesaran dan pangkat dalam masyarakat.
b) Telefon bimbit
Telefon yang digunakan menunjukkan kemajuan, dan masa cerpen Pendedahan ditulis, iaitu pada tahun 2004
c) Media
Salah satu alat komunikasi yang digunakan pada masa ini, yang dapat menggambarkan kemajuan sesuatu bangsa dan negara.
d) Jampi
Ilmu guna-guna untuk mengubah pandangan seseorang, misalnya Teja yang telah tertarik dengan Tuah dengan bantuan jampi, malah dengan jampilah Teja dapat melupakan cintanya terhadap Tuah untuk beralih kepada sultan.
e) Patih Kerma Wijaya
Orang Majapahit yang suka memfitnah.
f) Feringgi
Menunjukkan penjajah yang datang ke Melaka
ii. Regulasi Diri
Hashim Awang memberi erti regulasi diri sebagai penyataan “arbitrary character of the sign” de Saussure, iaitu yang menjadi pendorong penting para strukturalis meneliti bukannya makna, tetapi kaedah (Nik Safiah Karim, 1985: 1999)
Cerpen Pendedahan lebih sesuai jika dikategorikan sebagai skrip drama; kerana cerpen ini diolah tidak seperti kelaziman penulisan cerpen sebaliknya cerita berjalan di atas dialog, antara Tan Sri Tuah dengan Teja perempuan yang dalam cerpen ini dikatakan diculik Tuah demi ketaatan dan ketaksuban kepada sultan. Sesuai dengan sifatnya seperti skrip drama, cerpen yang diistilah sebagai mapen (drama dan cerpen) begini, terlalu sedikit selingan penceritaan latar baik pada permulaan, pengakhiran mahupun penyambung antara satu dialog dengan dialog-dialog berikutnya. Oleh itu, Pendedahan merupakan sebuah mapen yang mudah difahami, tambahan lagi ditulis dengan cara amat sederhana.

iii. Transformasi
Prinsip ketiga, iaitu gagasan transformasi merupakan tingkah laku, amalan dan konvensi yang berubah menurut pandangan Hashim Awang. (Nik Safiah Karim, 1985: 201) Dalam cerpen yang dikaji, penulis menyelitkan beberapa sindiran sinis terhadap pemimpin yang dikatakannya sebagai bertopengkan Islam tetapi melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum Islam seperti meneguk arak dan menari ketika berada di luar negara. Kewujudan pemimpin yang banyak menghabiskan masa di padang golf berbanding menjenguk rakyat bawahan, turut disentuh.
Kegemaran kebanyakan pemimpin negara bercakap bahasa Inggeris biarpun sesuatu acara dihadiri sepenuhnya rakyat tempatan turut ditonjolkan, biarpun Tuah dikatakan boleh menguasai 20 bahasa dan pernah menobatkan Melayu tidak akan hilang di dunia namun malangnya Tuah dalam mapen Pendedahan ini diibaratkan menikam dan memperlekeh bahasa ibundanya sendiri.

iv. Kaitan
Prinsip yang kedua ini, merujuk kepada kaitan antara perkataan dengan bahasa, antara teks dengan genre, konvensi dengan keseluruhan sastera dan yang menolak pengertian dan penafsiran (Nik Safiah Karim, 1985: 200)
Berhubung dengan kaitan antara perkataan dengan bahasa, pengkaji mendapati pengarang telah mewujudkan kaitan yang berkesan antara perkataan dengan bahasa sehingga mewujudkan makna yang berkesan kepada pembaca, misalnya apabila pengarang cuba menggambarkan kesukaran untuk melelapkan mata seperti berikut:

Sudah jenuh dia menukar posisi - mengiring ke kanan, ke kiri, menelentang, meniarap - tetapi mata tidak juga mahu bertaup. Puas pandangannya menerawang ke setiap penjuru kamar beradunya, akhirnya dia duduk berlunjur kaki sambil bersandarkan bantal.

Sehubungan dengan kaitan teks dengan genre, pengkaji mendapati cerpen ini amat berguna, terutama apabila pengarang menggunakan ilmu bantu, iaitu ilmu sejarah dalam penghasilannya karyanya. Malah teknik yang digunakan amat berkesan, khususnya teknik penceritaan dialog, walaupun boleh dikatakan sebagai teknik skrip drama.
Dari aspek konvensi atau unsur dengan keseluruhan sastera, cerpen ini dapat dianggap berjaya mengasingkan dirinya dari konvensi sastera oleh sebab teknik dialog, malah unsur penafian berhubung fakta sejarah amat berbeza dengan cerpen-cerpen yang lain.
Justeru tema yang dibawa menolak pengertian dan penafsiran sebenar dokumen yang sedia ada, malah cuba mencari jawapan terhadap peribadi Tun Teja dan Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah yang dianggap berbeza dengan cerpen. Dalam hal ini pengarang cuba menerapkan kesucian kepada Tun Teja dan mengangkat Hang Jebat sebagai wira Melayu, dan bukannya Hang Tuah yang diagung-agungkan selama ini.
v. Analisis Sinkronik
Dalam analisis sinkronik, apa yang dipentingkan ialah kekinian, bukannya sejarah atau sesuatu yang sudah lepas (Nik Safiah Karim, 1985: 201). Sehubungan dengan itu, didapati dalam cerpen adanya unsur-unsur kekinian (semasa) bagi menggambarkan situasi dan masa berlakunya cereka. Misalnya, penggunaan telefon bimbit menggambarkan masa kini, iaitu masa cerpen itu ditulis oleh pengarang pada tahun 2004 .
Selain itu, pengarang telah mengulangi fakta sejarah menerusi beberapa penjelasan yang dilakukan oleh Teja, iaitu Tuahlah yang cuba menggoda, membawanya lari ke Melaka dan kemudiannya memberi sirih jampi pembenci supaya dirinya melupakan Tuah.
Malah dalam cerpen, Teja tidak berasa cemburu jika Tuah berasmaradana atau beristeri lima sekalipun, tetapi Teja menjelaskan bahawa dirinya mengikuti Tuah ke Melaka bukanlah dengan kerelaan hatinya kerana tidak sanggup mengkhianati tunang tercinta apalagi menconteng arang ke muka bapa sendiri. Malangnya Tuah yang berpakat dengan Dang Rakna, inang yang telah mengguna-gunanya sehingga dirinya tidak sedar dan akhirnya mengikuti Tuah.
Begitu juga penjelasan Teja tentang pegangan agama Tuah yang lemah apabila menceritakan hal Tuah di Majapahit, meneguk arak di hadapan majlis setelah dicabar pembesar di sana, Tuah menari-nari sambil memegang senjata, iaitu amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam. Tuah datang ke Pahang sebelum melarikan Teja dengan ghali ke Melaka semata-mata untuk memenangi semula hati sultan. Justeru Teja bertanya apakah hukumnya Tuah merampas tunangan orang lain.

vi. Desentralisasi Perkara
Salah satu prinsip yang digunakan dalam pendekatan strukturalisme ialah desentralisasi perkara, iaitu sifat yang paling radikal terhadap pengabaiannya bukan sahaja pada sejarah, tetapi juga pada pengarang dan pembaca. (Nik Safiah Karim, 1985: 201)
Perkara yang dapat dianggap radikal ialah pengabaian persepsi terhadap kebenaran Tuah sebagai wira Melayu pada zaman kesultanan Melaka, malah soal kesetiaan, soal kepatuhan dan taksub yang membabi buta dipersoalkan oleh pengarang. Malah Jebat yang sanggup mengorbankan dirinya demi menentang kezaliman wajar dianggap sebagai wira Melayu. Jebat yang terkorban kerana dituduh menderhaka walaupun membela Tuah tidak wajar dibunuh lantaran telah membantu Tuah, malah tuduhan bermukah dengan dayang istana adalah fitnah kerana Jebat sebenarnya telah menikahi Dang Baru secara diam-diam semasa Tuah dalam buangan.
Justeru menurut pengarang sifat taat setia Tuah tidak bertempat, malah Tuah dianggap sebagai seorang pemimpin yang gilakan kuasa dan nama, oleh sebab itu Tuah sanggup berbuat apa saja terhadap Jebat dan Teja, dan akibatnya mereka telah menjadi mangsa kegilaan Tuah.
Pengabaian fakta sejarah dapat dilihat apabila pengarang meminta Tuah membuat penafian dengan memanggil media dan mengatakan bahawa tidak ada bekas kekasih Tuah yang bernama Teja, malah memberitahu Tun Teja adalah mangsa keadaan, Teja tidak pernah tergila- gilakan Tuah, Teja tidak pernah curang terhadap Megat Panji Alam apalagi mabuk asmara tetapi telah dipukau dan dihadiahkan kepada Sultan Melaka. Tuah juga diminta menjelaskan bahawa Teja juga telah bersama Tun Fatimah berjuang menentang penjajah Feringgi.
Pengabaian dapat dilihat dalam cerpen, terutama terhadap bahasa Melayu yang digambarkan oleh Tuah apabila mengagung-agungkan bahasa asing. Misalnya, Tuah sekarang lebih banyak berbahasa asing berbanding bahasa Melayu. Dalam temu ramah dengan media tempatan pun Tuah sangat gemar dan bangga menggunakan bahasa penjajah. Bahasa Melayu yang menjadi identiti kebanggaan Kesultanan Melayu Melaka dahulu, iaitu yang menjadi lingua franca zaman itu, bahasa ilmu, bahasa perdagangan di Nusantara malah terkenal ke seluruh dunia telah mula diabaikan oleh Tuah.
Pengabaian terhadap rakyat dipaparkan oleh pengarang apabila dalam cerpen, wataknya Tan Sri Tuah lebih banyak menghabiskan masanya di padang golf, berbanding menjenguk rakyat bawahan hanya apabila ada pemilihan barulah nampak muka.
Justeru, sesuatu yang dianggap radikal apabila pengarang dalam cerpen Pendedahan tidak menganggap Tuah sebagai wira dan laksamana Melaka, kerana menurut kajiannya tidak terdapat bukti, khususnya dalam buku 1421: The Year China Discovered America tulisan Gavin Menzies yang dikajinya, tidak tercatat nama Tan Sri Tuah sebagai Laksamana Melaka. Malah pengarang mendakwa, Tan Sri Tuah sebagai penderhaka kerana menjalin hubungan sulit dengan Puteri Gunung Ledang yang sangat diingini sultan. Pengarang mendapati Tuah juga seorang pengecut dan pengkhianat kerana berpura-pura uzur tetapi sebenarnya lari dari peperangan menentang Feringgi. Oleh sebab mahu menjulang semula imej Tuah yang jatuh serta demi nama dan kedudukan, Tan Sri telah mereka Hikayat Hang Tuah.

Kesimpulan

Dalam cerpen Pendedahan oleh Zaid Akhtar didapati bahawa suatu urutan peristiwa manusia yang mengarah kepada satu-satu matlamat tertentu sebagaimana yang dikehendaki dalam analisis Strukturalisme. Peristiwa-peristiwa tersebut boleh dikategorikan kepada dua, iaitu pembaikan dan pemusnahan.
Tahap pembaikan merujuk kepada usaha membersihkan diri yang dilakukan oleh Tun Teja, iaitu pengarang telah cuba membetulkan fakta, misalnya Tun Teja terpaksa mengikuti Tuah disebabkan telah dijampi oleh Tuah, Tuahlah yang cuba menggoda, membawanya lari ke Melaka dan kemudiannya memberi sirih jampi pembenci supaya dirinya melupakan Tuah. Malah dalam cerpen, Teja tidak berasa cemburu jika Tuah berasmaradana atau beristeri lima sekalipun, tetapi Teja menjelaskan bahawa dirinya mengikuti Tuah ke Melaka bukanlah dengan kerelaan hatinya kerana tidak sanggup mengkhianati tunang tercinta apalagi menconteng arang ke muka bapa sendiri. Malangnya Tuah yang berpakat dengan Dang Rakna, inang yang telah mengguna-gunanya sehingga dirinya tidak sedar dan akhirnya mengikuti Tuah.
Sementara tahap pemusnahan dilakukan oleh pengarang apabila cuba menyatakan kelemahan-kelemahan Tuah, malah cuba mengangkat Jebat sebagai wira. Misalnya pengarang menceritakan pegangan agama Tuah yang lemah, soal kesetiaan, soal kepatuhan dan taksub yang membabi buta dipersoalkan oleh pengarang. Justeru menurut pengarang sifat taat setia Tuah tidak bertempat, malah Tuah dianggap sebagai seorang pemimpin yang gilakan kuasa dan nama, oleh sebab itu Tuah sanggup berbuat apa saja terhadap Jebat dan Teja, dan akibatnya mereka telah menjadi mangsa kegilaan Tuah. Salah satu yang dianggap pemusnahan kepada TuahJtidak menganggap Tuah sebagai wira dan laksamana Melaka, kerana menurut kajiannya tidak terdapat bukti, khususnya dalam buku 1421: The Year China Discovered America tulisan Gavin Menzies yang dikajinya, tidak tercatat nama Tan Sri Tuah sebagai Laksamana Melaka. Malah pengarang mendakwa, Tan Sri Tuah sebagai penderhaka kerana menjalin hubungan sulit dengan Puteri Gunung Ledang yang sangat diingini sultan. Pengarang mendapati Tuah juga seorang pengecut dan pengkhianat kerana berpura-pura uzur tetapi sebenarnya lari dari peperangan menentang Feringgi. Oleh sebab mahu menjulang semula imej Tuah yang jatuh serta demi nama dan kedudukan, Tan Sri telah mereka Hikayat Hang Tuah.
Rujukan


A. Teeuw. Sastera dan Ilmu Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995.

Nik Safiah Karim. Strukturalisme Satu Tinjauan Multidisiplin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985.

Swingewood, Alain. “Theory”, dalam Laurenson & Swinghood, The Sociology of Literature. London: Paladin, 1972b: 169-275.

Umar Junus (Peny.). Teori Kesusasteraan Sezaman Raman Selden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989.

Umar Junus. Sosiologi Sastera Persoalan dan Metode. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986.

Zaid Akhtar.“Pendedahan”. Mingguan Malaysia, 13 Oktober 2004.

Tuesday, February 3, 2009

PUISI

BOHEY DULANG

Datangmu adalah utusan untuk mengkhabarkan keindahan
Bohey Dulang pulau khazanah ciptaan Tuhan
Bohey Dulang panorama yang mengujakan
Bohey Dulang yang melabuhkan segala impian

Kutahu jari- jemarimu spesis fauna
Kutahu deria baumu habitat flora
Kutahu pantai bahagiamu seputih kapas
Kutahu teratakmu damai-bebas

Kaulah pulau mutiara gedung ilmu
Tapak dunia yang berharga
Kunjungan pelancong cendekiawan bertamu
Kaulah pulau warisan dipulihara

Seumpama namamu Bohey Dulang
Tampungan air khazanah bangsa
Semarak namamu Bohey Dulang
Terukir indah seantero dunia.

28.01.2009
1116pm