Thursday, December 31, 2009

SK BUGAYA DALAM KENANGAN

Setelah berkhidmat selama 18 tahun sebagai seorang pendidik, teringin pula rasanya nak menoleh ke belakang untuk menjenguk kembali kisah-kisah lama di daerah Semporna dalam perkhidmatan yang rasanya manis untuk dikenang apatah lagi apabila sehari dua ni bertemu dengan anak-anak didik yang sudah berjaya dan turut serta dalam bidang pendidikan menjadi seorang guru.

Sebagai seorang guru, tentulah hadiah yang paling istimewa dan berharga bagi kita ialah apabila melihat anak-anak didik yang pernah kita ajar itu berjaya dan membuahkan hasil sebagaimana yang kita pesan suatu masa dahulu. Begitulah juga kisahnya pada saya 18 tahun dulu, barangkalinya Cikgu Hjh Erommanis, Cikgu Harijah, Tn. Hj. Masaudah, dan lain-lainnya berasa bangga apabila melihat anak didik mereka berjaya, apabila saya melapor diri di SK. Bugaya pada tarikh 1 Disember 1991 sebagai guru sandaran terlatih setelah tamat latihan di Maktab Perguruan Persekutuan, Pulau Pinang.

Saya masih ingat pada masa itu, pada usia 21 tahun menjadi seorang pendidik agak tercabar juga dengan saiz badan anak-anak didik yang hampir sebaya dengan saya seperti adik Abdul Mispal, dan adik Husir Salip Besar dan kini sudah bergelar guru di Semporna.

Wednesday, December 30, 2009

TAHUN BARU

Apabila tiba tahun baru, setiap individu daripada kita tidak kira tua atau pun muda akan menetapkan sasaran dalam dirinya untuk menempoh peralihan tersebut dengan harapan akan ada transformasi dalam rekod mahu pun pencapaian untuk penambahbaikan tingkah laku masing-masing walaupun pada hakikatnya azam tersebut sewajarnya dilakukan pada bila-bila masa tanpa menunggu begitu lama tahun baru untuk melakukan angin perubahan pada diri.

Walaupun sebenarnya membina azam pada tahun baru tidak salah, sebagai KPI atau NKRA diri pada tahun tersebut namun langkah demikian seolah-olahnya gagal memanfaatkan amalan REFLEKSI atau MUHASABAH dalam tindakan pada setiap hari. Agaknya kita sebagai insan sewajarnya menjadikan "hari ini lebih baik dari semalam" dalam perhitungan tingkah laku demi memastikan kejayaan dalam kehidupan. Justeru nasihat para ulama mahupun cendikiawan agar setiap orang daripada kita menghitung kembali, menilai kemungkinan perkara yang kita lakukan setiap masa menjadi roh kehidupan agar kita berada pada landasan yang sebenarnya.

Namun jika kita berazam pada tahun baru ini untuk memulakan satu daripada seribu langkah yang murni seterusnya untuk menempah kejayaan dalam diri agak relevan dengan konsep NAWAITU yang disyorkan oleh para ulama dalam pandangan agamawan.Dengan mengambil iktibar daripada konsep NIAT, mudah-mudahan azam tersebut memperkukuh dan memperkasa diri dalam kelangsungan bermasyarakat.

Misalnya seorang penulis yang ingin menghasilkan sebuah buku dalam setahun, secara logiknya jika dihitung kira, apabila menulis selembar muka surat sehari, dalam tempoh 365 hari itu, penulis tersebut telah dapat menghasilkan 365 halaman yang kira-kiranya mencukupi untuk membuat sebuah buku yang kecil. Bayangkan jika disiplin itu dikekalkan dengan menghasilkan 3 atau 5 muka surat sehari, sudah tentu sebuah novel dan beberapa buah cerpen boleh dihasilkan oleh penulis berkenaan.


Begitulah juga analoginya apabila kita melatih seorang atlet, dengan disiplin dan jadual latihan yang terancang, sudah tentu ada perubahan tingkah laku sebagaimana yang ditegaskan dalam Teori Behaviorisme bahawa perubahan tingkah laku akan berubah apabila adanya latihan yang berulang-ulang, apatah lagi dengan dukungan faktor-faktor yang lain seperti keadaan fizikal, mentaliti dan seumpamanya.

Dalam konteks diri, kita akan berazam untuk meningkatkan amalan diri dalam hal-hal keagamaan (berhubung dengan rukun iman dan rukun Islam); kualiti rumah tangga; kualiti kerja; pengurusan masa dan pengurusan diri. Mudah-mudahan NKRA yang kita canangkan itu memperoleh kejayaan.

Wallahualam.

Tuesday, December 29, 2009

ANUGERAH SEKOLAH CEMERLANG, KPM 2009

Majlis Anugerah Sekolah Cemerlang, Kementerian Pelajaran Malaysia Tahun 2009 berlangsung di Universiti Putra Malaysia, Serdang yang telah berlangsung telah memilih 6 sekolah dari Negeri Sabah yang berjaya menerima Anugerah Sekolah Cemerlang dalam kategori sekolah masing-masing iaitu;


i. SMK Tawau - Sekolah Menegah Harian Bandar
ii. SK Taman Rimba Sandakan - Sekolah Rendah Harian Bandar
iii. SM St. Micheal, Penampang - Sekolah Menengah Harian Luar Bandar
iv. SMK Badin, Tuaran - Sekolah Menengah Harian Berasrama Luar Bandar
v. SMK Balung, Tawau - Sekolah Menengah Harian Berasrama Luar Bandar
vi. SK Singgah Manis, Kinabatangan - Sekolah Rendah kategori Sekolah Kurang Murid

Jabatan Pelajaran Negeri Sabah mengucapkan tahniah atas usaha dan kejayaan yang telah dicapai oleh warga sekolah.

Ditulis oleh Sektor Jaminan Kualiti

Sumber: Laman Web JPNS