Monday, August 31, 2009

TUAH BADAN VS KECEMERLANGAN

Banyak orang bertanya kepada saya apa bezanya antara tugas seorang pensyarah dengan tugas seorang guru biasa. Secara jujurnya saya mengatakan kepada rakan-rakan yang bertanya kepada saya bahawa antara kedua-dua tugas tersebut tentulah ada perbezaan, walaupun pada asasnya mempunyai persamaan mengajar.

Sering juga ditanyakan kepada saya persoalan, apakah gred atau pangkat seorang guru akan berubah apabila menjawat jawatan tersebut, ikhlasnya saya mengatakan tiada.

Realitinya begitu, tetapi berdasarkan pengalaman saya berada di IPGM, laluan saya begitu cepat empat tahun daripada yang sebenar. Rakan-rakan senior saya di universiti hatta di sekolah lama dahulu masih berada di gred yang lama. Bukanlah bercakap besar, mahupun ingin berlagak sombong pada bulan Ramadan yang mulia ini, tetapi saya amat bersyukur dengan rezeki yang diperoleh di IPGM, yang saya kira-kira berbaloi dengan pengorbanan saya selama ini.

Antara persoalan lain yang selalu ditanyakan kepada saya adalah; yang mana lebih susah antara pensyarah dengan guru, yang mana seronok, yang mana sibuk, yang mana senang mengajar, yang mana relax, yang mana banyak kursus, yang mana banyak claim, apa keistimewaan menjadi seorang pensyarah? Dan lain-lain keuntungan yang diperoleh oleh rakan-rakan yang bertanya jika mereka memilih opsyen yang sama seperti saya.

Atas kesedaran diri, saya berfikiran kita harus bermula dengan NAWAITU yang tulus dan ikhlas dalam menjalankan sesuatu tanggungjawab tanpa mengharapkan apa-apa keberuntungan yang diperoleh daripada apa yang kita lakukan. Sebagai insan, kita perlu senantiasa membuat penambahbaikan terhadap tugas dan diri; berusaha meningkatkan keilmuan, pengetahuan, maklumat, dan personaliti diri agar relevan dengan keperluan semasa. Hari ini bukanlah lagi berdasarkan TUAH BADAN, tetapi BUDAYA KECEMERLANGAN menjadi tunggak utama prestasi seseorang.

Wallahu alam.

30 Ogos 2009/1133pm.