Thursday, August 6, 2009

TOKOH GURU DAERAH SEMPORNA TAHUN 2009

Tokoh guru pada tahun ini dilahirkan pada 26 Mei 1941 di Pulau Denawan, Semporna, Sabah. Anak bongsu daripada 3 orang adik-beradik ini memulakan zaman persekolahannya di Government School Denawan Semporna pada 1 September 1956 hingga tamat darjah 6 pada 13 Februari 1961. Kesungguhan dan cinta beliau dalam bidang pendidikan tidak terhenti begitu sahaja, pada tahun 1971 beliau telah mengikuti darjah pelajaran lanjutan hingga lulus Sijil Pelajaran Rendah. Pencapaian ini membolehkan beliau mendapatkan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan.

Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang perguruan apabila ditawarkan bertugas di Native Voluntier School Labuan Senang, Semporna pada 1 Januari 1962 dengan memegang jawatan sebagai Guru Besar. Untuk memantapkan pedagogi keguruan, beliau telah menyambung pengajian selama 6 bulan di Native Voluntary School Training Teacher Center ( NVSTTC ) Tanjung Aru, Jesselton sehingga memperoleh Sijil Lulus North Borneo Department Education setelah menamatkan kursus latihan pada 22 Jun 1963.

Setelah tamat pengajian perguruan, pada 1 Julai 1963 beliau ditempatkan di Native Voluntier School Bugaya, dan kemudian pada tahun 1965 dilantik sebagai Guru Penolong Kanan Government Primary School Bugaya.

Sepanjang kerjaya beliau dalam bidang pendidikan, beliau telah diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Guru Besar di beberapa buah sekolah di daerah Semporna, antaranya pada Disember 1965 hingga 1969 beliau ditempatkan di SRK Lihak-lihak sebagai guru besar, pada tahun 1970 selama 1 bulan di SRK Pegagau, kemudian pada Januari 1971 selama sebulan, beliau ditugaskan sebagai Guru Besar di SRK Sisipan, dan seterusnya beliau ditempatkan pula ke SRK Kabogan pada tahun yang sama sehingga tahun 1984.

Pencapaian dan khidmat beliau sepanjang perkhidmatan selama ini telah mendorong beliau dinaikkan pangkat ke gred C2 tingkatan khas di SRK Bandar Tawau dengan memegang jawatan sebagai Penolong Kanan pada Disember 1984.

Kemudian, pada Januari 1988 beliau bertugas semula ke daerah Semporna, iaitu di Pejabat Pelajaran Daerah Semporna sebagai Penyelia Sekolah. Setelah bertugas selama 8 tahun di Pejabat Pelajaran Daerah, beliau bersara wajib pada 20 Februari 1996 (Rujuk Tarikh ini)

Sepanjang perkhidmatan beliau, beliau telah memperoleh Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1993 dan menerima pingat kebesaran negeri, iaitu pada tahun 1992 beliau dikurnikan pingat Bintang Setia Kinabalu ( BSK ) oleh TYT Sabah Tun hj.Mohd Said Keruak.

Antara sumbangan kemasyarakatan yang beliau ceburi ialah ahli Kesatuan Guru-guru Kerajaan Sabah mulai tahun 1964 hingga sekarang, dan mantan Pengerusi PIBG SMK Agama TUN Sakaran dari tahun 1993 hingga 1996 .

Tokoh Guru yang dimaksudkan ialah Tuan Haji Sarail bin Asaali.