Wednesday, March 25, 2009

PENGURUSAN MASA

PENGURUSAN MASA

Kepentingan Masa

Masa amat penting untuk semua makhluk di dunia ini. Di dalam al Quran banyak ayat yang menyentuh tentang pentingnya mengurus masa. Salah satu ayat al Quran yang menyentuh kepentingan masa adalah seperti berikut. Maksudnya:
"Demi masa.Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali merka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran"

Pembahagian Masa
Pembahagian masa kepada semua manusia adalah sama banyak. Setiap orang akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam. Penggunaan masa dalam sehari, seminggu,Vsebulan dan seterusnya akan memberi faedah hanya kepada merka yang pandai mengurus masa.
Dalam hal ini Rasullulah s.a.w berpesan:Bersedialah
Masa hidup sebelum mati
Masa sihat sebelum sakit
Masa muda sebelum tua
Masa kaya sebelum miskin
Masa senang sebelum susah
Peringatan ini kepada semua pihak terutamanya kepada para pelajar yang akan menempuh alam peperiksaan. Persediaan masa belajar diperingkat awal akan memudahkan pelajar menghadapi persediaan peperiksaan pada peringkat akhir. Jika penggunaan masa dapat diatur dengan bijak sudah pasti akan membawa kejayaan yang cemerlang.

Faktor-Faktor Pengurusan masa.
Sebelum dapat mengurus masa dengan bijak, terdapat beberapa perkara atau faktor yang boleh menyebabkan seseorang kehilangan masa dengan cara tidak berfaedah. Misalnya:
keluarga, rakan-rakan, aktiviti yang tidak berfaedah, pengaruh media massa, dan sikap.

Cara mengurus masa

Terdapat beberapa kaedah mengurus masa agar tidak terbuang begitu saja. Misalnya:
senaraikan semua aktiviti yang dijalankan dalam satu hari.
susun atur aktiviti berdasarkan kepentingannya.
elakan menyenarai aktiviti yang tidak berfaedah.
agihkan masa dalam sehari untuk setiap aktiviti.
buat satu jadual untuk aktiviti anda dengan masa yang diperuntukkan.
Disiplinkan diri melakukan semua aktiviti yang telah anda tetapkan.
Jika berjaya dalam sehari, cuba buat jadual aktiviti dalam masa seminnggu.

Jika amalan di atas dapat dilakukan dengan teratur dan berdisiplin,sudah pasti para pelajar dapat menggunakan masa dengan baik.

Contoh Jadual aktiviti

Masa Senarai Aktiviti

0500-0530 pagi sembahyang subuh
0530-0630 pagi bersedia untuk ke sekolah
0630-12.30 t/hari belajar di sekolah
12.30-0100 petang sembahyang,makan,rehat
0100-0400 petang menyelesaikan kerja rumah
0400-0530 petang riadah ringan
0530-0630 petang mandi,sembahyang, makan
0700-800 malam ulang kaji pelajaran yang baru dipelajari
0800-0830 malam melihat berita tv
0830-1000 malam ulang kaji
1000-1100 malam persediaan pelajaran esok
1100-0500 pagi tidur

Tuesday, March 17, 2009

PPSMI

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)
By
Dr. Mahathir Mohamad
on March 13, 2009 6:48 PM
1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.
4. Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera.
5. Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu.
6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan.
7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa.
8. Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan.
9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;• Oxygenation• Oxidation• Oxide• Oxidants• Deoxydation• Oxidise• Oxidification• Dioxide• Monoxide• Peroxide
10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen.
11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi.
12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis.
13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah. 14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains?
15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat penting di zaman ini.
16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks.
17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris?
18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris.
19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar?
20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu?
21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar.
22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.
23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja.
24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.
25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang.
26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang.

Thursday, March 12, 2009

KATA PUJANGGA

“Orang yang tabah tidak suka meratap atau mengeluh. Orang-orang seperti itu memiliki ciri-ciri untuk berjaya.”

Wednesday, March 4, 2009

DEVIASI DALAM PENGURUSAN PIBG

Setelah bertugas sebagai seorang guru hampir 16 tahun, rasanya inilah pengalaman baru yang yang ingin dikongsi bersama-sama khalayak pembaca. Apatah tidaknya pada sambutan Hari Guru yang jatuhnya pada 15 Mei setiap tahun, tahun 2007bberlaku suatu deviasi dalam sambutan hari guru yang dikendalikan oleh PIBG sebuah sekolah di Semenanjung. Sambutan ini agak luar biasa, pabila sahaja PIBG yang mengelolakan sambutan tersebut yang acap kalinya guru-guru sendiri yang merancang, mengurus, dan mengelolakan sambutan seperti ini dilakukan oleh PIBG. Justeru, penghargaan yang amat luar biasa ini semacam jasa dan pengorbanan kita begitu dihargai oleh ibu bapa. Walaupun pada hakikatnya kita tidak minta dihargai atas tanggungjawab yang diberikan kepada anak-anak didik, tetapi kelainan ini semacam adanya pengiktirafan daripada ibu bapa terhadap tugas yang dilakukan selama ini. Sesuatu yang saya fikir luar biasa ialah Jawatankuasa Pengelola yang mengendalikan majlis tersebut adalah dari kalangan ibu bapa sendiri tanpa melibatkan guru-guru. Acara yang dianggap grant ini, oleh sebab diadakan di sebuah hotel berbintang, benar-benar mengujakan dan menimbulkan rasa kesedaran dalam diri bahawa kita dihargai sebagai seorang guru. Saya masih tertanya-tanya, bilakah agaknya budaya ini akan terdetik dalam jiwa PIBG di tempat sendiri?

Tuesday, March 3, 2009

KESIAPSIAGAAN DIRI

Kesibukan di IPGM ketika ini membuatkan diri begitu perkasa dan matang dalam aspek mengurus dan mengendalikan diri. Berkejar-kejar rasanya ke sana ke mari melengkapkan diri dengan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Dengan tugas kesukanan, penyeliaan praktikum, di samping persediaan p&p di kelas, malah tugas-tugas pengauditan MS-ISO 2001, menyebabkan diri bekerja keras menyiapkan keperluan tersebut. Justeru menyiapkan keperluan tersebut menjadikan diri berada dalam kesiapsiagaan setiap masa. Keberadaan ini bukanlah retorik tetapi tuntutan yang perlu dilaksanakan menerusi perancangan yang rapi.