TITIAN PERJALANAN DALAM KEHIDUPAN
Oleh: ARBAA TAMPUNG
Setiap insan ada peluang dan ruang untuk memajukan diri ke arah mana yang harus dituju. Justeru itu, dalam usaha menggilap potensi diri, membina kualiti diri dan seterusnya menjelmakan modal insan diri yang merangkumi nilai – nilai positif yang sesuai dengan hidup dalam konteks bermasyarakat, kita seharusnya berpegang kepada konsep tidak mudah dipengaruhi oleh pelbagai media dan persekitaran tetapi kita seharusnya dipengaruhi oleh pemikiran kita. Ke arah mana yang harus kita tuju? Objektif dan matlamat apa yang sewajarnya kita usahakan hari ini untuk hasilan pada hari – hari mendatang?
Pelbagai faktor yang boleh mempengaruhi minda dan kerangka pemikiran kita sebagai hamba ALLAH, misalnya media arus perdana yang berbentuk media massa dan media elektronik tetapi untuk melengkapkan diri dengan pelbagai maklumat, proses penyaringan dan penapisan maklumat harus berlaku dan kita harus berpegang teguh kepada disiplin ilmu bahawa bukan semua maklumat adalah betul dan tepat. Kita seharusnya berfikir dengan penuh teliti, membuat pertimbangan yang wajar bahawa untuk berjaya dan cemerlang dalam proses kehidupan kita dipengaruhi oleh pemikiran kita. Susah dan senang, berjaya dan gagal dalam cita – cita yang diinginkan bergantung pada tahap pemikiran kita. Kecemerlangan bermula daripada pemikiran kita.
Dalam proses kehidupan, keperluan dan kehendak insan adalah berbeza. Ada insan yang inginkan kemantapan ekonomi, ada insan yang perlukan jawatan yang hebat dalam sektor awan dan swasta dan ada juga insan yang ingin memiliki keseimbangan hidup dalam pelbagai aspek. Maknanya kita berfikir ke arah mana harus hidup ini hendak dituju. Sesuatu kejayaan dan kecemerlangan hanya boleh diukur oleh insan tertentu.
Saya hidup di dunia yang sementara, yang dipinjamkan oleh ALLAH kepada saya untuk mengenal diri, muhasabah diri tentang apakah tujuan sebenar hidup saya?saya memilih jalan untuk menggunakan potensi yang ada, berusaha sedaya upaya untuk keseimbangan kerjaya dalam profesion keguruan, kebahagian dan kedamaian rumahtangga dan seterusnya pembinaan akhlak dan kecemerlangan anak – anak sama ada dalam aspek agama mahupun akademik. Sebagai hamba ALLAH, saya bukan sahaja penyampai pedagogi dalam konteks profesion saya tetapi saya juga mempunyai tugas dan peranan untuk memelihara dan mengukuhkan keluarga bahagia di samping mentarbiah anak – anak supaya menjadi anak yang soleh dan solehah yang paksinya mengenal ALLAH, mencintai ibu bapa dan menyangi masyarakat serta memberi sumbangan yang bermakna pada pembangunan Negara. Akhirnya bukan mudah untuk bercakap melakukan tugas tersebut ,tetapi sikap, usaha dan tanggungjawab adalah eleman penting yang saya jelmakan dalam tindakan saya. Di samping faham dan tahu ertikata mendidik, membimbing, dan penyampai disiplin ilmu, saya juga komited dengan tugas dan peranan sebagai penasihat, pencetus motivasi dalam kalangan anak, kaunselor dan role model dalam konteks keluarga bahagia.