Wednesday, December 30, 2009

TAHUN BARU

Apabila tiba tahun baru, setiap individu daripada kita tidak kira tua atau pun muda akan menetapkan sasaran dalam dirinya untuk menempoh peralihan tersebut dengan harapan akan ada transformasi dalam rekod mahu pun pencapaian untuk penambahbaikan tingkah laku masing-masing walaupun pada hakikatnya azam tersebut sewajarnya dilakukan pada bila-bila masa tanpa menunggu begitu lama tahun baru untuk melakukan angin perubahan pada diri.

Walaupun sebenarnya membina azam pada tahun baru tidak salah, sebagai KPI atau NKRA diri pada tahun tersebut namun langkah demikian seolah-olahnya gagal memanfaatkan amalan REFLEKSI atau MUHASABAH dalam tindakan pada setiap hari. Agaknya kita sebagai insan sewajarnya menjadikan "hari ini lebih baik dari semalam" dalam perhitungan tingkah laku demi memastikan kejayaan dalam kehidupan. Justeru nasihat para ulama mahupun cendikiawan agar setiap orang daripada kita menghitung kembali, menilai kemungkinan perkara yang kita lakukan setiap masa menjadi roh kehidupan agar kita berada pada landasan yang sebenarnya.

Namun jika kita berazam pada tahun baru ini untuk memulakan satu daripada seribu langkah yang murni seterusnya untuk menempah kejayaan dalam diri agak relevan dengan konsep NAWAITU yang disyorkan oleh para ulama dalam pandangan agamawan.Dengan mengambil iktibar daripada konsep NIAT, mudah-mudahan azam tersebut memperkukuh dan memperkasa diri dalam kelangsungan bermasyarakat.

Misalnya seorang penulis yang ingin menghasilkan sebuah buku dalam setahun, secara logiknya jika dihitung kira, apabila menulis selembar muka surat sehari, dalam tempoh 365 hari itu, penulis tersebut telah dapat menghasilkan 365 halaman yang kira-kiranya mencukupi untuk membuat sebuah buku yang kecil. Bayangkan jika disiplin itu dikekalkan dengan menghasilkan 3 atau 5 muka surat sehari, sudah tentu sebuah novel dan beberapa buah cerpen boleh dihasilkan oleh penulis berkenaan.


Begitulah juga analoginya apabila kita melatih seorang atlet, dengan disiplin dan jadual latihan yang terancang, sudah tentu ada perubahan tingkah laku sebagaimana yang ditegaskan dalam Teori Behaviorisme bahawa perubahan tingkah laku akan berubah apabila adanya latihan yang berulang-ulang, apatah lagi dengan dukungan faktor-faktor yang lain seperti keadaan fizikal, mentaliti dan seumpamanya.

Dalam konteks diri, kita akan berazam untuk meningkatkan amalan diri dalam hal-hal keagamaan (berhubung dengan rukun iman dan rukun Islam); kualiti rumah tangga; kualiti kerja; pengurusan masa dan pengurusan diri. Mudah-mudahan NKRA yang kita canangkan itu memperoleh kejayaan.

Wallahualam.