Thursday, December 16, 2010

BAJAU

Masyarakat Bajau merupakan masyarakat pribumi Sabah dan dari segi populasinya adalah kedua terbesar selepas kaum Kadazan. Terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Bajau seperti Ilanun, Sulu dan sebagainya. Kebanyakan masyarakat Bajau mendiami kawasan Samporna dan Kota Belud. Dari segi sejarahnya, kaum lelaki di kalangan masyarakat ini terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir. Seperti masyarakat etnik Sabah yang lain, masyarakat Bajau juga terkenal dengan adat resam mereka yang pelbagai dan unik. Dalam kehidupan mereka, adat resam berkaitan kelahiran, perkahwinan dan kematian begitu dititikberatkan.

Kelahiran

Sewaktu Mengandung

Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat Bajau ketika seseorang wanita itu mengandung, antaranya ialah berpantang, menempah bidan, menyediakan kelapa tua sebagai tanda kelahiran dan melenggang perut.

Berpantang

Untuk mengelakkan bahaya sewaktu mengandung, wanita tersebut perlu menjalani beberapa pantang larang tertentu. Ia bertujuan untuk menjaga keselamatan dirinya serta kandungan, di samping memudahkan proses kelahiran kelak. Antara pantang larang tersebut termasuklah;

Wanita hamil tidak boleh berjalan malam kerana dikhuatiri akan diganggu oleh makhluk halus.

Wanita hamil tidak boleh memakan semua jenis sotong kerana akan menyukarkan proses kelahiran kelak

Wanita hamil tidak boleh meminum atau mandi dengan air hujan yang jatuh dari bumbung kerana dibimbangi tembuni akan terus mati terutama bagi mereka yang mengandung sulung.

Wanita hamil tidak boleh memarut kelapa dan menyentuh santan kerana dikhuatiri akan menghadapi kesulitan semasa bersalin.

Wanita hamil juga tidak boleh mengunjungi tempat berlakunya kematian kerana dikhuatiri anak dalam kandungan menjadi lemah dan terkena penyakit yang dikenali sebagai ketimbaluan.

Di samping pantang-larang di atas, terdapat pantang-larang lain yang diamalkan.

Menempah Bidan

Dalam masyarakat Bajau, bidan dikenali sebagai pengulin atau pandai. Setelah tujuh bulan hamil, wanita berkenaan akan menempah bidan dan satu majlis doa selamat akan diuruskan oleh bidan tersebut. Terdapat barangan tertentu yang perlu dihadiahkan kepada bidan dan mulai hari itu hingga hari ke 44 selepas kelahiran bayi, secara rasminya bidan bertanggungjawab menjaga wanita hamil tersebut.

Tanda Kelahiran

Apabila sudah genap tujuh bulan mengandung, suatu tanda kelahiran akan disediakan iaitu sebiji kelapa tua yang baru tumbuh tunasnya dibalut dengan kain putih dan diletakkan ke dalam sebuah pasu tembaga. Kemudian pasu tembaga beserta kandungannya sekali diletakkan di atas talam yang telah diisikan segantang padi. Kadang kala diletakkan seutas rantai emas di atas kelapa tua itu yang akan menjadi milik anak yang akan diahirkan. Talam tersebut akan diletakkan di bahagian kepala tempat tidur orang yang hamil itu sehingga bayinya lahir.

Sebaik sahaja bayi dilahirkan, kelapa tua itu akan ditanam bersama-sama tembuni si ibu sebagai tanda kelahiran bayi yang berkenaan, sementara padi pula akan dimasak untuk menjamu si ibu dan para jemputan. Secara simboliknya, kelapa tua bertunas tersebut melambangkan bayi yang sedang berada dalam kandungan ibunya, sementara padi dan rantai emas pula melambangkan tenaga dan cahaya yang dapat menyuburkan tunas kelapa tersebut. Lazimnya tanda kelahiran ini diadakan untuk menyambut anak pertama walaupun masih boleh diadakan untuk anak-anak berikutnya.

Melenggang Perut

Selain dari pantang larang dan adat-adat seperti di atas, wanita Bajau juga perlu melalui upacara melenggang perut atau dikenali sebagai maglenggang di kalangan masyarakat Bajau. Ia diadakan hanya jika seseorang wanita itu mengandung anak pertama dan upacara dijalankan ketika kandungan berusia tujuh bulan. Cara adat ini dijalankan hampir-hampir sama dengan upacara melenggang perut yang dijalankan oleh masyarakat Melayu Semenanjung.

Semasa Bersalin

Apabila sudah tiba masanya, bidan akan segera dipanggil dan beberapa peralatan tertentu disediakan. Adakalanya di bawah rumah tersebut, duri dan benda-benda tajam seperti besi atau parang diletakkan untuk mengelakkan atau menjauhkan gangguan makhluk halus terhadap si ibu dan bayi. Di samping itu terdapat beberapa adat lain yang dilakukan semasa menyambut kelahiran bayi tersebut iaitu adat potong tali pusat, azan, dan menanam tembuni.

Potong Tali Pusat

Sewaktu hendak melahirkan anak, si ibu akan dibaringkan di atas tikar sementara bidan pula akan mengurut badannya serta membaca doa selamat agar proses kelahiran itu tidak mengalami sebarang kesulitan. Apabila bayi sudah dilahirkan, bidan akan memotong tali pusat bayi dan setelah itu mengikat pusat bayi dengan benang. Pemotongan tali pusat itu harus disertakan dengan saksinya yang terdiri daripada segantang beras, emas dan lilin yang akan dipasangkan. Bahan-bahan tersebut beserta sedikit wang dan kain putih sepanjang tujuh hasta akan diberi kepada bidan.

Qamat/Azan

Bagi masyarakat Islam, mengazan dan mengqamatkan bayi yang baru lahir adalah disunatkan. Seperti yang telah dinyatakan, masyarakat Bajau rata-ratanya beragama Islam, justeru itu mereka akan melakukan perbuatan ini. Ia bukanlah suatu adat, tetapi lebih merupakan suatu upacara ritual. Setelah diikat pusatnya, bayi akan dimandikan dan beberapa minit kemudian diazankan (bagi anak lelaki) dan diqamatkan (bagi anak perempuan) di telinga bayi itu. Semasa azan diserukan, bayi itu diberi makan sedikit garam dan gula, dan selepas itu barulah dia boleh menyusu.

Menanam Tembuni

Pada hari kelahiran itu juga, tembuni ibu dicuci, dibungkus dengan kain putih dan diletakkan ke dalam tempurung. Tempurung itu pula akan ditanam bersama-sama kelapa tua yang telah disediakan di suatu tempat berdekatan dengan rumah si ibu untuk menandakan kelahiran anaknya. Penanaman tembuni lazimnya dilakukan oleh bidan sendiri. Beras yang telah disediakan bersama-sama kelapa tua ditumbuk sederhana halus dan dimasak untuk menjamu si ibu dan tetamunya. Di samping itu, tujuh biji telur direbus dan dimakan dengan nasi tadi.
Selepas Kelahiran

Selepas bersalin, si ibu akan sekali lagi menjalani beberapa pantang larang dan adat-adat tertentu. Bagi bayi tersebut pula, terdapat beberapa upacara akan dijalankan mulai dari detik kelahirannya sehinggalah dia membesar.

Rawatan Bidan

Selepas kelahiran bayi, bidan akan memberi ubat kepada si ibu dan terus menjaga keadaan mereka berdua beranak sehingga hari ke 44. Untuk memulihkan kesihatan si ibu, bidan akan memandikan si ibu dan bayinya sambil membaca doa selamat. Ini dilakukan pada malam hari ketiga, ketujuh, kedua puluh dan ke 44. Selepas tamat tempoh berpantang, bidan secara rasminya menyerahkan tugasnya kepada suami dan keluarga wanita tersebut.

Berpantang

Terdapat beberapa pantang larang yang perlu diamalkan oleh seseorang wanita yang baru lepas bersalin. Antaranya ialah:

Si ibu tidak boleh makan sembarangan makanan. Selain bubur atau nasi tanpa lauk, si ibu perlu mengambil ubat yang dibuat daripada tumbuh-tumbuhan. Pemakanan perlu dikawal dan dijaga dengan rapi sewaktu tempoh berpantang ini.

Selama tujuh hari selepas bersalin, si ibu juga tidak boleh minum air biasa. Air ubat yang dibuat daripada ramuan akar-akar kayu, dan herba akan diminum oleh si ibu untuk memulihkan kesihatan selepas bersalin.

Si ibu harus memakai sarung yang bewarna gelap, biasanya hitam, kerana warna yang terang tidak baik untuk kesihatan mata bayinya.

Si ibu tidak boleh keluar bersiar-siar sebelum hari ke 44 supaya dia tidak diserang angin sejuk. Dia juga perlu memakai bedak paus, iaitu sejenis bedak bewarna hitam atau putih yang disapukan di kedua-dua belah tangan dan kakinya untuk mengelakkan kesejukan.

Naik Buai

Oleh sebab kelahiran anak pertama dianggap sebagai peristiwa istimewa, maka ibu bapa akan mengadakan kenduri tambahan. Selepas kenduri, doa selamat dibacakan oleh bidan dan sebagai upah, bidan akan diberi tiga ela kain kain putih dan lima biji kelapa tua. Selain kenduri, ada kalanya pada hari yang sama diadakan juga upacara naik buai atau dipanggil pesakat nirundangan di kalangan masyarakat Bajau, di mana bayi berkenaan akan dinaikkan ke dalam buaiannya buat pertama kali. Upacara ini dijalankan secara besar-besaran dan dijalankan menyerupai upacara melenggang perut. Semasa upacara naik buai berlangsung, upacara berzanji diadakan selama satu setengah jam dan apabila tiba pada ayat-ayat tertentu yang menandakan masanya untuk menggunting rambut bayi, bayi akan didukung dan rambutnya akan digunting oleh mereka yang berzanji secara bergilir-gilir. Upacara ini biasanya diakhiri dengan jamuan makan yang dihadiri oleh sanak saudara dan jiran tetangga. Selain jamuan, tuan rumah juga akan memberi sedekah yang lazimnya berbentuk bunga telur yang dilekatkan dengan wang kepada tetamu yang hadir di majlis tersebut.

Menimbang Bayi Bulan Safar

Umumnya, orang Bajau amat teliti tentang masa kelahiran anak mereka. Bayi yang dilahirkan pada bulan Safar dianggap kurang baik nasibnya kerana bulan Safar dianggap sebagai bulan yang tidak baik. Untuk mengelakkan kecelakaan dari menimpa si bayi, pada masa menyambut Maulud nabi, bayi akan dibawa ke masjid untuk ditimbang. Penimbangan bayi itu bukanlah bertujuan untuk mengetahui berat bayi sebaliknya merupakan satu usaha untuk meminta pertimbangan daripada Tuhan agar tidak diburukkan nasib bayi tersebut. Terdapat barangan tertentu yang digunakan untuk upacara ini, antaranya ialah;

Sebatang penumbuk padi yang dijadikan batang penimbang. Batang penimbang itu akan dibalut dengan tujuh hasta kain putih.

Batu-batu timbang yang terdiri daripada benda-benda berikut; sebekas air, seikat kayu yang sederhana besarnya, seperiuk nasi dan tujuh biji kelapa muda.

Bahagian batang penimbang itu akan diikatkan dengan tali kasar yang disangkutkan pada alang bumbung masjid supaya batang berada dalam keadaan tergantung. Pada satu hujung batang penimbang itu akan dipasangkan ayunan kanak-kanak yang hendak ditimbang sementara pada hujung yang satu lagi akan digantungkan batu-batu timbang. Batu-batu timbang yang terdiri daripada sebekas air, seperiuk nasi dan seikat kayu wajib digunakan. Hanya kelapa muda sahaja yang boleh ditambah atau dikurangkan bilangannya mengikut berat bayi itu. Apabila batu-batu timbang sudah seimbang beratnya dengan berat bayi, batang penimbang serta segala muatannya akan dipusingkan dan kemudian dilepaskan supaya ia berputar pada keadaan asalnya. Dengan itu tamatlah upacara penimbangan dan bayi itu akan digunting rambutnya.

Berkhatan

Sebagai orang Islam, anak-anak lelaki dan perempuan akan dikhatankan apabila sudah cukup umur. Lazimnya anak perempuan akan dikhatankan ketika berumur lima tahun sementara anak lelaki pula dikhatankan ketika berumur 12 dan 15 tahun. Selepas berkhatan mereka akan dianggap sebagai orang Islam yang sebenarnya. Majlis berkhatan kanak-kanak lelaki lebih meriah berbanding upacara berkhatan bagi kanak-kanak perempuan. Upacara berkhatan biasanya diakhiri dengan satu jamuan di masjid atau di rumah kanak-kanak tersebut.

PERKAHWINAN

Merisik

Adatnya tidak banyak bezanya daripada adat masyarakat Melayu. Sebelum perkahwinan berlangsung, upacara merisik terlebih dahulu dilakukan terhadap gadis yang menjadi calon. Caranya hampir sama dengan cara yang diamalkan oleh suku kaum yang lain iaitu dengan melantik wakil bagi menemui keluarga gadis. Setelah mendapat kepastian bahawa gadis itu belum ada ikatan apa-apa dan secocok dengan keinginan pihak lelaki tentang rupa paras, budi bahasa serta martabat keluarganya, barulah diikuti dengan upacara seruan yakni menyimpul tali pertunangan.

Meminang

Upacara meminang dilakukan dalam satu majlis yang dinamakan seruan. Dalam majlis itu, pihak lelaki membawa sebentuk cincin, sepersalinan pakaian dan wang tunai sebanyak RM100.00 sebagai pengikat tali pertunangan. Masa pertunangan biasanya berlangsung selama setahun untuk membolehkan pihak lelaki membuat persediaan. Apabila tempoh yang ditentukan tiba, pihak lelaki menghantar semua barang yang dijanjikan dalam majlis seruan itu kepada pihak perempuan. Dalam majlis penyerahan barang-barang tersebut, tarikh perkahwinan ditentukan. Pihak keluarga perempuan menentukan jumlah kerbau yang akan dihadiahkan untuk majlis perkahwinan. Tujuh ekor bagi keluarga yang berada, tiga ekor bagi keluarga yang sederhana dan seekor bagi keluarga biasa. Mas kahwin dan hadiah lain seperti sepersalinan pakaian yang lengkap, sirih pinang, alat persolekan dan sebagainya akan diberikan dalam majlis perkahwinan nanti.

Majlis Perkahwinan

Pengantin Bajau

Majlis perkahwinan dibuat sebelum hari perkahwinan. Keluarga yang berada mengadakan majlis tujuh hari sebelumnya, tiga hari bagi keluarga sederhana dan sehari bagi keluarga miskin. Sepanjang hari tersebut, pada sebelah malamnya majlis titik diadakan yakni memainkan alat muzik yang terdiri daripada kulintangan, gong, bebandil dan gendang di tempat kediaman kedua-dua belah pihak. Kumpulan muzik ini mengandungi enam orang pemain yang diketuai oleh seorang wanita yang memainkan kulintangan, dua orang pemukul gendang, dua orang pemain gong dan seorang pemain bebandil. Majlis ini mungkin berlangsung hingga larut malam, kemudian diikuti dengan tarian tradisional yang dikenal sebagai runsai. Tarian ini memerlukan antara enam hingga lapan onang penari termasuk dua orang wanita. Tarian ini menjadi bertambah meriah apabila diserikan dengan kalang iaitu pantun dua kerat yang dijual dan dibeli oleh penari lelaki dan perempuan.

Sehari sebelum hari perkahwinan, bakal pengantin lelaki dan perempuan akan didandan oleh beberapa orang mak andam. Dandanan ini termasuklah mandi bedak dengan ramuan bedak tepung beras yang bercampur bunga-bungaan pada sebelah malam. Pada hari perkahwinan, pengantin dihias dengan pakaian yang baru, selalunya berwarna kuning dan hijau yang diperbuat daripada sutera. Rambut pengantin perempuan dihiasi dengan 'serempak' iaitu sejenis mahkota.

Pengantin lelaki yang berpakaian serba kuning lengkap dengan tanjak dan bersenjatakan sebilah keris diusung dengan tandu oleh beberapa orang ahli keluarganya, atau menunggang kuda ketika menuju ke ke diaman pengantin perempuan dengan diiringi pukulan gong berirama tigad-tigad semasa melalui jalan yang dihias dengan bendera yang berwarna-warni.

Beberapa das tembakan dilepaskan sebagai tanda hormat dan alu-aluan akan ketibaan rombongan pengantin lelaki di halaman rumah pengantin perempuan. Pengantin lelaki yang turun dari tandu atau kudanya dijulang di atas bahu anggota rombongan atau didukung masuk ke rumah pengantin perempuan. Dia kemudiannya dipersilakan duduk di tempat yang dikhaskan untuknya dan bunyi gong pun diberhentikan. Di situ, pengantin lelaki menunggu majlis akad nikah.

Setelah tiba waktunya, pengantin lelaki mengambil wuduk dan majlis akad nikah dilangsungkan. Pengantin lelaki kemudian masuk ke bilik pengantin perempuan untuk upacara membatalkan air sembahyang. Pengantin lelaki dan rombongannya harus melalui beberapa lapis tabir yang dijadikan halangan sebelum masuk ke bilik pengantin perempuan. Setiap tabir itu hanya akan dibuka apabila dibayar sekitar RM1O hingga RM2O ataupun membaca sebuah pantun, syair dan nasyid empat kerat yang dilagukan.
Setelah pengantin lelaki membatalkan air sembahyang dengan menyentuh dahi isterinya, kedua-dua mempelai itu disandingkan. Kemudian kedua-dua pengantin keluar untuk bertemu dan bersalaman dengan tetamu.


KEMATIAN

Antara masyarakat Bajau dengan masyarakat Islam yang lain memang tidak banyak perbezaan dari segi menguruskan pengebumian kerana mereka sama-sama mengikuti peraturan agama Islam walaupun terdapat sedikit sebanyak pengaruh adat tempatan. Orang Bajau percaya bahawa seseorang yang telah meninggalkan dunia akan meneruskan hidupnya di alam baqa dan sekiranya tidak dikebumikan dengan betul, maka keluarga dan saudara mara telah berdosa kerana melupakan tanggung jawab mereka. Upacara kematian mereka dilakukan secara teliti bersandarkan keperluan agama dan adat kerana melalui upacara inilah si mati dipercayai dapat menyesuaikan diri dengan keadaan hidup baru di akhirat.

Semasa Kematian

Apabila seseorang itu meninggal dunia, doa akan dibaca dan mayatnya akan ditutup dengan kain. Pada masa itu, tawak-tawak patai atau pukulan gong akan dibunyikan sebagai tanda seseorang itu telah meninggal dunia. Mengikut adat bajau, mereka mesti menangisi kematian tersebut kerana ia melambangkan kesedihan mereka. Seterusnya mayat tersebut akan diuruskan sepenuhnya mengikut peraturan agama Islam, seperti dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Sumber: http://malaysiana.pnm.my